Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Skuad wanita Singa akan cuba perbaiki persembahan: Jurulatih Bencherifa

Pasukan Singa dibelasah 0-7 oleh Korea Utara
Sep 25, 2023 | 3:41 PM
CUBA PERTAHANKAN: Pasukan bola sepak wanita Singapura (jersi biru) bergelut mempertahankan hantaran lintang dan sepakan penjuru dari skuad Korea Utara dalam perlawanan pembukaan Sukan Asia Hangzhou di Stadium Pusat Sukan Wenzhou pada Ahad.
CUBA PERTAHANKAN: Pasukan bola sepak wanita Singapura (jersi biru) bergelut mempertahankan hantaran lintang dan sepakan penjuru dari skuad Korea Utara dalam perlawanan pembukaan Sukan Asia Hangzhou di Stadium Pusat Sukan Wenzhou pada Ahad. - Foto SPORT SINGAPORE

Ada perkara yang mungkin boleh dibaiki dan ada yang tidak boleh, kata ketua jurulatih pasukan nasional bola sepak wanita Karim Bencherifa susulan kekalahan besar Singapura 0-7 dibelasah Korea Utara pada Ahad.

Dalam penampilan sulung mereka di Sukan Asia Hangzhou, China, skuad wanita Singa, jelas mudah diatasi lawan yang jauh lebih tinggi dan kuat secara fizikal dalam aksi pembukaan Kumpulan C di Stadium Pusat Sukan Wenzhou. 

Korea Utara yang merupakan pasukan nombor 10 dunia, menjaringkan enam gol pertamanya menerusi tandukan, dengan Singapura, yang berada 120 anak tangga di bawah ranking seterunya itu, bergelut mempertahankan hantaran lintang dan sepakan penjuru. 

Kededua pasukan akan menentang satu sama lain sekali lagi pada Rabu dalam perlawanan kedua dan terakhir Kumpulan C. 

Kumpulan itu hanya dianggotai dua negara setelah Kemboja menarik diri daripada bertanding.

Bencherifa, 55 tahun, mengakui skuad seramai 22 pemainnya kurang dari sudut ketinggian dan tahap fizikal untuk berdaya saing dengan Korea Utara, yang telah membuat empat penampilan dalam Piala Dunia Fifa dan pemenang Sukan Asia sebanyak tiga kali. 

Singapura juga tanpa pemain bintangnya seperti Danelle Tan, Putri Syaliza Sazali dan Izzati Rosni.

Bencherifa, warga Maghribi, berkata:

“Ada perkara yang mungkin kita boleh perbaiki dan cuba melakukan yang lebih baik tetapi ada perkara yang tidak boleh dibaiki dalam masa dua hari.

“Pemain pastinya akan berasa kecewa dan kami berasa kecewa. Apabila kami bertanding dalam perlawanan, saya ingin bersaing, mencipta peluang jaringan, menyerang dan sudah pasti menjaringkan gol. Namun, inilah keadaannya buat masa ini.” 

Walau demikian, Bencherifa, yang dilantik pada Mac, menambah beliau tetap berbangga dengan usaha anak didiknya dalam fasa yang dianggap sebagai “peralihan” bagi bola sepak wanita Singapura. 

Skuad mudanya di temasya sukan Hangzhou mempunyai purata usia 22.4 tahun.

Antara bakat belia yang diturunkannya dalam kesebelasan utama pada Ahad termasuk pemain bek kiri Irsalina Irwan, 16 tahun, dan penyerang  Sarah Zu’risqha, 17 tahun.

“Saya bangga dengan kemajuan mereka. Secara perlahan-lahan permainan mereka bertambah baik. Seperti saya beritahu anda sebelum ini selepas Sukan SEA (pada Mei), persiapan untuk Sukan SEA akan datang bermula pada ketika itu.

“Kini kita sedang bersaing dalam pertandingan ini tetapi kita juga memikirkan tentang masa akan datang.

“Para pemain juga sudah matang dan mereka tahu mutu permainan pihak lawan dan kemajuan yang cuba mereka lakukan. Paling penting, mereka yakin pada kami (jurulatih) dan matlamat tersebut,” kata Bencherifa. 

Kekalahan 0-7 itu mungkin mengejutkan ramai penyokong di tanah air tetapi ia adalah keputusan terbaik Singapura dalam menentang Korea Utara. 

Skuad Singa Wanita pernah berdepan Korea Utara beberapa kali termasuk mengalami kekalahan terbesar dalam sejarahnya 0-24 pada 2001. 

“Saya gembira dengan bagaimana pasukan mengatur permainan dan percaya pada diri sendiri (malam ini). Kita boleh memandang ke hadapan untuk perlawanan seterusnya dan bermain dengan bangga, semangat berpasukan yang baik dan corak permainan yang dipertingkat,” tambah Bencherifa. 

“Para pemain juga sudah matang dan mereka tahu mutu permainan pihak lawan dan kemajuan yang cuba mereka lakukan. Paling penting, mereka yakin pada kami (jurulatih) dan matlamat tersebut.”
Ketua jurulatih pasukan bola sepak wanita Singa, Karim Bencherifa.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg