Topik diikuti
Pergi ke BHkuMaxine Wong raih pingat individu pertama lawan pedang
Maxine Wong raih pingat individu pertama lawan pedang
NAGOYA (Jepun): Atlet lawan pedang Singapura, Maxine Wong, memenangi pingat pertamanya dalam acara foil individu wanita dalam Sukan Asia selepas melayakkan diri ke separuh akhir pada 23 September.
Atlet berusia 25 tahun itu meraih pingat gangsa selepas tewas 15-6 kepada wakil tuan rumah, Yuka Ueno, pada peringkat separuh akhir di Aichi Sky Expo. Kedua-dua peserta yang tewas dalam separuh akhir dianugerahkan pingat gangsa.
Ueno, pemain nombor tiga dunia dari Jepun, akan berdepan Park Ji-hee dari Korea Selatan pada perlawanan akhir. Park menewaskan Polina Volobueva dari Uzbekistan 15-12 dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Sebelum itu, Wong menewaskan Daphne Chan dari Hong Kong 15-6 pada suku akhir.
Wong, yang turut meraih pingat gangsa daripada acara berpasukan pada Sukan Asia 2018, melepasi peringkat kumpulan pada 23 September dengan tiga kemenangan daripada lima pertarungan.
Beliau kemudian mencatat kemenangan 15-2 ke atas Jana Allysah Catantan dari Filipina dalam pusingan 32 terbaik, sebelum menewaskan juara bertahan dari China, Huang Qianqian, 12-10 dalam pusingan 16 terbaik.
Pencapaian Wong merupakan pingat kedua Singapura dalam sukan lawan pedang di Aichi-Nagoya, dan hanya pingat individu ketiga yang dimenangi oleh atlet lawan pedang Singapura dalam sejarah Sukan Asia.
Pada 22 September, Kiria Tikanah Abdul Rahman memenangi pingat perak pertama Singapura dalam acara lawan pedang di Sukan Asia menerusi acara epee wanita.
Sebelum itu, Lim Wei Wen mencipta sejarah dengan memenangi pingat pertama Singapura dalam sukan tersebut di Sukan Asia pada 2014 apabila meraih gangsa dalam acara epee lelaki.
Sementara itu, rakan senegara dan atlet Olimpik dua kali, Amita Berthier, tersingkir pada pusingan 16 terbaik pada 23 September.
Atlet foil itu menduduki tempat kedua daripada enam peserta dalam Kumpulan 2 dengan empat kemenangan daripada lima pertarungan.
Beliau kemudiannya mendapat laluan percuma ke pusingan 16 terbaik, sebelum tewas secara kontroversi 15-14 kepada Polina Volobueva dari Uzbekistan. Berthier beberapa kali membantah keputusan itu ketika pengadil memberikan mata kepada lawannya.
Berthier, yang menitiskan air mata selepas perlawanan itu, berkata selepas kekalahannya:
“Saya benar-benar kecewa sekarang kerana saya rasa saya berada dalam keadaan baik dan bersemangat, dan saya tahu saya mempunyai peluang yang baik untuk memenangi pingat hari ini. Tetapi begitulah keadaannya, hari ini bukan hari saya.”