LONDON: Kempen musim 2025-26 akan menjadi musim kedua Manchester United tidak menyertai sebarang kejohanan Eropah sejak kelab-kelab Britain digantung oleh Persatuan Bola Sepak Eropah (Uefa) pada era 1980-an susulan tragedi Stadium Heysel.
Ketiadaan bola sepak Eropah di Old Trafford pada musim akan datang berpunca daripada keputusan liga yang mengecewakan apabila United menamatkan liga musim lalu di tangga ke-15 serta kekalahan dalam pertandingan akhir Liga Europa kepada Tottenham.
Ini merupakan kali pertama sejak musim 2014-15 United tidak akan bermain dalam sebarang kejohanan Eropah.
“Beraksi di pentas Eropah adalah sesuatu amat penting buat kami,” kata pemain midfield, Mason Mount.
“Beraksi dalam Liga Juara-Juara adalah impian kami dan sebagai satu pasukan, itulah matlamat kami. Tetapi secara keseluruhan, saya rasa penyertaan di kejohanan Eropah dalam apa jua bentuk adalah tumpuan utama kami buat masa ini.”
Pasukan kendalian Ruben Amorim perlu memperbaiki prestasi mereka selepas musim 2024-25 yang hambar, dengan The Red Devils menamatkan saingan liga 23 mata di belakang Nottingham Forest yang menduduki tangga ketujuh – tempat terakhir untuk layak ke kejohanan Eropah melalui kedudukan liga.
Pada musim kali ini, United telah membelanjakan lebih £125 juta ($215.4 juta) setakat ini untuk membawa masuk dua penyerang – Matheus Cunha dari Wolves dan Bryan Mbeumo dari Brentford.
Mereka turut dikaitkan dengan beberapa lagi penyerang, termasuk Ollie Watkins dari Aston Villa dan Nicolas Jackson dari Chelsea.
Terdapat juga spekulasi bahawa pemain sayap Alejandro Garnacho mungkin dijadikan sebahagian daripada pertukaran pemain dalam rundingan pemindahan tersebut.
Namun, sumber dalaman United menegaskan bahawa tiada pemindahan yang hampir dimuktamadkan, manakala Villa pula menyatakan bahawa Watkins tidak akan dijual.
United kini berada di Amerika Syarikat bagi siri jelajah pramusim mereka, yang menyaksikan mereka menentang West Ham, Bournemouth dan Everton.
Sementara itu, Garnacho bersama pemain yang kurang mendapat tempat dalam pasukan United seperti Jadon Sancho, Antony dan Tyrell Malacia, kini menjalani latihan bersama staf kejurulatihan di kompleks latihan Carrington.
Real Betis masih berminat membawa kembali Antony selepas tempoh pinjaman yang berjaya musim lalu, manakala Juventus berminat mendapatkan Sancho, tetapi perlu mengurangkan bilangan skuad mereka sebelum memulakan sebarang rundingan. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg