MANCHESTER: Jim Ratcliffe mengatakan bahawa ia akan mengambil “masa dan kesabaran” untuk “kembalikan kejayaan sukan” kepada Manchester United.
Jutawan Britain itu bersetuju untuk membeli 25 peratus daripada Manchester United berharga AS$1.7 bilion ($2.2 bilion).
Syarikatnya, Ineos Group juga akan mengawal operasi bola sepak di United dan akan menyediakan AS$300 juta untuk pelaburan masa hadapan kepada stadium United.
Ratcliffe memberitahu penyokong “kita sedar akan tanggungjawab kami sebagai pemilik kelab ini”.
Dalam satu kenyataan kepada penyokong, beliau menambah:
“Saya percaya kita boleh membawa kejayaan sukan dalam padang sebagai melengkapi kejayaan komersial yang diraih oleh kelab ini.
“Anda mempunyai cita-cita besar untuk Manchester United dan kami juga begitu.
“Tiada jaminan dalam sukan, dan perubahan akan mengambil masa tetapi kami melihatnya dari segi jangka masa panjang dan bersama-sama kami mahu membantu membawa Manchester United kembali ke tempat teratas sukan, di persada bola sepak England, Eropah dan dunia,” tambah beliau.
United berkata perjanjian Ratcliffe untuk membeli pegangannya dalam kelab itu “tertakluk kepada kelulusan peraturan biasa” tetapi mereka “berharap ia akan diselesaikan secepat mungkin”.
Pada mulanya terdapat proses yang akan mengambil enam hingga lapan minggu untuk perjanjian itu disahkan, termasuk proses tandatangan oleh Liga Perdana.
Ratcliffe akan menganggotai jawatankuasa tiga individu yang mengendalikan operasi bola sepak kelab itu.
“Semasa proses ini dijalankan, saya diberitahu tentang apa yang sedang dijalankan dan saya fikir ia sangat positif mereka sertai kelab ini,” kata pengurus United, Erik ten Hag sebelum perlawanan Villa.
“Kami tidak sabar untuk bekerjasama dengan mereka. Mereka juga mahu bekerjasama dengan kami dan kami mahu bekerjasama dengan mereka. Ia sangat berfaedah bagi Manchester United,” tambah beliau. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg