Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masalah kecederaan Man Utd antara punca kekalahan lawan Spurs

Feb 17, 2025 | 6:19 PM
Pemain bahagian tengah Tottenham, James Maddison (kiri), menjaringkan gol tunggal kemenangan mereka.
Pemain bahagian tengah Tottenham, James Maddison (kiri), menjaringkan gol tunggal kemenangan mereka. - Foto AFP

LONDON: Pengurus Tottenham Hotspur, Ange Postecoglou, berkata beliau memahami masalah kecederaan yang dihadapi pengurus Manchester United, Ruben Amorim, selepas mengalahkan Red Devils 1-0 pada 16 Februari di Stadium Tottenham Hotspur.

Dalam pertemuan antara dua pasukan yang telah gagal mencapai prestasi yang diharapkan musim ini, gol James Maddison sudah cukup untuk membawa kemenangan bagi Spurs menentang United.

Kemenangan ini meletakkan mereka di tempat ke-12 dalam Liga Perdana England (EPL).

Pasukan Amorim jatuh ke tangga ke-15, dan tiada banyak harapan buat pengurus Portugal itu selepas Amad Diallo dan Lisandro Martinez disahkan tidak akan bermain sehingga akhir musim.

United juga hilang pemain seperti Manuel Ugarte, Christian Eriksen, Kobbie Mainoo dan Luke Shaw bagi lawatan ke utara London, menyebabkan Amorim terpaksa menyertakan lapan remaja dalam bangku simpanan.

Musim kedua Postecoglou di Tottenham juga telah dilanda masalah kecederaan.

Micky van de Ven, Cristian Romero dan Dominic Solanke sekali lagi tidak dapat bermain, tetapi kembalinya Maddison dan penjaga gol Guglielmo Vicario membantu memastikan kemenangan pertama di stadium sendiri dalam saingan liga sejak November.

“Saya boleh lihat Ruben terpaksa menyusun pasukannya, pemain yang dimainkan di posisi bukan asal mereka, dan pemain belia di bangku simpanan,” kata Postecoglou.

“Selamat datang ke dunia saya, dan itu hanya untuk satu perlawanan. Lihatlah jika (masalah) ini berlarutan selama dua bulan, untuk mana-mana kelab.”

Kecederaan besar menjadi tema utama musim EPL ini.

Juara bertahan, Manchester City, mengalami kemerosotan mengejut tanpa pemenang Ballon d’Or, Rodri, manakala Arsenal terpaksa meneruskan cabaran tanpa beberapa pemain penyerang.

Postecoglou telah menghadapi kritikan bahawa kaedah latihan dan gaya permainan intensifnya telah menyumbang kepada krisis kecederaan yang teruk di Spurs.

Namun, pengurus asal Australia itu percaya lebih banyak pasukan akan menghadapi nasib sama apabila kesesakan jadual bertambah memberi beban tambahan kepada pemain-pemain yang keletihan.

“Kami bukan satu-satunya. Saya telah meramalkan ini sejak sekian lama. Akan ada beberapa pasukan yang akan masuk ke dunia saya dalam tempoh yang akan datang,” tambah Postecoglou.

Amorim hanya memenangi empat daripada 14 perlawanan EPL sejak mengambil alih pasukan itu pada November 2024.

Bukan buat kali pertama beliau dikecewakan oleh penyudahan pasukannya, apabila Alejandro Garnacho dan Joshua Zirkzee mensia-siakan peluang mudah untuk menyamakan kedudukan selepas gol kemenangan Maddison pada minit ke-13.

United hanya menjaringkan 28 gol dalam 25 perlawanan – kelima terburuk dalam EPL.

“Kesudahannya, mereka menjaringkan gol, kami tidak. Itu adalah perbezaan besar dalam perlawanan ini. Kami mempunyai banyak peluang tetapi akhirnya mereka menjaringkan satu gol dan kami gagal,” kata Amorim.

Pemain pertahanan United, Matthijs de Ligt, berkata pasukannya perlu berasa lebih ghairah untuk menjaringkan gol, tetapi juga berpendapat keyakinan adalah satu isu.

“Saya rasa keperluan mendesak, keghairahan untuk menjaringkan gol, itu adalah sesuatu yang mungkin kurang.

“Itu bukan hanya tanggungjawab penyerang, ia juga tanggungjawab pemain tengah dan pertahanan. Ia adalah perkara berkaitan pasukan dan kami sememangnya perlu memperbaiki diri,” kata pemain antarabangsa Belanda itu.

“Saya rasa kita boleh katakan keyakinan telah terjejas dengan teruk, terutamanya dalam Liga Perdana. Jika anda hilang keyakinan, anda boleh tewas dalam perlawanan.”

Sementara itu, Amorim menegaskan tidak ada jalan keluar daripada kesulitan kelab selepas kekalahan ke-12 mereka dalam 25 perlawanan Liga Perdana musim ini.

Pengurus Portugal itu kini telah kehilangan lapan daripada 14 perlawanan liga di bawah kendaliannya.

Sejak musim 1973-74, United tidak pernah mengalami kekalahan sebanyak 12 kali dalam 25 perlawanan pertama mereka dalam liga utama.

Walaupun mereka kelihatan cukup jauh daripada zon penyingkiran tiga pasukan terbawah, suasana suram semakin menenggelamkan Old Trafford.

“Apa yang anda lihat dan apa yang anda bincangkan setiap minggu, saya juga lihat. Saya mempunyai banyak masalah, kerja saya di sini sangat, sangat sukar.

“Tetapi saya tetap dengan kepercayaan saya,” kata Amorim dalam temu bual selepas perlawanan di utara London bersama Sky Sports. – AFP, Reuters

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg