Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

SUKAN SETEMPAT

Meski cedera, Farhanna Farid rampas semula rekod dunia

Alami kecederaan teruk sebelum Kejohanan Angkat Berat Klasik Terbuka Dunia, tetapi berjaya angkat berat 203 kilogram
Jun 19, 2023 | 05:31 AM



Biar putih tulang, jangan putih mata.

Demikian tingginya semangat juang yang ditonjolkan srikandi angkat berat Singapura, Farhanna Farid, dalam Kejohanan Angkat Berat Klasik Terbuka Dunia di Malta pada Ahad.

Sungguhpun masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan pada belakang tubuh – yang disifatkannya sebagai “kecederaan paling buruk” pernah dialaminya – atlet berusia 30 tahun itu berjaya mencatatkan rekod dunia angkat biasa atau ‘dead lift’ bagi kategori wanita bawah 52 kilogram dengan mengangkat berat 203 kilogram.







Beliau mengatasi dan merampas semula rekod dunia yang sebelum ini dirangkul atlet angkat berat New Zealand, Evie Corrigan – juara keseluruhan bagi pertandingan tersebut – yang dicatatkan pada Mac 2023 iaitu 202.5 kilogram.

Dihubungi Berita Harian (BH), Farhanna berkata: “Secara jujur saya masih tidak percaya ia berlaku. Apa yang berlaku rasanya seperti satu keajaiban.”


Menurutnya, beliau mengalami kecederaan teruk selepas sesi latihan sekitar dua bulan sebelum pertandingan.

Farhanna menjelaskan bahawa sebelah bawah bahagian belakang tubuh dan pinggulnya menjadi kaku dan tegang.

Beliau menambah sebarang pergerakan yang memerlukannya menggerakkan tulang belakang seperti menarik nafas, berjalan dan bersin, akan terasa sakit yang teramat sangat di bahagian belakang tubuhnya, seakan terkena renjatan.

“Lantaran itu, rekod dunia kali ini lebih istimewa berbanding rekod-rekod sebelum ini kerana saya bukan sahaja meraih semula rekod yang dirampas oleh pesaing saya dalam kategori wanita bawah 52 kilogram… malah saya melakukannya ketika melalui kecederaan paling buruk dalam seluruh kehidupan saya.

“Saya tahu kami (jurulatih dan pasukannya) telah melakukan segala yang mampu untuk merealisasikan detik itu tetapi... satu-satunya perkara yang memacu daya fizikal saya adalah keazaman untuk mendapatkan semula rekod dunia itu,” jelasnya.

Ia rekod dunia keenam ‘dead lift’ beliau dalam tempoh setahun – rekod dunia pertamanya dicatatkan dalam Kejohanan Angkat Berat Klasik Terbuka Dunia di Afrika Selatan pada Jun 2022.

Pada waktu itu, beliau mengangkat berat 197 kilogram dan 200.5 kilogram untuk memecahkan rekod dunia sebanyak dua kali dalam satu-satu kejohanan.

Farhanna turut berjaya memecahkan rekod dunia buat kali ketiga dengan mengangkat berat 201 kilogram dalam Piala Asia Tenggara di Johor Bahru pada September 2022 sebelum sekali lagi memecahkan rekod dunia sebanyak dua kali dalam Kejohanan Angkat Berat Klasik Asia di Dubai tiga bulan kemudian – beliau mengangkat 201.5 kilogram dan 202 kilogram.

Angkat berat merangkumi tiga komponen – ‘squat’, ‘bench press’ dan ‘dead lift’.

Bagi komponen ‘squat’, atlet akan meletakkan barbel pada bahu, mencangkung dan kemudian berdiri tegak semula.

Bagi ‘bench press’, atlet akan baring terlentang di atas bangku dan menolak barbel.

Untuk ‘dead lift’ pula, para atlet mempunyai satu minit untuk mula mengangkat dengan menarik barbel naik dalam satu pergerakan sehingga bahu, pinggul dan lutut terkunci sepenuhnya.

Setelah kedudukan itu dibuat oleh atlet, pengadil akan memberikan arahan ‘turun’.

Proses mengangkat itu selesai apabila barbel diturunkan.

Tiga percubaan terbaik dalam setiap komponen dikira dan atlet dengan jumlah berat tertinggi dinobatkan sebagai pemenang keseluruhan.

Farhanna mengakhiri pertandingan di Malta baru-baru ini di tempat kelapan daripada 24 pesaing dengan berat keseluruhan 400.5 kilogram (203 kilogram bagi ‘dead lift’, 127.5 kilogram bagi ‘squat’ dan 70 kilogram bagi ‘bench press’).

Beliau menyifatkan suaminya sebagai antara individu yang memainkan peranan penting sebagai ‘moderator’ dalam kehidupannya.

“Beliau penyayang dan memberi sokongan tetapi juga tegas dan kritikal berkenaan diri saya sebagai atlet.

“Saya akan terus tingkatkan had berat (yang boleh dicatatkan) untuk ‘dead lift’ dan berusaha menaiki podium di persada dunia,” jelas beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >