Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mbappe akui gagal capai cita-cita dalam Euro 2024

“Cita-cita saya adalah untuk menjadi juara Eropah, tetapi gagal.”
Jul 10, 2024 | 4:02 PM
Kylian Mbappe
Kylian Mbappe kecewa apabila Perancis gagal mara ke final dalam Kejohanan Euro 2024. - Foto EPA-EFE

“Cita-cita saya adalah untuk menjadi juara Eropah, tetapi gagal.”

Itulah pengakuan Kylian Mbappe, pemain yang menjuarai Piala Dunia dan dijangka mampu membantu Perancis sepanjang kejohanan di Jerman itu.

Pemain yang akhirnya melengkapkan pemindahannya ke Real Madrid pada musim panas ini, menjadi kapten pasukan kebangsaan Perancis yang awalnya dijangka boleh menjuarai kejohanan Euro 2024.

Tetapi Mbappe – yang mencontohi pemain hebat England, Sir Geoff Hurst, dengan hatrik dalam perlawanan akhir Piala Dunia 2022 – bergelut untuk memberi impak yang ramai jangkakan, apabila Perancis tewas di tangan Sepanyol pada separuh akhir di Munich.

Selepas perlawanan itu, penyerang berkenaan menggelar kejohanan itu sebagai “satu kegagalan”.

Jadi apakah kesilapan Mbappe?

Dan mengapa beliau menghadapi kesulitan dalam kejohanan Euro?

Mbappe bersinar semasa Piala Dunia di Russia pada 2018 ketika remaja, menjaringkan empat gol ketika Perancis memenangi mahkota itu buat kali pertama dalam tempoh 20 tahun.

Beliau kemudian menjaringkan lapan gol yang luar biasa, pada kejohanan 2022 – termasuk hatrik walaupun akhirnya Perancis tewas kepada Argentina menerusi sepakan penalti – untuk menyamai kedudukan dengan Pele dengan 12 gol dalam kejohanan Piala Dunia.

Tetapi Mbappe ‘tersasar’ pada Euro 2020, dengan tendangan penaltinya yang tersasar dalam penentuan sepakan penalti yang membolehkan Switzerland menyingkirkan Perancis dalam pusingan 16 terakhir.

Dan walaupun menuju ke Jerman sebagai pemain yang ‘wajib’ ditonton, Mbappe sekali lagi bergelut untuk menjaringkan hanya satu gol melalui penalti semasa seri 1-1 peringkat kumpulan dengan Poland.

Keputusan itu bermakna Perancis terlepas menduduki tempat teratas dan terpaksa berdepan pasukan lebih sukar dalam pusingan kalah mati.

Mbappe melakukan sembilan tendangan ke arah gol semasa kejohanan kali ini, tetapi mencipta hanya tiga peluang, termasuk hantaran hebatnya untuk gol pembukaan, Randal Kolo Muani, semasa menentang Sepanyol.

“Mbappe menghantar bola yang menarik, tetapi itulah satu-satunya mutu dalam kawasan sepertiga terakhir yang ditunjukkan Perancis,” kata bekas pemain pertahanan England, Rio Ferdinand.

“Ini tidak mencukupi dalam permainan sebesar ini. Mbappe akan kecewa dengan kejohanannya. Ini bukan apa yang kami jangkakan.”

Dalam 14 penampilan di Piala Dunia, Mbappe rata-rata menjaringkan 1.11 gol dan ‘assist’ (pembuka laluan) setiap 90 minit, berbanding hanya 0.32 dalam sembilan penampilan di Euro 2024.

Detik pentingnya pada separuh akhir tiba lewat ketika beliau berhasil menembusi pertahanan Sepanyol tetapi membuat rembatan yang tersasar.

“Itu adalah gol yang beliau telah jaringkan 1,000 kali dalam kerjayanya,” kata pakar bola sepak Perancis Julien Laurens.

“Mbappe tidak merebut peluang dan ketika saat paling penting, Perancis tidak mempunyai sedikit keajaiban yang diharapkan.”

Permainan Mbappe sudah pasti terjejas apabila beliau mengalami patah hidung pada saat-saat akhir perlawanan pembukaan menentang Austria.

Kecederaan itu memaksanya terlepas peluang bermain apabila Perancis seri 0-0 dengan Belanda.

Bagaimanapun, Mbappe kembali bermain – dengan memakai pelitup perlindungan – dan menjaringkan gol menentang Poland.

Pelitup itu jelas menjejas permainan Mbappe, dan beliau dilihat menyesuaikannya semasa beberapa perlawanan, sebelum membuangnya sama sekali untuk perlawanan menentang Sepanyol. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg