Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mikel Arteta pengurus semula jadi

Jun 25, 2023 | 5:30 AM
SERUPA TAPI TAK SAMA: Pep Guardiola (kiri) dan Mikel Arteta sebelum satu perlawanan EPL antara Manchester City dengan Arsenal.
SERUPA TAPI TAK SAMA: Pep Guardiola (kiri) dan Mikel Arteta sebelum satu perlawanan EPL antara Manchester City dengan Arsenal. - Foto REUTERS

LONDON: Senyuman terukir pada wajah Pepe Reina apabila beliau mengenang kembali bilik dormitori Mikel Arteta di sebuah rumah ladang di Barcelona yang pernah digelar rumah mereka.

Reina tidur di atas katil dua tingkat, sementara Arteta di bawah.

“Saya berdengkur kuat sehinggakan rakan-rakan lain menjadi tidak tenteram,” kata bekas penjaga gawang Liverpool dan Napoli itu lagi.

“Sehinggakan ada yang lontar peralatan bola sepak ke arah saya.

“Tapi memandangkan saya di katil atas dan Arteta di bawah, maka kebanyakan barangan itu terkena Arteta.

“Jelas bahawa perkongsian katil menjejas tidur malam beliau dan hampir juga jejas hubungan kami!”

Reina dipilih daripada latihan yang dilaluinya di Madrid, sementara Arteta di San Sebastian – kededuanya merupakan bakat muda di Sepanyol meninggalkan rumah masing-masing semasa pertengahan usia remaja mereka untuk menyertai akademi La Masia.

Akademi dengan tempat tinggal kendalian FC Barcelona itu telah menghasilkan para pemain seperti Lionel Messi, Xavi dan Andres Iniesta.

Sebelum 2011, akademi itu terletak di sebuah rumah ladang dekat Stadium Nou Camp.

Reina yakin bahawa semasa tempoh tersebut, Arteta memaparkan sebahagian ciri yang membantunya menjadi salah seorang pengurus berbakat di Eropah.

Pasukan muda Arsenal pimpinannya meraih tempat kedua dalam Liga Perdana England (EPL) dan melangkah ke Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak 2016 hingga 2017, meskipun tersungkur dalam beberapa perlawanan terakhir dalam musim yang baru lalu.

“Ia sememangnya sukar,” kata Reina kepada penyampai, John Bennet, dalam dokumentari BBC World Service, berjudul Arteta: The Making of Mikel.

“Kami hanya berusia 13 atau 14 tahun dan kami amat merindui abang, kakak dan adik serta ibu bapa kami.

“Saya masih ingat membaca surat dari rumah pada masa itu dan kemudian air mata mengalir. Ada yang menangis juga.

“Yang pasti ia membina watak kami. Daya tahan, mentaliti yang kuat, kesungguhan untuk menang trofi atau capai sasaran anda merupakan sesuatu yang anda perlukan untuk bertakat di La Masia.

“Kami berkongsi impian yang sama, mimpi ngeri yang sama, kebimbangan yang sama, dan kami semua menyokong satu sama lain seperti adik-beradik.”

Selain mengumpul kekuatan mental, Arteta juga dibimbing dengan falsafah Barcelona semasa mengawal bola – tidak mementingkan diri sendiri dan fleksibel dalam kedudukan di padang – sesuatu yang mengubah bola sepak kelab moden.

Dalam hal ini, pengurus Manchester City, Pep Guardiola, ternyata paling handal dan disusuli kededua jurulatih Xavi dari Barcelona dan Arteta dari Arsenal.

Menurut Reina, secara kebetulan ketiga-tiga mereka bermain di bahagian midfield.

“Saya fikir pendidikan di Barcelona sebagai pemain, terutama dalam posisinya, sememangnya kukuh,” katanya.

“Sememangnya normal bagi para pemain ini dalam posisi tersebut lebih memahami bola sepak berbanding para pemain lain.

“Saya fikir, Arteta memang dilahirkan untuk menjadi seorang pengurus. Kepintarannya di padang juga dipaparkannya di luar padang.”

Sementara itu, Paco Seirul-lo merupakan pemimpin di Barcelona, juga bertindak sebagai mentor kepada kededua Guardiola dan Arteta.

Beliau menjadi jurulatih kecergasan pasukan utama kelab tersebut pada 1994, dan kemudian digelar “Ketua Metadologi” sedekad kemudian.

“Falsafahnya adalah anda pentingkan rakan sepasukan berbanding diri anda sendiri,” katanya.

“Ini bermakna meninggalkan sikap ego anda.

“Sesetengah pemain tidak dapat menerima dan tidak berjaya.

“Yang lain faham kerana ia bukan mengorbankan diri anda sahaja, tetapi bagaimana untuk sesuaikan permainan itu demi kepentingan para pemain sepasukan anda.

“Itu yang biasa dilakukan Arteta dan Guardiola.

“Apabila pemain mendapat bola, beliau akan ucapkan terima kasih kerana bola sampai di tempat yang diinginkannya.

“Seperti Pep, Arteta juga tidak pentingkan diri sendiri dan bermain untuk rakan sepasukannya.

“Apa yang dipentingkannya adalah kerjasama dengan pasukan dan bantu yang lain maju.

“Dan itulah yang dilakukannya kini dengan para pemainnya: beliau latih mereka agar keutamaan mereka hanyalah untuk bekerjasama dengan rakan sepasukan.

“Arteta cuba wujudkan suasana di mana timbul kreativiti dalam kalangan pemainnya.”

Kejayaan Arteta sebagai pemain dan seorang jurulatih merupakan sumber kebanggaan di San Sebastian, sebuah bandar tepi pantai di mana kerjaya bola sepaknya bermula.

Sebuah rumah kelab yang digunakan Antiguoko FC telah memainkan peranan besar, bukan sahaja buat Arteta, malah ramai pemain lain di San Sebastian, seperti Xabi Alonso.

“Kami bermain banyak pertandingan bersama Mikel dan Xabi dalam pasukan yang sama,” kenang bekas jurulatih mereka, Roberto Montiel, yang kini naib presiden Antiguoko.

“Ketiga-tiga kami biasa ke Perancis bermain dalam pertandingan dan sememangnya ia menarik dan kami pula merupakan sebuah pasukan yang hebat.”

Malah Montiel sendiri menyaksikan program pembangunan belia Antiguoko selama lebih dua dekad – dan akur bahawa terdapat sesuatu yang istimewa mengenai Arteta.

“Beliau memang lebih hebat berbanding yang lain.

“Prestasinya baik meskipun bertubuh kecil. Beliau bak Messi.

“Jika anda lihat video Messi, anda boleh lihat banyak persamaan semasa mereka kecil.

“Malah Mikel pandai baca permainan, seperti beliau saksikan bola dari atas.

“Pemain sebegini memang istimewa, dan mereka dapat lihat permainan dari padang di mana hanya mereka yang di atas tempat duduk penonton dapat lihat.” – Agensi berita.

Laporan berkaitan
Turun naik kelab EPLMay 30, 2023 | 3:09 PM
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg