Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mesir pecat jurulatih selepas pasukan tewas di pusingan kalah mati

Feb 5, 2024 | 4:49 PM
Mesir memecat jurulatih Rui Vitoria selepas kekalahan di tangan Republik Demokratik Congo dalam pusingan kalah mati Piala Negara-Negara Afrika.
Mesir memecat jurulatih Rui Vitoria selepas kekalahan di tangan Republik Demokratik Congo dalam pusingan kalah mati Piala Negara-Negara Afrika. - Foto REUTERS

KAHIRAH: Mesir telah memecat jurulatih skuad bola sepak, Rui Vitoria, seminggu selepas pasukan itu tersingkir di peringkat 16 terakhir Piala Negara-Negara Afrika (Afcon) di Ivory Coast.

Demikian dinyatakan Persatuan Bola Sepak Mesir (EFA) dalam satu kenyataan pada 4 Februari.

Kontrak Vitoria sepatutnya berlanjutan sehingga Piala Dunia 2026 tetapi kempen Mesir dalam Afcon yang mengecewakan – termasuk kekalahan 7-8 kepada Republik Demokratik Congo menerusi sepakan penalti susulan keputusan perlawanan yang terikat 1-1 pada 29 Januari.

Perlawanan itu turut menyaksikan pemain pertahanan Mesir, Mohamed Hamdy Sharaf, dibuang padang pada lewat perlawanan dan Mesir terpaksa bermain dengan 10 pemain.

EFA berkata jurulatih berusia 53 tahun itu dan seluruh kakitangan kejurulatihan sudah diberhentikan daripada tugas mereka.

Ia turut menambah bekas jurulatih pasukan Al Ahly, Mohamed Youssef, akan mengambil alih tugas buat sementara waktu.

Beliau merupakan jurulatih yang mengendali kelab gergasi Mesir menjulang kejuaraan Liga Juara-Juara Afrika pada 2013.

“Persatuan ini juga akan mengkaji latar belakang beberapa jurulatih asing,” kata EFA.

Vitoria menjadi jurulatih Mesir pada 2022 dan mengambil alih pasukan yang bergelut dengan kemerosotan drastik dalam prestasi selepas layak ke final Afcon di Cameroon beberapa bulan sebelumnya.

Selepas beliau mengambil alih, Mesir mempamerkan peningkatan ketara di bahagian serangan dan melayakkan diri ke pusingan kalah mati Afcon di Ivory Coast.

Pasukan itu turut menang dua perlawanan awal bagi kelayakan Piala Dunia 2026.

Bagaimanapun, prestasi hambar di Ivory Coast – ia layak ke pusingan kalah mati Afcon selepas mencatatkan tiga keputusan seri berturut-turut dalam peringkat kelayakan sebelum DR Congo meranapkan impian pasukan tersebut merangkul Afcon buat rekod kali kelapan.

Vitoria muncul jurulatih terbaru yang dipecat pada kejohanan itu susulan pemergian jurulatih Djamel Belmadi bagi Algeria; Tom Saintfiet bagi Gambia; Chris Hughton bagi Ghana; Jalel Kadri bagi Tunisia, Adel Amrouche bagi Tanzania dan Jean-Louis Gasset bagi Ivory Coast. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg