NEW YORK: Petinju veteran, Mike Tyson mendakwa dietnya menjadi penyebab beliau terpaksa menarik diri daripada tarikh pertarungan awalnya dengan seorang pempengaruh YouTube yang beralih ke bidang tinju, Jake Paul.
Tyson yang berusia 58 tahun sebelum ini dijadualkan berdepan Paul yang juga dikenali sebagai ‘The Problem Child’, 27 tahun, pada 20 Julai, tetapi masalah ulser yang dialaminya memaksa beliau menarik diri.
Pertarungan itu kini dijadual akan berlangsung pada 15 November.
Doktor telah menasihatkan Tyson supaya menghentikan latihan, tetapi beliau kini kembali ke gimnasium dan menegaskan yang beliau bersedia menentang selebriti berusia 27 tahun itu pada November.
Pertarungan yang hangat dibincangkan antara kedua-duanya kini dijadualkan di Arena AT&T di Arlington, Texas, dengan sekitar 90,000 peminat dijangka hadir.
Pertarungan itu dianggap sebagai persaingan profesional di bawah kategori heavyweight.
Sejak tarikh pertarungan itu ditukar, ramai dalam kalangan peminat tinju mengkritik keputusan Tyson meneruskannya, menyatakan kebimbangan mereka terhadap kesihatan bekas juara tinju itu.
Dalam temu bual dengan media baru-baru ini, Tyson yang juga digelar ‘Iron Mike’ mendedahkan beliau kini ‘bebas ulser’ dan mengaitkan masalah kesihatannya sebelum ini dengan dietnya.
“Saya makan terlalu banyak makanan yang kurang elok dan akibatnya saya jatuh sakit,’‘ katanya.
Tyson kini berkata beliau mengelak ‘makanan yang diproses’ dan memilh untuk ‘makan bersih’ menjelang pertarungannya dengan petinju muda Amerika itu.
‘Makan bersih’ merujuk kepada langkah memakan produk makanan ‘sebenar’ sedekat yang boleh dalam bentuk aslinya. Ini bermakna makanan itu tidak diproses atau diperhalusi, contohnya, seperti sayur dan buah-buahan segar.
Tyson berkongsi pandangannya mengenai potensi kesan pertarungan itu terhadap reputasinya.
Beliau juga menepis pendapat pengkritik tentang implikasi pertarungan itu terhadap legasinya.
“Saya tidak bertarung demi legasi. Sebabnya legasi itu saya anggap ego,” ujarnya.
Tyson berkata beliau kini mengikut diet ‘bersih’ dan sudah bersedia berhadapan dengan Paul.
Namun para peminat masih kurang yakin dan mengesyaki bahawa Tyson belum komited sepenuhnya untuk bertarung.
Dalam satu temu bual baru-baru ini, Tyson mendakwa beliau sedang berlatih bersungguh-sungguh.
“Saya berlatih dengan amat keras, saya melakukannya selama enam jam sehari.
“Saya bermula pada 11 pagi dan mungkin meninggalkan gimnasium sekitar 5 petang,” katanya.
Apabila ditanya sama ada ini termasuk waktu rehat makan tengah hari, Tyson mengesahkan terdapat waktu rehat yang singkat yang diambilnya.
Tyson sudah tidak bertarung secara profesional selama hampir dua dekad, dengan pertarungan terakhirnya menentang Kevin McBride pada 2005, yang menyaksikan beliau mengalami kekalahan pusingan kelima.
Pertarungan terakhir Tyson adalah pada 2020. Ketika itu, beliau beraksi dalam perlawanan persahabatan menentang Roy Jones.
Tyson merupakan petinju kategori heavyweight pertama yang memenangi kejohanan Persatuan Tinju Sedunia (WBA), Majlis Tinju Sedunia (WBC) dan Persekutuan Tinju Antarabangsa (IBF) pada 1987.
Sebaliknya, bintang tinju yang sedang meningkat naik Paul membuat penampilan sulungnya pada 2020 dan kerap dilihat dalam gelanggang sejak itu.
Dengan rekod 10 kemenangan dan tewas sekali, satu-satunya kekalahan Paul adalah kepada Tommy Fury pada 2023.
Kali terakhir Paul yang juga dikenali sebagai ‘The Problem Child’ menang ialah semasa pertemuannya dengan bekas atlet UFC Mike Perry pada 20 Julai.
Sementara itu, dalam satu laporan berasingan, Tyson berkata beliau tidak akan terfikir menentang seseorang yang jauh lebih tua daripadanya jika beliau masih berusia 27 tahun.
Dalam satu sidang media, Tyson ditanya bagaimana reaksinya jika beliau berusia 27 tahun dan Paul berusia 58 tahun.
“Saya tidak akan menentang seseorang yang berusia 58 tahun sekiranya saya berusia 27 tahun,” katanya.
Dalam satu temu ramah berasingan, Paul pula memberikan respons terhadap kritikan yang dilempar kepadanya berkaitan pertarungannya dengan Tyson.
“Pertama sekali, saya fikir agak tidak elok (kritikan yang dilempar) terhadap Tyson.
“Saya juga ingin katakan sekiranya Tyson ingin masuk ke gelanggang, maka biarkan. Sekiranya beliau ingin jadikannya perlawanan profesional, maka biarkan.
“Yang pasti saya ingin bertarung dengan beliau kerana beliau seorang legenda. Saya rasa berbesar hati dapat masuk gelanggang dengannya dan jika beliau ingin jadikannya perlawanan profesional, maka kita bakal lakukannya,” tambah beliau. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg