Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

BOLA SEPAK

Mengapa Liga Pro Saudi tarik bintang Eropah?

Kini bukan bintang di hujung kerjaya saja tertarik tukar angin, bakat muda turut ghairah pindah
Jun 30, 2023 | 05:30 PM



LONDON: Gary Neville telah meminta Liga Perdana menghentikan perpindahan pemain ke Arab Saudi atas sebab “kewibawaan”, tetapi dalam minggu sibuk bagi membuat perjanjian setakat ini, tiada tanda yang menunjukkan ia akan berhenti.


Pada 23 Jun, kapten Wolves Ruben Neves, 26 tahun, menyertai Al-Hilal dengan bayaran perpindahah £47 juta ($81 juta) – satu rekod bayaran perpindahan bagi kelab Molineux itu.

Dan penjaga gol Chelsea Edouard Mendy adalah nama besar terkini dari Eropah yang hangat dikaitkan dengan perjanjian untuk menyertai Liga Pro Saudi. 

Cristiano Ronaldo, Karim Benzema dan N’Golo Kante telah pun menandatangani kontrak bersama kelab di sana  – nama-nama besar tetapi hampir di penghujung kerjaya mereka.

Sebelum ini terdapat spekulasi Lionel Messi akan mengikuti jejak langkah itu tetapi beliau memutuskan berpindah ke Amerika Syarikat.

Semakin ramai pemain di puncak prestasi permainan mereka turut menampakkan minat, termasuk dua lagi pemain Chelsea, Kalidou Koulibaly dan Hakim Ziyech, serta Thomas Partey dari Arsenal.

Ia menggariskan cita-cita liga Pro Saudi untuk menjadi salah satu daripada lima liga teratas dunia.

Bekas pemain pertahanan Manchester United dan England, Neville, bagaimanapun, adalah antara mereka yang menyoal apakah maksud kemungkinan semua kegiatan ini.

Pada Jun, Dana Pelaburan Awam (PIF) Arab Saudi, yang memiliki Newcastle United, mengesahkan ia mengambil alih empat kelab terkemuka di negara itu, termasuk Al-Nassr, yang menandatangani Ronaldo pada Disember.

Terdapat ketidakpastian sama ada PIF memiliki kepentingan dalam pemilik utama Chelsea, firma ekuiti persendirian Clearlake Capital, walaupun sumber kelab telah menolak cadangan sebarang penglibatan secara langsung.

“Liga Perdana sepatutnya meletakkan sekatan segera ke atas perpindahan ke Arab Saudi untuk memastikan kewibawaan permainan tidak dirosakkan,” kata Neville kepada BBC Sport awal minggu lalu.


“Semakan perlu dibuat ke atas kesesuaian urus niaga.

“Jika ia lulus melalui proses itu, jelas sekali perpindahan boleh dibuka semula. Tetapi saya percaya, pada masa ini, perpindahan harus dihentikan sehingga anda melihat struktur pemilikan di Chelsea dan sama ada terdapat urusan perpindahan yang menguntungkan yang tidak wajar.”

Komen pundit Sky Sports itu muncul ketika perbelanjaan Arab Saudi dalam bola sepak meningkat, dan apabila beberapa kelab England menghadapi cabaran mengimbangi kewangan mereka.


Kededua Chelsea dan Wolves telah menghadapi keputusan sukar dalam merekrut pemain baru pada musim panas ini kerana mereka cuba mengekalkan had tiga tahun bagi kerugian £105 juta dalam Liga Perdana di bawah peraturan Permainan Adil dari segi Kewangan (FFP).

Chelsea membelanjakan lebih £400 juta dalam perpindahan pemain musim lalu, manakala Wolves mencatatkan kerugian £46.1 juta tahun lalu dan bos Julen Lopetegui berkata kelab itu mesti “menyelesaikan” isu FFP untuk bersaing dalam liga tertinggi England itu.

Wolves menyangka Neves akan menyertai Barcelona pada musim panas ini.

Bagaimanapun, bayaran £47 juta yang dipersetujui dengan Al-Hilal untuk pemain midfield Portugal itu jauh lebih tinggi daripada yang dijangkakan.

Sumber di Chelsea bertegas bahawa PIF Arab Saudi mempunyai “sifar kepentingan, kewangan atau sebaliknya” dalam kelab itu.

Tidak dinafikan PIF mempunyai penglibatan dalam Clearlake tetapi kenderaan ekuiti persendirian Amerika mempunyai 400 pelabur berbeza di enam benua dan dianggap tiada pemegang saham dibenarkan memiliki lebih daripada 5 peratus organisasi.

Pemilikan pelbagai kelab tidak dilarang oleh badan induk Eropah Uefa, yang setakat ini enggan memberi komen.

Liga Perdana memang mempunyai sistem penilaian adil untuk cuba memastikan tawaran kedua-dua komersial dan perpindahan, dijalankan mengikut nilai pasaran.

Sistem padanan perpindahan Fifa direka untuk melakukan perkara yang sama.

Matlamatnya, pada akhirnya, adalah untuk memastikan peraturan dipatuhi.

Tiada tugas yang mudah memandangkan pasaran berubah-ubah dan nilai pemain boleh berubah.

Adakah Liga Pro Saudi akan memberi kesan besar kepada pasaran itu?

Apakah asas latar belakang liga itu?

Arab Saudi sentiasa mempunyai minat besar dalam bola sepak – dan liga persaingan.

Pasukan kebangsaannya layak ke enam daripada lapan Piala Dunia yang lalu.

Mereka turut memenangi tiga Piala Asia. Hanya Jepun yang memiliki lebih banyak gelaran.

Pada Piala Dunia Qatar tahun lalu, kesemua 26 anggota skuad itu bermain untuk kelab setempat. Tiada kelab yang memenangi lebih banyak trofi Liga Juara-Juara AFC daripada empat kemenangan pasukan Arab Saudi, Al-Hilal.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Arab Saudi memperlihatkan kehadiran yang lebih visual dalam persada sukan – seperti menganjurkan perlumbaan Formula 1, pertarungan tinju gelaran dunia berprofil tinggi dan menubuhkan LIV Golf.

Pembelian kontroversi Newcastle adalah bukti lanjut tentang minat yang semakin meningkat dalam menggunakan sukan untuk memaparkan Arab Saudi kepada khalayak lebih luas. Tawaran Piala Dunia 2030 bersama Mesir dan Greece juga dirancang.

“Arab Saudi melihat dirinya sebagai pusat Orde Baru Dunia dan pelaburan dalam sukan membantu menyumbang kepada kedudukan negara itu,” ujar profesor sukan dan ekonomi geopolitik di Sekolah Perniagaan Skema di Paris, Simon Chadwick, baru-baru ini.

Menambah baik Liga Arab Saudi adalah sebahagian daripada rancangan itu – dengan bantuan nama berprofil tinggi.

Bekas penyerang Leeds dan Wolves Heldar Costa, bekas pemain antarabangsa Argentina Ever Banega dan bekas penyerang Watford dan Manchester United Odion Ighalo semua ditampilkan musim lalu, ketika Al-Ittihad dilatih oleh bekas bos Wolves dan Tottenham Nuno Espirito Santo, menamatkan saingan liga sebagai juara.

Adakah Eropah bimbang kekurangan bakat?

Bagi bola sepak Eropah, kebangkitan Liga Pro Saudi menimbulkan cabaran.

Kehilangan pemain utama bukanlah satu pengalaman baru – Liga Super China dan Major League Soccer telah ‘menggoda’ bintang-bintang sebelum ini.

Bagaimanapun, pemergian pemain dalam kemuncak kerjaya mereka seperti Neves merisaukan.

Jika beliau dapat menjana gaji mewah seperti yang dikatakan, bagaimanakah tindak balas kelab Eropah?

Malah, antara 20 teratas dalam senarai orang terkaya Deloitte, dana tidak terhad dan peraturan kewangan perlu dipatuhi. Jika mereka cuba bersaing dalam tempoh yang panjang, ia akan memberi kesan besar kepada perbelanjaan terbesar kelab iaitu gaji.

Dan bagaimana dengan Liga Juara-Juara? Jika keunggulannya sebagai pertandingan kelab mula terjejas oleh ketiadaan nama terbesar bola sepak dunia, bolehkah kelab dari luar Eropah ditawarkan penyertaan?

Presiden Uefa, Aleksander Ceferin tidak melihatnya begitu.

“Ia kesilapan bagi bola sepak Arab Saudi,” katanya kepada penyiar Belanda, NOS.


“Mereka harus melabur dalam akademi, membawa jurulatih sendiri dan membangunkan pemain mereka sendiri.

“Sistem membeli pemain yang hampir di penghujung kerjaya mereka bukanlah sistem yang membangunkan bola sepak. Ia adalah kesilapan yang sama di China apabila mereka membawa pemain yang berada di penghujung kerjaya mereka.

“Ia bukan sahaja mengenai wang. Pemain mahu memenangi pertandingan terbaik. Dan persaingan teratas adalah di Eropah.” – Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >