PARIS: Perbalahan mengenai logo Olimpik yang menghiasi struktur Menara Eiffel buat jangka masa panjang telah berubah, dengan seorang menteri pemerintah Perancis menyatakan mahu mengambil alih kawalan de facto monumen tersebut daripada penguasa bandar Paris.
Mercu tanda terkenal itu menampilkan logo Olimpik gergasi bersempena dengan temasya sukan Olimpik dan Paralimpik musim panas lalu.
Datuk Bandar Paris, Cik Anne Hidalgo, berkata versi lain logo itu harus menghiasi Menara Eiffel sehingga Sukan Olimpik akan datang di Los Angeles pada 2028.
Cadangan itu menimbulkan reaksi bercampur-baur dalam kalangan penduduk Paris dan di peringkat tertinggi negara.
Pada hujung September, pekerja telah menurunkan gelang keluli seberat 30 tan itu, yang kali pertama dipasang pada Jun lalu di antara tingkat satu dengan dua menara tersebut.
Cik Hidalgo telah mencadangkan untuk menukar gelang keluli itu dengan versi logo yang lebih ringan dan kurang menonjol.
Namun, cadangan ini tidak diterima oleh sebilangan orang, termasuk pesaing politiknya.
Salah seorang pengkritik terbesarnya ialah ahli politik dan ketua pembangkang di dewan bandaraya Paris, Cik Rachida Dati, yang baru dilantik semula sebagai Menteri Kebudayaan – jawatan yang memberinya banyak pengaruh ke atas bangunan yang dilindungi.
Pada 8 Oktober, Cik Dati mengumumkan beliau telah meminta bagi Menara Eiffel dijadikan sebahagian senarai warisan tertinggi negara itu.
Jika permintaannya diluluskan, secara de facto, pemerintah pusat akan mengambil alih kuasa atas kerja-kerja yang dilakukan di menara itu daripada pesaingnya, Cik Hidalgo.
Sebarang kerja yang dilakukan pada bangunan yang berstatus warisan penuh, memerlukan kelulusan pegawai wilayah, yang bekerja di bawah pemerintah atau agensi lain.
Sekiranya Cik Hidalgo menolak permintaan Cik Dati supaya menara itu dimasukkan ke dalam senarai warisan tertinggi negara, Cik Dati berkata beliau akan membuat perubahan itu “secara paksa”.
Ditanya mengenai inisiatif itu, Cik Hidalgo berkata Menara Eiffel sudah “dilindungi dengan amat baik”.
Kenyataan Cik Dati itu juga menimbulkan kemarahan SETE, syarikat yang mengendalikan Menara Eiffel, yang majoritinya dimiliki oleh bandar Paris.
Presiden SETE, Encik Jean-Francois Martins, memberitahu AFP bahawa Menteri Kebudayaan itu berhak meminta status warisan jika sesuatu tapak terancam.
“Namun Menara Eiffel tidak sebegitu,” katanya.
Encik Martins menuduh Cik Dati mempergunakan isu Menara Eiffel “untuk memajukan matlamat politiknya”.
Sementara itu, beberapa ahli pembangkang majlis perbandaran Paris telah mencadangkan untuk mempamerkan logo Olimpik di tempat lain di ibu negara. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg