Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Man U kalah lagi: ten Hag kata beliau bertanggungjawab 

Nov 2, 2023 | 12:33 PM
SPEKULASI MENINGKAT: Prestasi United yang teruk musim ini telah menimbulkan keraguan sama ada Erik ten Hag sesuai menjadi pengurus United.
SPEKULASI MENINGKAT: Prestasi United yang teruk musim ini telah menimbulkan keraguan sama ada Erik ten Hag sesuai menjadi pengurus United. - Foto REUTERS

LONDON: Pengurus Manchester United, Erik ten Hag, mengakui bahawa kelab itu berada di dalam keadaan teruk tetapi masih percaya bahawa beliau adalah orang yang dapat menghentikan kemerosotan di Old Trafford.

Kemenangan 3-0 Newcastle United di Piala Carabao merupakan kemenangan terbesar mereka menentang Manchester United dalam tempoh 93 tahun.

Bagi United pula, ini merupakan kekalahan kelapan dalam 15 perlawanan – permulaan musim paling teruk mereka sejak 1962-63.

Selepas kekalahan ‘derby’ Manchester pada 31 Oktober kepada City, ini merupakan kali pertama United tewas di tempat sendiri berturut-turut dengan tiga atau lebih gol sejak 1962.

Mereka telah tewas lima daripada 10 perlawanan pertama di tempat sendiri buat kali pertama sejak 1930-31.

Perangkaan prestasi yang membimbangkan itu disertai dengan ejekan peminat United pada wisel penamat membawa spekulasi yang meningkat tentang sama ada ten Hag adalah pengurus yang sesuai untuk United.

“Saya faham apabila kita mengalami keputusan teruk, memang logik untuk mereka mempersoalkan perkara itu,” kata ten Hag.

“Namun saya yakin saya boleh melakukannya. Ketika ini kami berada dalam keadaan tidak baik dan saya bertanggungjawab.

“Tetapi saya seorang pejuang. Saya melihatnya sebagai satu cabaran,” tambah beliau.

Gol separuh masa pertama daripada Miguel Almiron dan Lewis Hall membolehkan Newcastle menguasai perlawanan tersebut.

Pada permulaan separuh masa kedua pula, Joe Willock memastikan kemenangan Newcastle dengan gol ketiga perlawanan itu.

Pasukan tuan rumah hanya berjaya mendapat dua percubaan terhadap gol dan mensia-siakan peluang terbaik mereka pada separuh masa pertama apabila Anthony Martial gagal menjaringkan gol walaupun dari jarak dekat.

“Ini tidak menepati jangkaan Manchester United,” kata ten Hag.

“Ia tidak cukup baik setakat ini dan kami perlu membetulkannya,” tambah beliau.

Ten Hag mengesahkan bahawa pemain tengah United, Casemiro, akan terlepas perlawanan Liga Perdana pada Sabtu menentang Fulham selepas mengalami kecederaan pada separuh masa pertama.

Casemiro baru sahaja pulang daripada tidak bermain akibat kecederaan untuk tiga perlawanan.

“Kami menghadapi banyak halangan pada musim ini, tetapi ia bukan alasan. Kami tetap perlu mendapatkan keputusan,” ujar ten Hag.

United tewas lima daripada 10 perlawanan pertama mereka di tempat sendiri buat kali pertama sejak 1930-31.

Ini membimbangkan kerana mereka hanya tewas sekali di tempat sendiri dalam Liga Perdana musim lalu. – Agensi berita.

“Saya faham apabila kita mengalami keputusan teruk, memang logik untuk mereka mempersoalkan perkara itu. Namun saya yakin saya boleh melakukannya. Ketika ini kami berada dalam keadaan tidak baik dan saya bertanggungjawab. Tetapi saya seorang pejuang. Saya melihatnya sebagai satu cabaran.” 
Erik ten Hag, pengurus Manchester United.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg