Subuh
5:57
Syuruk
7:15
Zuhur
1:19
Asar
4:31
Maghrib
7:20
Isyak
8:29
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

Meski gagal, skuad Singa wanita harus teruskan usaha...kejayaan ambil masa

Sep 28, 2023 | 05:30 AM



Keputusannya tidak ideal, tetapi proses untuk menguji diri di pentas saingan yang lebih besar amat diperlukan.

Kempen sulung Sukan Asia pasukan bola sepak wanita Singapura mungkin mahu cepat dilupakan para pemain setelah dua kali mereka dibelasah teruk oleh pasukan nombor 10 dunia Korea Utara – 0-7 pada Ahad dan 0-10 pada Rabu – dalam aksi Kumpulan C.

Walau demikian, anak didik jurulatih skuad Singa wanita, Karim Bencherifa, tidak pulang dengan tangan kosong.

Sejak Mei lagi selepas Singapura terkandas pada pusingan kumpulan Sukan SEA 2022, Bencherifa, yang baru dua bulan dilantik oleh Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), ketika itu berkata persiapan untuk edisi temasya sukan dwitahunan itu pada masa akan datang bermula sekarang.

Singapura kembali dalam arena Sukan SEA pada 2022 di Hanoi, Vietnam, selepas 19 tahun menyepi.

Kepulangan mereka dirangsang dengan kemenangan bersejarah – 1-0 ke atas Laos – dalam pertandingan itu sejak 1985.

Dalam edisi Kemboja pada Mei, Singapura hampir ke separuh akhir tetapi kekalahan 0-1 kepada pasukan tuan rumah memusnahkan segala harapan.

Bencherifa menantikan perlawanan ulangan menentang Kemboja dalam Kumpulan C Sukan Asia tetapi rakan serantau mereka menarik diri daripada bertanding.

Sukan SEA seterusnya bakal diadakan di Bangkok, Thailand, pada 2025.

Jelas, sasaran Bencherifa, yang kontraknya dijangka tamat pada 2025, bukan pada aspirasi jangka pendek, tetapi pada jangka masa panjang.

Justeru, Sukan Asia di Hangzhou, China, dari 23 September hingga 8 Oktober, boleh dikatakan untuk menimba pengalaman, terutamanya mendedahkan pemain muda kepada arena bola sepak wanita Asia yang semakin pesat berkembang.

Lapan daripada 14 pasukan negara yang bertanding dalam Sukan Asia Hangzhou pernah ke Piala Dunia Wanita Fifa.

Ini termasuk juara Piala Asia tiga kali, Korea Utara.

Pengumuman persaraan penjaga gol, Kusumawati Rosman, daripada pasukan nasional selepas Sukan Asia turut menandakan peralihan generasi dalam barisan pemain dalam skuad.

Akhbar The Straits Times melaporkan bekas kapten dan pemain bek tengah Ernie Sontaril, 35 tahun, telah disingkirkan daripada skuad nasional Bencherifa sekali gus terlepas ke Sukan Asia.


Bagaimanapun, yang patah tumbuh, yang hilang pasti berganti. 

Sebaliknya, lengan tangan kapten diberikan kepada Rosnani Azman, 26 tahun, yang memimpin skuad dari benteng pertahanan bersama rakan bek tengahnya, Nurerwaddah Erwan, 19 tahun.

Purata usia skuad Sukan Asia Singapura adalah 22.9 tahun.

Bencherifa berani menurunkan pemain muda dalam kededua perlawanan menentang Korea Utara, meskipun tahu mereka akan “dimakan” lawan.

Pada Ahad, pemain bek kiri Irsalina Irwan jelas kelihatan bergelut menghalang hantaran lintang dan beberapa kali mudah diatasi lawannya.

Beberapa gol Korea Utara dijaringkan dari bahagian sayapnya.

Penyerang Sarah Zu’risqha pula dikerahkan dalam posisi midfield serangan dan dilihat kebanyakannya mengejar bola dari satu hujung ke satu hujung sepanjang perlawanan.

Tetapi, apa yang boleh dijangkakan oleh pemain yang masing-masing berusia 16 dan 17 tahun?

Perjalanan belia ini baru sahaja bermula.

Prestasi mereka di Sukan Asia mungkin dianggap hambar oleh penyokong di tanah air.

Tetapi, ia telah menunjukkan kemajuan pasukan berbanding kekalahan 0-24 di tangan Korea Utara pada 2001, iaitu yang terbesar dalam sejarah bola sepak wanita Singapura.

Pengalaman di Hangzhou akan mematangkan pemain Singapura.

Bagi saya, pemain Singa wanita boleh pulang dengan rasa bangga bahawa anda telah berani mencuba dan berjuang habis-habisan.

Kejayaan memerlukan masa. 

Teruskan usaha dan percaya pada proses memperbaiki diri.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >