TOKYO: Tiga tahun selepas bersara daripada tinju profesional, juara dunia berulang kali, Manny Paquiao, akan kembali ke gelanggang, pada 28 Julai.
Beliau akan berdepan dengan ahli seni bela diri campuran (MMA) Jepun, Chihiro Suzuki, di Tokyo.
Sementara itu, pertarungan Pacquiao bagi gelaran welterweight menentang Mario Barrios masih dalam perancangan.
“Masih banyak perkara yang perlu dibincangkan,” kata Paquiao.
Pada usia 45 tahun, Pacquiao masih gemarkan cabaran.
Beliau dilaporkan masih dalam keadaan yang baik dan sentiasa bersedia untuk menerima cabaran baru.
Tidak dapat dinafikan bahawa beliau ingin kembali ke gelanggang tinju.
Malah menurut beberapa laporan media, Pacquiao sudah lama mengimpikan untuk kembali ke gelanggang.
Walaupun selepas Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) menolak peluangnya untuk menyertai Paris 2024, beliau masih tidak berputus asa.
Keputusan IOC itu dikatakan menjejas beliau.
Pada Februari 2023, Pacquiao mengakui berasa putus asa untuk cuba bertarung di Sukan Olimpik Paris.
Ini selepas permintaan khas dari persekutuan Filipina untuk beliau mengambil bahagian telah ditolak.
IOC tetap teguh tentang had umur 40 tahun bagi petinju Olimpik.
Dengan impian Olimpiknya ditolak, Pacquiao meneruskan latihan.
Kembalinya ke gelanggang adalah satu berita yang dinantikan.
Melainkan ada halangan yang menimpa, kembalinya ke gelanggang selepas tiga tahun bersara akan berlangsung pada Julai.
Beliau telah bersetuju untuk bertarung dengan Suzuki dalam pertarungan pertunjukan dalam tiga pusingan di Saitama, utara Tokyo.
Pacquiao mengakui beliau sedang berbincang untuk bertarung dengan Barrios bagi merebut gelaran welterweight Majlis Tinju Sedunia (WBC).
Pertarungan yang dinantikan itu bagaimanapun masih dianggapnya “terlalu jauh”.
“Kami masih dalam proses rundingan dan berbincang mengenainya. Pertarungan itu belum berlaku,” kata Pacquiao.
“Rundingan itu masih berjalan. Ia akan berlaku pada November atau Disember. Masih banyak perkara yang perlu dibincangkan dan diketengahkan.”
Pacquiao bersara beberapa minggu selepas kalah dalam pertarungan profesional terakhirnya kepada Yordenis Ugas dari Cuba di Las Vegas pada 2021.
Walaupun begitu, beliau tidak membuang masa untuk bertanding sebagai presiden Filipina hanya setahun kemudian, tetapi kalah dalam pilihan raya Mei 2022 dengan jurang undian yang besar.
Beliau kembali ke gelanggang pada Disember 2022 untuk satu pertunjukan di Seoul, menentang seorang pempengaruh YouTube asal Korea Selatan, DK Yoo.
Pacquiao menang ke atas Yoo menerusi keputusan rasmi pengadil.
Pada 28 Julai, giliran Suzuki pula berhadapan dengan Pacquiao. pada 28 Julai dalam pertarungan tinju.
Petinju legenda itu menegaskan bahawa pertarungan itu bukan satu pertunjukan.
“Kita memburu knockout, dalam pertarungan ini,” tambahnya.
“Akan terdapat banyak aksi di dalam gelanggang. Tentu saja saya akan berusaha keras untuk menang menerusi knockout,” kata beliau.
Walaupun pertarungan dengan Suzuki dianggap mendebarkan, apa yang Pacquiao fikirkan adalah untuk kembali bersaing dan bertarung bagi merebut gelaran juara.
“Pertarungan dengan Barrios boleh berlaku pada November atau Disember. Ia akan berlangsung di Las Vegas,” kata Sean Gibbons, presiden Manny Pacquiao Promotions.
Pacquiao menegaskan bahawa beliau masih mampu bersaing walaupun pada usia 45 tahun dan beliau ingin terus mengukir sejarah sebagai warga Filipina yang menduduki tempat istimewa dalam dunia tinju.
Beliau adalah satu-satunya petinju yang memenangi gelaran dunia dalam lapan divisyen
Pacquiao memenangi gelaran pertamanya pada 1998 pada usia 19 tahun dengan menewaskan petinju Thailand, Chatchai Sasakul, untuk merampas kejuaraan flyweight WBC.
Pacquiao mempunyai rekod yang mengagumkan 62 (kemenangan), 8 (kekalahan) dan dua (seri).
Beliau juga menang 39 perlawanan menerusi knockout.
Salah satu daripada dua kekalahan beliau dianggap pertarungan tinju yang paling menguntungkan dalam sejarah sukan itu.
Pacquiao kalah kepada Floyd Mayweather yang belum pernah ditewaskan, pada 2015.
Sementara itu Barrios dengan rekod 29 (kemenangan), dua (kekalahan) dan 18 kemenangan menerusi knockout, telah menjadi juara welterweight sejak September 2023.
Sekiranya pertarungan beliau dengan Pacquiao berlangsung, ia akan menjadi pertarungan antara dua petinju dengan perbezaan usia 16 tahun.
Barrios berusia 29 tahun dan Pacquiao pula berusia 45 tahun. – Agensi berita.
“
“Kami masih dalam proses rundingan dan berbincang mengenainya. Pertarungan itu belum berlaku. Rundingan itu masih berjalan. Ia akan berlaku pada November atau Disember. Masih banyak perkara yang perlu dibincangkan dan diketengahkan.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg