THE HAGUE (Belanda): Bekas pemain nombor satu dunia, Naomi Osaka, mara ke peringkat suku akhir pertandingan gelanggang rumput di ‘s-Hertogenbosch (disebut Den Bosch) pada 12 Jun, dengan kemenangan selesa straight-set sedang beliau mempersiapkan diri bagi persaingan Wimbledon.
Pemenang Grand Slam empat kali itu menewaskan pemain Belanda, Suzan Lamens, 6-2, 6-2 dalam masa kurang sejam, dengan melakukan servis kencang dan pukulan groundstroke yang terlalu deras untuk dibalas oleh Lamens.
Pemain wanita Jepun itu, yang kini menduduki tempat ke-125 dunia, akan bertemu pemain Canada, Bianca Andreescu, yang menang secara straight-set dalam perlawanan menentang pemain pilihan keenam, Yuan Yue, dari China.
“Saya lebih relaks sekarang. Saya berasa lebih tenang dengan rancangan saya dan cukup gembira dapat kembali bertanding,” ujar Osaka.
Beliau menambah bahawa kunci bagi persembahan baiknya ialah beliau sekarang “lebih selesa untuk kembali (bersaing) dan menerima kesilapan yang dilakukan”.
Dalam permainan keenam, kededua pemain tersebut terkial-kial untuk menangani keadaan yang sukar.
Osaka kemudian bertindak pantas dengan mematikan servis Lamens menerusi pukulan kencang, yang turut dibantu oleh beberapa kesilapan yang dilakukan Lamens.
Lamens membuat lebih banyak kesilapan dalam servis seterusnya, memberi Osaka kemenangan 6-2 set pertama dalam masa hanya 26 minit.
Pemain Jepun itu terlalu handal untuk Lamens pada permulaan set kedua juga.
Osaka mematikan permainan servis pertamanya dengan siri pukulan kemenangan untuk mendahului 3-0.
Beliau menang dalam perlawanan itu apabila Lamens sekali lagi tersilap memukul bola ke jaring.
Osaka mengakui gelanggang rumput bukan permukaan kegemarannya.
Beliau meraih empat kemenangan Grand Slam di gelanggang keras di Terbuka Amerika Syarikat dan Australia.
Osaka tidak pernah melepasi pusingan ketiga di gelanggang rumput Wimbledon, namun kini kelihatan beransur-ansur kembali mencapai persembahan cemerlang yang pernah menjadikan beliau pemain nombor satu dunia. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg