TEHERAN: Jantung Farzaneh Fasihi berdegup kencang semasa membongkok ke kedudukan di garisan permulaan, kesan berlarutan jangkitan Covid-19 yang masih membebankannya.
Ketika itu, pada 2021, atlet Iran itu bersaing dalam edisi kelima Sukan Solidariti Islam di Konya, Turkey.
Satu das tembakan dilepaskan menandakan permulaan larian pecut 100 meter.
Fasihi menerjah pantas ke hadapan dengan kakinya berlari lebih ligat daripada sebelum ini.
Apabila melintasi garisan penamat, beliau rebah; bukan kerana keletihan, tetapi kerana diselimuti emosi luar biasa memecahkan rekod pecut 100 meternya sendiri, mencatat masa sepantas 11.12 saat untuk meraih pingat perak.
“Pada malam sebelum perlumbaan, kenangan dalam kehidupan berlegar dalam fikiran saya.
“Semua kesusahan yang saya alami dan semua kejayaan saya pada masa lalu seolah-olah muncul di hadapan mata bak sebuah filem,” kata Fasihi kepada media, semasa beliau bercakap dalam temu bual Zoom dari Belgrade, Serbia.
Fasihi berada di kem latihan menjelang Sukan Olimpik Paris 2024, yang bermula pada 26 Julai, dan pelari wanita terpantas Iran itu akan bersaing dalam acara kegemarannya – larian pecut bagi jarak 100 meter.
Fasihi tidak asing dengan cabaran yang dihadapinya, tetapi yang pasti, sistem sokongan kuat dalam kehidupan peribadinya telah membantunya melalui semua itu.
Dilahirkan pada 1993 di Isfahan, Iran, Fasihi, 31 tahun, berasal dari sebuah keluarga yang aktif bersukan.
Bapanya seorang pemain bola tampar, dan abangnya juara renang dan terjun cantik.
“Sebelum saya berkahwin, ayah saya menghadiri semua sesi latihan saya,” katanya.
“Ibu saya juga menghadiri semua pertandingan saya. Tanpa sokongan mereka, saya tidak mungkin berjaya.”
Dari usia lima hingga 12 tahun, Fasihi giat dalam sukan gimnastik.
Menurutnya, beliau masih ingat bagaimana percubaan pertamanya dalam sukan pecut kompetitif berlaku secara kebetulan.
“Di sekolah menengah, seorang guru gimnasium memaksa saya menyertai pertandingan larian. Saya tidak mahu melakukannya,” cerita Fasihi.
Namun, pada hari itu, beliau memecahkan rekod wilayah Isfahan – menyemarakkan semangatnya untuk beraksi dalam sukan balapan dan padang.
Pada 2016, beliau membuat penampilan antarabangsanya yang pertama.
Pasukan yang Fasihi sertai beraksi di luar jangkaan – memenangi pingat perak dalam acara larian berganti-ganti 4×400 meter dalam Kejohanan Olahraga Tertutup Asia di Doha, Qatar.
Namun prestasi cemerlangnya tidak memacu kerjaya pecutnya ke tahap lebih tinggi.
Dengan sokongan yang sedikit daripada persekutuan balapan dan padang Iran, beliau meninggalkan dunia sukan itu dan menjadi jurulatih kecergasan peribadi.
Namun, ia berubah pada penghujung 2018, apabila beliau memutuskan untuk mencuba larian pecut secara kompetitif buat kali kedua.
Setahun kemudian, keputusan itu membawa kepada hasil yang tidak dijangka – beliau berkahwin dengan salah seorang jurulatihnya, Amir Hosseini, yang menjadi penyokong utamanya sehingga kini.
Pada 2020, dengan sokongan kuat yang diterima daripada Hosseini, kerjaya Fasihi melonjak naik.
Beliau menyertai Kejohanan Tertutup Olahraga Dunia, apabila pelari yang agak kurang dikenali itu menunjukkan ketangkasannya dengan catatan masa 7.29 saat dalam larian 60 meter pecut di Belgrade, Serbia.
Bukan sahaja Fasihi mencatat masa yang pantas – beliau malah mencipta sejarah dengan menjadi wanita Iran pertama yang bertanding dalam kejohanan tersebut.
Persembahan mengejutkannya di Belgrade itu adalah permulaan beliau diberi gelaran ‘Jaguar’, bagi membuktikan kepantasannya.
Setahun kemudian pada 2021, beliau menandatangani kontrak dengan kelab olahraga Serbia BAK, menjadi legionnaire wanita pertama – yang bermakna sesebuah kelab menandatangani dan menaja atlet asing untuk berpindah dan bersaing untuk kelab itu.
Ini kali pertama ia berlaku dalam sejarah balapan dan padang Iran.
“Menjadi legionnaire adalah sesuatu yang baru. Ia adalah risiko yang besar, tetapi dalam lubuk hati ini, saya rasa ia perlu dilakukan,” katanya, sambil berharap ia akan memberi inspirasi kepada atlet wanita Iran yang lain.
Fasihi telah pun mengambil langkah pertama ke arah impian bertanding dalam Olimpik apabila beliau dipilih melalui penempatan kesejagatan untuk menyertai Tokyo 2020.
Penempatan kesejagatan ialah dasar yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) yang membenarkan atlet dari negara yang kurang diwakili untuk turut serta, walaupun mereka tidak memenuhi kriteria kelayakan piawai.
Dasar itu wujud untuk memastikan perwakilan sejagat yang lebih luas dalam Sukan Olimpik.
Di Tokyo, Fasihi bertanding dalam acara pecut 100 meter, menandakan kembalinya Iran dalam acara itu selepas tidak bertanding selama 57 tahun.
Fasihi menduduki tempat ke-50 di Tokyo.
Beliau menyifatkan prestasinya di Tokyo sebagai di bawah prestasi terbaiknya, namun ia menyemarakkan cita-citanya untuk melakukan yang lebih baik pada masa akan datang.
“Apa yang membuatkan Paris (Olimpik 2024) berbeza ialah saya akan bertanding atas merit saya sendiri – bukan melalui penempatan kesejagatan,” katanya.
Di Olimpik Paris, beliau akan bersaing dengan atlet ternama dunia.
Beliau bukan seseorang yang menyemat harapan yang tidak realistik. Beliau hanya menumpukan pada perkara yang boleh dikawalnya, iaitu prestasinya.
“Bertanding dalam Sukan Olimpik adalah satu cabaran besar,” kata Fasihi.
“Matlamat saya adalah untuk bersaing dengan diri saya sendiri. Saya mahu mengatasi rekod saya sendiri.” – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg