MANCHESTER: Napoli bersetuju mengeluarkan bayaran dalam lingkungan 25.4 juta paun ($43.6 juta) kepada Manchester United untuk mendapatkan khidmat pemain midfield, Scott McTominay.
Walaupun kontrak peribadi masih belum dipersetujui dan McTominay masih belum memberi persetujuan untuk berpindah ke kelab Serie A, Italy itu, ia adalah tahun kedua berturut-turut United menunjukkan kesanggupan menjual lulusan akademi tersebut.
Terdahulu pada Ogos, United menolak tawaran £20 juta daripada Fulham untuk pemain antarabangsa Scotland itu.
Musim lalu, McTominay, 27 tahun, menolak peluang menyertai West Ham dan akhirnya membuat 32 penampilan Liga Perdana dan menjaringkan tujuh gol untuk United.
Beliau turut memulakan kemenangan final Piala FA menentang Manchester City.
Namun, beliau hanya digunakan sebagai pemain gantian dalam kedua-dua perlawanan Liga Perdana.
Pengurus, Erik ten Hag, masih mahu mengukuhkan skuadnya dan status McTominay sebagai pemain tempatan mewujudkan lebih fleksibiliti dalam peraturan kewangan Liga Perdana, lapor BBC.
United dilaporkan berminat mendapatkan khidmat pemain antarabangsa Uruguay, Manuel Ugarte, yang mewakili kelab Paris Saint-Germain dalam Liga Perancis, Ligue 1.
Namun sejauh ini, pemindahan pemain itu tergendala kerana United perlu menjual sebelum mereka boleh membeli. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg