Kebanyakan berita perkembangan pramusim Arsenal melibatkan aktiviti pemindahan mereka yang cuba mendapatkan penyerang Sweden, Viktor Gyokeres, yang dilihat sebagai pelengkap bagi pasukan itu untuk mendapatkan trofi utama bagi musim akan datang.
Namun, pada 23 Julai di Stadium Negara, terdapat satu graduan akademi Arsenal – Bukayo Saka – yang sekali lagi membuktikan kedudukannya sebagai pemain utama Arsenal.
Bintang England itu mempamerkan kelicikan dan ketajaman beliau di hadapan 22,813 penyokong di Stadium Negara, dan menjaringkan gol tunggal perlawanan dalam kemenangan mereka ke atas gergasi bola sepak Italy, AC Milan.
Kemenangan 1-0 itu bermakna mereka mulakan kempen pramusim mereka dengan menjulang Piala Tridentity.
Saka – yang menyemarakkan semangat penyokong apabila namanya diumumkan dalam kesebelasan utama perlawanan – diberikan tanggungjawab sebagai kapten pasukan, sehingga Martin Odegaard dimasukkan pada separuh masa kedua.
Selepas separuh masa pertama yang hambar, Saka sekali lagi berada di posisi pada masa yang tepat – seperti mana beliau sering lakukan sejak membuat penampilan sulungnya bagi Arsenal pada 2018 – menerima hantaran silang Jakub Kiwior untuk menjaringkan gol kemenangan perlawanan.
Menurut laporan The Straits Times, jaringan tersebut menghasilkan sorakan terkuat semasa perlawanan, datangnya daripada penonton di stadium yang kebanyakannya penyokong Arsenal, yang menyaksikan sendiri Saka meraikan gol tersebut bersama rakan sepasukannya secara langsung.
Dalam persidangan media selepas perlawanan, pengurus Arsenal Mikel Arteta berkata beliau berpuas hati dengan persembahan pasukannya dan memuji Saka.
Saka berjaya menjaringkan 12 gol musim lalu walaupun terlepas 12 perlawanan Liga Perdana England (EPL) dari Disember 2024 akibat kecederaan.
Saka kembali beraksi dan bermain pada awal April 2025, tetapi kepulangannya dianggap terlalu lambat kerana impian Arsenal untuk mendapatkan kejuaraan EPL sudah keciciran.
Akhirnya Arsenal mengakhiri musim EPL di tempat kedua, selepas hanya memenangi lima daripada 13 perlawanan terakhir mereka.
Saka menerima tepukan gemuruh apabila beliau digantikan pada minit ke-66, dan prestasinya cukup untuk membuatnya meraih anugerah sebagai pemain terbaik perlawanan.
Beliau digantikan pemain berusia 15 tahun, Max Dowman, juga seorang graduan akademi Arsenal, yang diharapkan oleh penyokong Arsenal dan Arteta untuk menjadi pemain hebat seterusnya hasil akademi kelab tersebut.
Satu lagi pemain berusia 15 tahun, pemain pertahanan, Marli Salmon, juga dimasukkan perlawanan pada minit ke-66, menggantikan William Saliba.
Mengenai pemilihan pemain mudanya, Arteta berkata:
“Ini merupakan masanya untuk berikan mereka peluang. Mereka manfaatkan peluang tersebut dalam keadaan mencabar menentang pasukan amat hebat. Ia mengagumkan bagaimana pada usia 15 tahun, mereka dapat beraksi pada tahap ini.”
Pengurus Milan, Massimiliano Allegri, pula menyifatkan perlawanan tersebut sebagai cabaran baik bagi pasukannya menentang “antara pasukan terkuat di Eropah”.
Apabila perlawanan berakhir, penyokong juga dapat menyaksikan penentuan sepakan penalti “latihan” – yang biasa dilakukan semasa perlawanan pramusim Arsenal di bawah Arteta – yang dimenangi Milan 6-5.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg