MANCHESTER: Dalam bola sepak, ada pasukan yang mampu mengecap kejayaan manis tetapi hanya dapat menikmatinya untuk tempoh yang seketika.

Ada pula yang perlu mengambil masa bertahun untuk mengukir laluan ke puncak.

Terdapat juga pasukan yang berjaya mengubah kejayaan menjulang pelbagai kejuaraan menjadi sebuah dinasti yang mendominasi arena bola sepak.

Selepas memporak-perandakan Manchester City bagi sebahagian besar perlawanan di mana mereka menang 4-2 dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah 2026/27 pada pagi Khamis (15 Oktober), Paris Saint-Germain (PSG) kelihatan berada di laluan yang tepat untuk menyertai golongan yang terakhir itu.

Juara Eropah dua kali berturut-turut itu menembusi pertahanan City dengan mudah untuk mendahului 3-0 menjelang separuh masa pertama, dan masih mampu menjaringkan satu lagi gol walaupun pendahulu Liga Perdana England (EPL) itu bangkit untuk memberikan tentangan lebih sengit pada separuh masa kedua permainan.

Penyerang Paris Saint-Germain (PSG), Khvicha Kvaratskhelia (tengah), cuba meloloskan diri daripada dua pemain Manchester City, Nico O'Reilly (kanan) dan Iliman Ndiaye.
Penyerang Paris Saint-Germain (PSG), Khvicha Kvaratskhelia (tengah), cuba meloloskan diri daripada dua pemain Manchester City, Nico O'Reilly (kanan) dan Iliman Ndiaye. - Foto AFP
Penyerang PSG, Desire Doue (kanan), menjaringkan gol pertama pasukannya ketika menentang Manchester City.
Penyerang PSG, Desire Doue (kanan), menjaringkan gol pertama pasukannya ketika menentang Manchester City. - Foto EPA

Selepas membelasah Inter Milan 5-0 dalam perlawanan akhir 2024/25 sebelum menewaskan Arsenal menerusi penentuan sepakan penalti dalam perlawanan kemuncak musim lepas, skuad kendalian Luis Enrique kini berhasrat untuk merangkul mahkota Eropah buat kali ketiga berturut-turut.

Jika berjaya, PSG akan menjadi hanya pasukan kelima yang dapat menjulang trofi Liga Juara-Juara sejak 1956, dan hanya pasukan kedua dalam era Liga Juara-Juara.

“Pasukan PSG ini berada di tahap yang berbeza,” kata bekas pemain dan pengurus bola sepak di England, Chris Sutton, kepada agensi berita BBC Radio 5 Live pada separuh masa.

“Mereka baru sahaja menguasai City sepenuhnya... City terkial-kial untuk menunjukkan permainan yang baik. Ini merupakan satu kekalahan yang buruk buat City.”

Pengurus Paris Saint-Germain (PSG), Luis Enrique.
Pengurus Paris Saint-Germain (PSG), Luis Enrique. - Foto REUTERS
PSG membelasah Inter 5-0 untuk memenangi Liga Juara-Juara pertama mereka pada 2025.
PSG membelasah Inter 5-0 untuk memenangi Liga Juara-Juara pertama mereka pada 2025. - Foto AFP

PSG sudah semestinya berharap untuk mengekalkan nama mereka sebagai yang terunggul di Eropah, dan kemenangan terkini itu mengingatkan seluruh Eropah mengenai kehebatan pasukan tersebut untuk memburu kejuaraan benua itu buat kali ketiga berturut-turut.

Sekalipun memulakan musim domestik dengan hambar, PSG berjaya menyajikan permainan cemerlang apabila tiba saat penting.

Di padang City, anak didik Enrique mempamerkan kehebatan untuk melenyapkan pengkritik kelab itu, dan juga sorakan penyokong City.

Kepantasan serta ketangkasan yang dipamerkan PSG – sama ada semasa mengawal bola atau selepas kehilangan bola – menyaksikan City terpaku dan seolah-olah mengejar bayangan.

“Alangkah hebatnya pasukan PSG ini... mereka memang luar biasa,” kata Sutton.

“Tekanan daripada PSG, saya rasa tiada pasukan lain yang mampu menunjukkan permainan serupa dengan intensiti dan ketangkasan sedemikian.

“Ini (City) merupakan salah sebuah pasukan terbaik dalam EPL yang dibelasah teruk. Perlu diingat juga bahawa mereka (PSG) memulakan musim baru ini dengan kurang meyakinkan... bayangkan jika mereka berada pada tahap sebenar,” tambahnya.

Kelab gergasi Paris itu telah menjadi kuasa paling dominan dalam bola sepak Perancis sejak mendapat suntikan dana Qatar Sports Investments sekitar 15 tahun lalu.

Namun, ia memerlukan perubahan menyeluruh pendekatan sebelum akhirnya memenuhi impian menjulang mahkota terbesar bola sepak Eropah.

“Ini adalah titik akhir era kemewahan,” tegas presiden kelab, Nasser Al-Khelaifi selepas bertahun-tahun berbelanja secara mewah, sekali gus mengakhiri era “menunjuk-nunjuk dan berkilauan”.

Presiden PSG, Nasser Al-Khelaifi.
Presiden PSG, Nasser Al-Khelaifi. - Foto AFP

Segala kegagalan lalu berubah dengan kehadiran Enrique pada 2023 yang ditugaskan membentuk sebuah pasukan yang mampu bersaing di peringkat tertinggi.

PSG masih melakukan pelaburan besar tetapi fokus diberikan kepada pemain-pemain muda yang dapat dipupuk untuk mengikut falsafah dan disiplin beliau sambil diberi ruang untuk berkembang.

Hasilnya ialah dua kejayaan berprestij Liga Juara-Juara, dan mereka tentunya meletakkan sasaran meneruskan dinasti cemerlang itu dengan kejuaraan hatrik mahkota Eropah di penghujung musim ini nanti. – Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti