LONDON: Matthijs de Ligt dan Noussair Mazraoui memiliki satu persamaan – kededuanya pernah bermain untuk Erik ten Hag di kelab Ajax Amsterdam dan akan bersatu semula di Manchester United dengan bos lama mereka.
Pada 13 Ogos, pasukan bergelar, The Red Devils, itu mengumumkan mereka telah mencapai persetujuan dengan kedua-dua pemain asal kelab Bayern Munich dan telah mengikat kontrak dengan mereka.
Bayaran yang perlu dikeluarkan United tidak didedahkan, namun media Britain melaporkan United dijangka membayar sekitar £60 juta ($101.6 juta) untuk membawa kededua pemain itu ke Old Trafford.
Pemain pertahanan Belanda, de Ligt, 25 tahun, telah menandatangani kontrak lima tahun dengan pilihan melanjutkannya selama setahun lagi.
“Sebaik sahaja saya mendengar bahawa Manchester United mahukan saya, saya berasa teruja akan peluang cabaran baru di kelab yang bersejarah ini,” katanya.
“Saya kagum dengan visi yang ditunjukkan oleh kepimpinan kelab, dan peranan saya yang mereka lihat di dalamnya.
“Erik ten Hag telah membantu dalam masa awal perjalanan bola sepak saya, beliau tahu bagaimana untuk mencungkil prestasi yang terbaik daripada saya dan saya tidak sabar untuk bekerjasama dengannya lagi.”
De Light telah merangkul gelaran juara liga di tiga negara – bersama Ajax (Belanda), Juventus (Italy) dan Bayern (Jerman).
Beliau menambah: “Saya tahu apa yang diperlukan untuk berjaya di peringkat tertinggi dan saya berazam untuk meneruskan rekod hebat kelab istimewa ini.”
Kehadiran pemain Belanda itu dijangka dapat memperkukuh pertahanan tengah United berikutan pemergian Raphael Varane, dengan kedudukan seorang lagi rakan sepasukan, Leny Yoro, tidak menentu selepas mengalami kecederaan dalam pramusim.
Mazraoui, 26 tahun, juga tiba di Old Trafford dengan rekod tiga gelaran juara liga bersama Ajax dan Bayern.
Pemain pertahanan itu telah mewakili Maghribi sebanyak 28 kali dan membantu negaranya mara ke separuh akhir Piala Dunia 2022.
Beliau telah menandatangani perjanjian empat tahun dengan pilihan melanjutkannya setahun lagi.
Ketibaannya di Old Trafford seiring dengan keputusan Aaron Wan-Bissaka meninggalkan United untuk menyertai West Ham.
“Ia satu perasaan yang luar biasa sekali... menjadi pemain Manchester United dan saya tidak sabar mahu melangkah ke Old Trafford dengan memakai jersi ikonik kelab ini,” kata Mazraoui.
“Erik ten Hag memainkan peranan yang penting dalam perkembangan saya sebagai seorang pemain bola sepak, jadi adalah sangat mengujakan untuk bersatu semula dengan beliau ketika saya berada di tahap terbaik saya.
“Saya tahu apa yang beliau harapkan daripada para pemain, dan saya akan membantu kumpulan ini dengan segala tenaga dan daya upaya untuk berjaya.”
Selain de Light dan Mazraoui, pemain United lain dalam skuad yang pernah beraksi untuk Ajax termasuk Lisandro Martinez, Antony dan Andre Onana.
Seorang lagi muka baru di United, Joshua Zirkzee, juga bekas rakan sepasukan de Light dan Mazraoui di Bayern.
Ketibaan dua pemain pertahanan itu bermakna mereka boleh diturunkan dalam perlawanan pembukaan musim menentang Fulham di Old Traford pada 16 Ogos dengan pasukan pimpinan ten Hag terdesak untuk memperbaiki kedudukan di tempat kelapan musim lalu.
United berada 31 mata di bawah juara bertahan, Manchester City, di akhir musim lalu.
United berjaya mengalahkan City di final Piala FA musim lalu, sebelum kembali ke Wembley baru-baru ini – tetapi anak didik ten Hag kali ini ditewaskan lawan yang sama menerusi sepakan penalti dalam perlawanan merebut Perisai Sumbangsih.
Dalam pada itu, di tengah-tengah kegembiraan penyokong kerana kehadiran barisan pemain baru, seorang lagi pemain pertahanan, Luke Shaw, baru saja diberitahu doktor bahawa beliau tidak dapat beraksi dalam sekurang-kurangnya tiga perlawanan selepas mengalami kecederaan baru. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg