Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Laluan Liverpool terbantut dengan gol penyamaan dramatik Tarkowski

Keputusan seri 2-2 dengan Everton turut buka peluang bagi Arsenal terus mengejar dalam saingan EPL musim ini
Feb 13, 2025 | 6:06 PM
Dua pemain Liverpool, Trent Alexander-Arnold (kiri) dan Alexis Mac Allister, kelihatan kecewa selepas Everton menyumbatkan gol penyamaan pada minit-minit terakhir perlawanan.
Dua pemain Liverpool, Trent Alexander-Arnold (kiri) dan Alexis Mac Allister, kelihatan kecewa selepas Everton menyumbatkan gol penyamaan pada minit-minit terakhir perlawanan. - Foto REUTERS

LIVERPOOL: Harapan Liverpool untuk terus melebarkan kelebihan di puncak Liga Perdana England (EPL) tidak menjadi apabila James Tarkowski menjaringkan gol penyamaan dramatik dalam perlawanan terakhir antara dua jiran bermusuh itu di Goodison Park, memaksa The Reds untuk menerima keputusan seri.

Peminat Everton meraikan detik itu dengan penuh kegembiraan, dan pastinya penyokong Arsenal turut merasa lega kerana keputusan tersebut memberikan sedikit harapan bahawa pasukan mereka masih boleh mengejar Liverpool.

Dengan setiap pasukan kini bermain 24 perlawanan, Arsenal kini ketinggalan tujuh mata di belakang Liverpool dengan baki 14 perlawanan. Walaupun Liverpool masih dalam kedudukan yang baik meskipun sedikit kemunduran, kapten Virgil van Dijk memberitahu BBC Sport:

“Perkara utama bagi kami ialah memberi fokus sepenuhnya kepada diri kami sendiri, jangan peduli apa yang orang lain katakan tentang prestasi kami, hanya fokus pada kami. Setiap perlawanan akan menjadi sukar sehingga penghujung musim, dan kami akan lihat jika ia cukup untuk kami. Tetapi kami telah meletakkan diri kami dalam kedudukan yang baik dan kami perlu terus berjuang.”

Dengan 42 mata masih lagi jadi rebutan, Liverpool masih boleh dikejar. Namun, sejarah menunjukkan bahawa ia tugas yang mencabar sekali.

Jurang mata terbesar yang pernah dikejar untuk berada di tempat pertama selepas 24 perlawanan adalah sembilan mata, satu pencapaian yang dicapai dua kali — oleh United pada 1996 dan Arsenal pada 1998. Namun, kedua-dua pasukan itu mempunyai satu dan dua perlawanan tambahan masing-masing.

Superkomputer Opta memberikan Liverpool peluang 88.3 peratus untuk menjuarai EPL, berbanding hanya 11.6 peratus untuk Arsenal.

Nottingham Forest, yang kini berada di tempat ketiga, ketinggalan 10 mata di belakang Liverpool, dan tiada pasukan yang pernah mengatasi jurang sebesar itu untuk muncul juara. Mereka diberi peluang 0.1 peratus untuk memenangi EPL musim ini.

Chelsea yang berada di tempat keempat dan juara bertahan, Manchester City, ketinggalan 16 mata di belakang Liverpool – kedua-dua pasukan ini diberi sifar peluang untuk memenangi EPL musim ini oleh superkomputer Opta.

Beberapa minggu kebelakangan ini sangat sibuk bagi Liverpool kerana mereka perlu turun beraksi setiap tiga hari hingga akhir bulan ini.

Namun, laluan lebih ringan pada Mac apabila hanya satu perlawanan liga yang tinggal – di padang sendiri menentang Southampton. Liverpool juga dijadual beraksi menentang Newcastle dalam final Piala Liga pada 16 Mac.

Perlawanan pertama pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara Liverpool akan diadakan sama ada pada 4 atau 5 Mac, di mana mereka akan bertemu Paris St-Germain, Benfica, Monaco, atau Brest. Perlawanan timbal balik di Anfield akan berlangsung seminggu kemudian.

Liverpool akan menamatkan musim ini dengan perlawanan di tempat sendiri menentang Crystal Palace, di mana mereka berharap telah pun menjamin kejuaraan.

Arsenal pula tidak tewas dalam 14 perlawanan liga terakhir mereka – rekod tanpa kalah paling lama di bawah bos, Mikel Arteta.

Mereka mempunyai lebih satu perlawanan liga berbanding Liverpool untuk baki bulan ini, tetapi akan bermain lebih banyak daripada The Reds pada Mac.

Peminat The Gunners tentunya berharap pasukan mereka masih berada dalam perebutan kejuaraan apabila mereka berkunjung ke Anfield pada 10 Mei. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg