Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mental juara catur dunia, Ding Liren jadi tanda tanya

Oct 1, 2024 | 2:44 PM
Juara catur dunia Ding Liren (kiri) berkata bahawa beliau tidak lagi berada pada tahap terendah dan akan cuba yang terbaik dalam Kejohanan Dunia di Singapura.
Juara catur dunia Ding Liren (kiri) berkata bahawa beliau tidak lagi berada pada tahap terendah dan akan cuba yang terbaik dalam Kejohanan Dunia di Singapura. - Foto REUTERS

Terdapat banyak perbualan mengenai prestasi dan keadaan mental penyandang juara dunia Ding Liren, baru-baru ini menjelang persaingannya menentang Gukesh Dommaraju dari India untuk Kejohanan Catur Dunia di Singapura dari 25 November hingga 13 Disember.

Rakan-rakan seperjuangan Ding, seperti pemain terbaik dunia dari Norway, Magnus Carlsen, dan ramai netizen mengatakan bahawa Ding “bukan pemain yang sama” lagi.

Juga dilaporkan bahawa pemain China itu sedang “bergelut” dengan masalah kesihatan mental.

Ditanya mengenai komen tersebut semasa temu bual media melalui Zoom pada 30 September, Ding secara terbuka mengesahkan hal tersebut.

Pemain berusia 31 tahun itu berkata: “Nampaknya saya tidak bermain seperti dulu... penilaian mereka betul dan saya tidak tahu sama ada saya dapat mencapai tahap itu lagi.”

Ding, yang mengambil sembilan bulan untuk berehat selepas menjadi juara dunia pada April 2023 selepas menewaskan Ian Nepomniachtchi dari Russia, berkongsi bahawa beliau berjumpa pakar psikologi berkaitan keadaan mentalnya.

Ding merupakan pengganti Carlsen bagi Kejohanan Dunia 2023 selepas juara lima kali itu menarik diri daripada mempertahankan gelarannya, dengan alasan kekurangan motivasi.

Ini bermakna Nepomniachtchi – yang menangi kejohanan Calon 2022 di Madrid, Sepanyol – menentang Ding, naib juara Calon sebaliknya dalam penentuan gelaran di Astana, Kazakhstan.

Selepas kedua-duanya seri 7-7 dalam format terbaik daripada 14 pertandingan, Ding menangi ‘play-off’ pantas 2.5 mata berbanding 1.5 mata, memanfaatkan kesilapan Nepomniachtchi dalam permainan format terakhir yang lebih ringkas.

Tetapi ada yang percaya bahawa Ding akan bekerja keras untuk mempertahankan gelarannya dalam kejohanan di Resorts World Sentosa itu.

Dalam Olimpik Catur, acara berpasukan di Budapest, Hungary, yang berakhir seminggu lalu, Ding tidak menangi sebarang pertandingan.

Dengan tujuh seri dan satu kekalahan, beliau mengumpul mata paling rendah dalam kalangan lima pemain China.

Dalam temu bual menerusi Zoom, Ding berharap nasibnya akan berubah tidak lama lagi.

Ketika ditanya mengenai lawannya, Gukesh yang berusia 18 tahun, Ding berkata:

“Pesaing saya masih muda namun sangat kuat.”

Gukesh menduduki ranking kelima dunia dengan 2,794 mata, manakala Ding di tempat ke-21 dengan 2,728 mata.

Ding, yang merupakan pemain ketiga dunia semasa Kejohanan Dunia 2023, menambah:

“Generasi baru pemain catur sangat menakutkan, terutama mereka yang berada dalam kelompok 10 terbaik.

“Terdapat banyak pemain yang dilahirkan selepas tahun 2000, mereka bermain tanpa rasa takut dan sanggup cuba strategi berbeza yang mungkin tidak dimiliki oleh generasi sebelumnya.”

Prestasi buruk Ding menjadi bahan perbincangan dalam kalangan media India. Ada yang mengatakan bahawa beliau akan tewas dalam usaha mempertahankan gelarannya.

Mengenai dirinya bukan pemain favorit, Ding berkata: “Saya suka bahawa media mengatakan ini dan merasakan saya ialah underdog. Saya akan kejutkan mereka.”

Tiket untuk Kejohanan Catur Dunia boleh didapati di https://sistic.com.sg/events/chess1124

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg