TURIN (Italy): Biniam Girmay mencipta sejarah selaku pelumba kulit hitam Afrika pertama memenangi satu peringkat perlumbaan, Tour de France, sedang salah seorang peserta favorit, Mark Cavendish, kelewatan akibat pelanggaran di Turin.
Dalam pecut akhir ke garisan, Girmay yang merupakan peserta asal Eritrea di Afrika Timur, merupakan pelumba pertama yang melepasi garisan disusuli pelumba Colombia, Fernando Gaviria, di tempat kedua dan Arnaud de Lie dari Belgium di tempat ketiga.
Jangkaan melihat jika Cavendish mampu meraih rekod kemenangannya yang ke-35 tidak kesampaian apabila satu kemalangan berlaku hanya dua kilometer dari garisan penamat.
Akibatnya ia turut menjejas ramai peserta lain yang menyertai perlumbaan itu.
Girmay, 24 tahun, dilaporkan begitu emosi selepas melepasi garisan penamat di kedudukan pertama.
Beliau pernah memenangi peringkat Grand Tour di perlumbaan Giro d’Italia pada 2022.
“Saya hanya ingin berterima kasih kepada semua, kerana mendapat kekuatan dan sokongan yang diperlukan,” jelas Girmay.
“Sejak berlumba, saya tidak pernah terfikir untuk menjadi sebahagian daripada peserta, Tour de France. Tapi kini, saya tidak percaya akan keputusannya. Saya ingin berterima kasih kepada keluarga saya, isteri saya, Eritrea dan Afrika.
“Kami mesti berasa bangga. Kini kami sebahagian daripada perlumbaan yang besar dan telah mencapai kemajuan. Inilah masanya, detiknya. Ini semua untuk Afrika,” tambah beliau.
Sementara itu, Richard Carapaz, menjadi pelumba Ecuador pertama merebut jersi kuning (pendahulu keseluruhan perlumbaan) berdasarkan kedudukan yang diraihnya dalam tiga peringkat pertama. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg