Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mark Cavendish tutup kerjaya dengan kemenangan Tour de France S’pura

Kawalan kehormatan dibentuk pesaing berusia 39 tahun itu sebelum mula lumba di Esplanade pada 10 Nov
Nov 11, 2024 | 6:03 PM
Pelumba basikal Britain, Mark Cavendish (kanan) memenangi Tour de France Prudential Singapore Criterium di hadapan Jasper Philipsen (tiada dalam gambar), Arnaud de Lie (dua dari kiri) dan Biniam Girmay (kiri).
Pelumba basikal Britain, Mark Cavendish (kanan) memenangi Tour de France Prudential Singapore Criterium di hadapan Jasper Philipsen (tiada dalam gambar), Arnaud de Lie (dua dari kiri) dan Biniam Girmay (kiri). - Foto ST

Pelumba basikal legenda Britain, Mark Cavendish, menamatkan kerjayanya selama 19 tahun dengan sempurna setelah memenangi Tour de France Prudential Singapore Criterium pada 10 November.

Satu kawalan kehormatan dibentuk para pesaing pelumba basikal berusia 39 tahun, itu sebelum bermulanya perlumbaan di Esplanade Park.

Mengimbangi basikal mereka pada roda belakang dan memutar roda hadapan secara serentak, mereka membentuk dua baris ketika Manx Missile (nama gelaran bagi Mark Cavendish) meluncur antara mereka.

“Ia luar biasa, sangat bagus dan sebenarnya, itulah kali pertama saya merasakan sedemikian hari ini. Ia sangat tidak dijangka dan saya sangat, sangat tersentuh dengan semua itu.

“Memang sukar untuk tidak menangis... saya ini seorang yang emosional, tapi saya okey. Saya sudah tahu sejak lama bahawa saya akan berhenti (berlumba).

“Betapa hebatnya hari ini, untuk berkongsi perlumbaan terakhir saya dengan para pelumba lain, yang merupakan generasi masa depan pelumba pecut, dan untuk berlumba bersama mereka dalam perlumbaan terakhir, serta dapat mengalahkan mereka di sini, di Singapura.

“Saya amat gembira dan penuh perasaan,” kata Cavendish kepada akhbar The Straits Times, yang mengumpul rekod kemenangan peringkat Tour de France ke-35 pada musim panas ini selepas melengahkan rancangan untuk bersara pada 2023.

Laluan acara Criterium atau perlumbaan basikal itu, yang bermula dan berakhir di Connaught Drive berhampiran Esplanade Park, adalah sepanjang 2.3 kilometer, merentasi Sungai Singapura.

Pada permulaan, pasukan Singapura yang terdiri daripada juara perlumbaan jalan raya nasional, Yeo Boon Kiak; naib juara, Tong Khoon Fung; juara nasional basikal gunung XCO, Arfan Faisal; dan juara perlumbaan jalan raya Bawah-23 tahun nasional, Eamon Lim, berpisah selepas selekoh ketiga.

Tidak lama kemudian, giliran Cavendish untuk mendahului bersama rakan sepasukan yang digelar Astana Qazaqstan.

Menjelang penghujung perlumbaan 25 pusingan itu, pemenang perlumbaan 2023, Jasper Philipsen, kelihatan akan mempertahankan gelarannya.

Namun Cavendish, yang berada di belakang Philipsen ketika mereka memasuki selekoh terakhir, memecut untuk menewaskan Philipsen ke garisan penamat dengan jarak yang amat tipis.

“Saya sedar dalam lima pusingan terakhir, ini adalah 15 kilometer terakhir dalam kerjaya saya dan saya memang merasakan debarannya,” kata Cavendish, yang sempat menoleh ke belakang sebelum mengangkat tangannya untuk meraikan kemenangan buat kali terakhir, disambut dengan sorakan gemuruh daripada penyokong.

“Saya gementar juga sekiranya berlanggar... Tetapi saya bernasib baik. Saya tidak dapat mengharapkan yang lebih baik,” tambah pelumba basikal asal Britain itu, yang meraih pencapaian lain termasuk gelaran juara dunia 2011 dan perak omnium di Sukan Olimpik 2016.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg