Topik diikuti
Pergi ke BHku‘Mimpi ngeri’ tersingkir ke liga bawah menanti Spurs, maruah kelab jadi taruhan
‘Mimpi ngeri’ tersingkir ke liga bawah menanti Spurs, maruah kelab jadi taruhan
Spurs perlu seri atau menang pertarungan terakhir liga untuk selamat, West Ham pikul tugas lebih berat, meski kemenangan tidak jamin kedudukan dalam EPL musim depan
‘Mimpi ngeri’ tersingkir ke liga bawah menanti Spurs, maruah kelab jadi taruhan
Selepas perebutan gelaran Liga Perdana England (EPL) berakhir dengan kurang dramatik apabila Arsenal berjaya muncul juara dengan baki satu perlawanan, tumpuan kini beralih kepada persaingan sengit di kelompok bawah liga pula.
Tottenham Hotspur, yang memerlukan sekurang-kurangnya satu mata ketika menentang Chelsea untuk jamin kekal dalam EPL, sekali gus mengurangkan tekanan menjelang aksi terakhir menentang Everton, bagaimanapun gagal mencapai hasratnya itu.
Sebaliknya, kekalahan 1-2 kepada Chelsea bererti Spurs masih belum selamat, malah mereka berisiko dipintas West Ham United yang kini berada di tangga ke-18 pada hari terakhir musim.
Dengan ancaman penyingkiran semakin hampir dan maruah pasukan menjadi taruhan, pengurus Spurs, Roberto De Zerbi, menyifatkan perlawanan terakhir musim menentang Everton pada 24 Mei sebagai aksi yang lebih besar maknanya berbanding final Liga Europa musim lalu.
“Ahad ini (24 Mei) ibarat perlawanan akhir untuk Tottenham. Perlawanan paling penting adalah pada Ahad,” tegas De Zerbi.
“Kini kami bermain untuk sesuatu yang lebih daripada sekadar piala.”
“Ini adalah demi kebanggaan kelab dan sejarah. Anda boleh memenangi piala dan menambah satu lagi piala, tetapi ini lebih penting. Ini adalah tentang maruah kelab.”
Spurs mempunyai perbezaan gol yang jauh lebih baik daripada West Ham, yang bermakna keputusan seri di padang sendiri menentang Everton akan menjamin kedudukan mereka dalam EPL.
Tetapi, memandangkan Spurs hanya berjaya mencatatkan dua kemenangan di padang sendiri sepanjang musim ini, De Zerbi perlu menenangkan keadaan menjelang pertembungan genting dengan Everton di mana mereka tidak boleh kalah sama sekali.
Jika itu berlaku dan West Ham menewaskan Leeds United, Spurs perlu mula merancang untuk bersaing di liga bawah, Liga Kejohanan (Championship).
Jikalau mimpi ngeri itu menjadi realiti, bukan sekadar maruah yang terjejas.
Menurut data daripada laporan landskap kewangan dan pelaburan kelab Eropah Uefa, Spurs memperoleh pendapatan bernilai £690 juta ($1.1 bilion) pada 2025.
Pendapatan tersebut akan terjejas teruk jika mereka jatuh ke Liga Kejohanan.
Satu aspek utama sumber kerugian itu adalah hasil kutipan tiket.
Mereka tidak boleh mengenakan penyokong harga tiket yang sama untuk menyaksikan perlawanan Liga Kejohanan di mana pasukan yang bersaing tidak setaraf pasukan-pasukan EPL.
Tambahan pula, tarikan Spurs sebagai sebuah kelab yang boleh mendatangkan keuntungan juga terjejas, menyebabkan pelabur dan penaja boleh mengurangkan sumbangan mereka atau lebih buruk lagi, menarik diri daripada menaja kelab tersebut.
Selain masalah kewangan, mutu pemain yang bakal menyarung jersi Spurs juga menjadi tanda tanya.
Sudah terdapat beberapa laporan yang menyatakan bintang pasukan seperti Guglielmo Vicario, Pedro Porro, Djed Spence, Destiny Udogie, Micky van de Ven, Cristian Romero, Kevin Danso, Conor Gallagher, Rodrigo Bentancur, James Maddison, Xavi Simons, Mohammed Kudus, Dejan Kulusevski, Richarlison dan Dominic Solanke semua dikhabarkan akan meninggalkan kelab tersebut jika mereka tersingkir ke Liga Kejohanan.
Kebanyakan pemain yang disenaraikan itu merupakan pemain kesebelasan utama mereka.
Masalah kewangan serta keperluan untuk mengganti ramai pemain utama merumitkan lagi cabaran De Zerbi dan Spurs untuk berusaha bangkit ke EPL semula.
Namun, perkara ini tidak akan menjadi jika West Ham gagal mengatasi Leeds United dalam perlawanan terakhir mereka.
Bekas pemain Chelsea dan Liverpool, Joe Cole, yang juga menyifatkan dirinya sebagai penyokong kuat West Ham, tetap yakin West Ham mampu melakar kemenangan.
“Saya rasa West Ham akan menang menentang Leeds, saya yakin mereka akan buat yang terbaik untuk kekal di EPL.
“Jika Tottenham masih gagal mendahului perlawanan sehingga minit ke-70, saya rasa mereka (Tottenham) akan kalah,” katanya.
Leeds juga sedang menghadapi krisis kecederaan pemain dengan lapan pemain tidak dapat beraksi.
Walaupun mereka menang ke atas Brighton sebelum ini, pasukan itu masih dapat ditewaskan dengan mudah jika West Ham mengambil kesempatan.
Namun, walaupun Spurs telah menghasilkan keputusan yang amat mengejut dan mengecewakan sejauh ini, agak sukar untuk membayangkan bagaimana pasukan yang mempunyai barisan pemain bermutu seperti Spurs kini terkial-kial dalam zon relegasi.
Yang pasti, Spurs akan berjuang bermati-matian untuk mengelak rasa malu tersingkir daripada EPL. West Ham juga akan bertarung habis-habisan.
Bola itu bulat, pasukan mana satukah yang bakal gigit jari di akhir pertarungan terakhir mereka itu nanti – Spurs atau West Ham?
Ramalan wartawan:
Spurs 2-1 Everton
West Ham 1-1 Leeds
