Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Modric: Gol Italy jaringan ‘kejam’ buat Croatia

Jun 25, 2024 | 4:07 PM
Luka Modric dari Croatia (kiri) dan Jorginho dari Italy beraksi semasa perlawanan Euro 2024, yang berakhir dengan keputusan seri 1-1.
Luka Modric dari Croatia (kiri) dan Jorginho dari Italy beraksi semasa perlawanan Euro 2024, yang berakhir dengan keputusan seri 1-1. - Foto EPA-EFE

LEIPZIG (Jerman) : Pemain Croatia, Luka Modric, berkata gol penyamaan Italy pada saat akhir adalah satu cara “kejam” yang membuat pasukan Croatia kini hampir tersingkir daripada Kejohanan Eropah 2024 pada 24 Jun.

Pemain berusia 38 tahun itu menjadi penjaring gol tertua dalam sejarah Euro apabila beliau menjaringkan gol pada minit ke-55, dan meletakkan Croatia di landasan untuk mara ke peringkat kalah mati bagi kejohanan utama kelima berturut-turut.

Namun sepakan lencong pemain Italy, Mattia Zaccagni, pada minit kelapan dalam masa tambahan, memberi Italy keputusan seri 1-1 yang membuat juara bertahan itu memasuki kelompok 16 pasukan terbaik.

“Kami terus bertarung hingga waktu penamat, malangnya (sukan) bola sepak tidak mengasihani kami malam ini.

“Ia kejam... tapi itulah lumrah bola sepak,” kata Modric.

Croatia menduduki tempat ketiga dalam Kumpulan B di belakang Italy dan Sepanyol.

Pasukan Croatia akan tersingkir daripada kejohanan itu pada 25 Jun, jika England tidak menewaskan Slovenia 3-0 atau dengan empat gol, atau Denmark gagal menewaskan Serbia.

Pasukan yang layak menyertai separuh akhir Piala Dunia 2022 itu menunjukkan persembahan lebih baik semasa menentang Italy di Leipzig, namun terlepas beberapa peluang menjaringkan gol kedua dalam permainan itu.

“Memang sukar apabila anda kalah begini untuk mencari kata-kata yang menggambarkan perasaan anda.

“Mungkin ia tidak adil kerana kami memang bertarung untuk Croatia dari wisel permulaan hingga ke wisel akhir.

“Kami sepatutnya berbangga dengan cara kami mewakili negara malam ini,” kata Modric yang menjaringkan gol kurang 60 saat selepas tendangan penaltinya diselamatkan oleh Gianluigi Donnarumma.

Modric bermain dalam kejohanan Euro kelimanya, dan pernah beraksi dalam empat Piala Dunia.

Namun, beliau tiada rancangan untuk bersara daripada bola sepak buat masa ini, dan akan terus bermain pada tahap terbaik selepas memenangi gelaran keenam Liga Juara-Juara Eropah bersama Real Madrid awal bulan ini.

“Saya mahu terus bermain, walaupun akan tiba masanya saya perlu menggantung but bola.

“Tetapi buat masa ini saya akan terus bermain, saya tidak tahu untuk berapa lama lagi,” kata Modric. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg