BILBAO: Pengurus Manchester United, Ruben Amorim, melahirkan keyakinan beliau orang yang tepat untuk memimpin kelab itu, meskipun pasukannya tewas 1-0 kepada Tottenham Hotspur dalam final Liga Europa pada 21 Mei.
Namun, pengurus asal Portugal itu menegaskan bahawa jika pengurusan kelab merasakan sebaliknya, beliau tidak akan teragak-agak meletakkan jawatan tanpa menuntut sebarang pampasan.
Amorim memimpin pasukannya ke Stadium San Mamés di Bilbao dengan harapan untuk menutup musim yang suram dengan satu kejuaraan, selepas United hanya mampu menduduki tangga ke-16 Liga Perdana England (EPL) dengan baki hanya satu perlawanan.
Namun, gol tunggal Brennan Johnson pada separuh masa pertama memusnahkan bukan sahaja impian United, malah menyaksikan mereka terlepas tempat ke kejohanan Eropah musim hadapan buat kali kedua dalam tempoh 35 tahun.
“Ketika ini, saya tidak akan berdiri di sini untuk mempertahankan diri. Itu bukan gaya saya,” kata Amorim kepada media.
“Sekarang semuanya bergantung pada kepercayaan. Jika pengurusan atau penyokong rasa saya bukan orang yang sesuai, saya akan pergi keesokan harinya - tanpa bincang soal pampasan.”
United terlepas bukan sahaja peluang ke Liga Juara-Juara, malah turut kehilangan potensi pendapatan antara £80 juta dengan £100 juta ($173 juta) seperti yang dianggarkan oleh pemilik bersama Jim Ratcliffe - berdasarkan hasil siaran, kutipan tiket dan komersial.
“Ya, memang sukar bagi kelab sebesar kami untuk terlepas Liga Juara-Juara, tapi sekarang kami perlu ubah pendekatan kami,” jelas Amorim.
“Kami perlu lakarkan rancangan baru, termasuk dalam pasaran pemain. Tapi dalam masa yang sama, kami akan ada lebih masa dalam seminggu untuk bekerja dan fokus di EPL. Itu akan jadi keutamaan kami.”
United dilihat lebih cenderung bermain untuk mengelak kekalahan berbanding dengan cuba menang dalam separuh masa pertama, dan itu terbukti membawa padah apabila kesilapan pertahanan United menghadiahkan Spurs gol kemenangan mereka.
Namun, separuh masa kedua menyaksikan peningkatan permainan, dengan Rasmus Højlund, Alejandro Garnacho dan Luke Shaw masing-masing mencipta peluang dan memaksa penjaga gol Tottenham, Guglielmo Vicario, bekerja keras mempertahankan gawangnya.
“Saya sentiasa jujur dengan anda semua. Hari ini bukan aksi terbaik kami, tapi saya rasa kami lebih baik daripada lawan,” kata Amorim.
Sejak mengambil alih pasukan daripada Erik ten Hag yang dipecat pada penghujung Oktober, Amorim berdepan dengan persoalan sama ada United semakin merosot di bawah pimpinannya.
“Saya tak setuju bila orang kata kami semakin merosot,” kata jurulatih berusia 40 tahun itu.
“Memang kami ada keputusan buruk, tapi kami juga dah meningkat dalam beberapa aspek. Kami lebih kompetitif dalam banyak perlawanan, walaupun tak berjaya menjaringkan gol.”
“Saya faham, saya masih muda. Tapi saya juga tahu, kalau kami berjaya jaringkan satu gol daripada peluang yang kami cipta dalam separuh masa kedua tadi, hasilnya mungkin berbeza,” ujar beliau. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg