COPENHAGEN: Negara Eropah telah menghantar sejumlah kecil tentera ke Greenland pada 15 Januari ketika Denmark merancang kehadiran Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) yang “lebih besar dan kekal” bagi mengamankan pulau yang didambakan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump.
Pengerahan tentera Eropah yang sederhana itu, bertujuan membantu Denmark mengadakan latihan tentera, menghantar mesej sokongan yang kuat sehari selepas mesyuarat pegawai dari Amerika, Denmark dan Greenland gagal mencapai sebarang kejayaan dalam kebuntuan tersebut.
Selepas mesyuarat itu, Encik Trump mengulangi dakwaan Denmark tidak boleh diharapkan untuk melindungi wilayah autonominya, Greenland, jika Russia atau China mahu mendudukinya.
Encik Trump berkata pulau yang strategik dan kaya dengan mineral itu penting bagi keselamatan Amerika dan tidak menolak penggunaan kekerasan untuk merampasnya.
Greenland dan Denmark berkata Greenland bukan untuk dijual dan ancaman kekerasan adalah melulu.
Menteri Pertahanan Denmark, Encik Troels Lund Poulsen, memberitahu wartawan di Copenhagen pada 15 Januari, beliau tidak mempunyai angka muktamad untuk kehadiran Nato yang diperluas di Greenland.
“Tetapi jelas kita kini akan dapat merancang kehadiran yang lebih besar dan lebih kekal sepanjang 2026 dan itu penting untuk menunjukkan bahawa keselamatan di Artik bukan sahaja untuk pemerintah Denmark, bahkan juga untuk seluruh Nato,” kata beliau.
Negara Kesatuan Eropah menzahirkan sokongan terhadap Denmark, memberi amaran bahawa rampasan tentera Amerika ke atas wilayah dalam Nato boleh menamatkan pakatan tentera yang diketuai Washington.
Pengerahan tentera Eropah ke Greenland telah menghantar dua mesej kepada pentadbiran Amerika, kata Profesor Madya Marc Jacobsen, di Kolej Pertahanan Diraja Denmark.
“Pertama, jika anda memutuskan untuk melakukan sesuatu secara ketenteraan, kami bersedia mempertahankan Greenland’.
“Dan kedua, adalah untuk menyatakan: ‘Baiklah, kami mengambil kritikan anda dengan serius, kami meningkatkan kehadiran kami, menjaga kedaulatan kami, dan meningkatkan pengawasan ke atas Greenland’,” tambahnya.
Sebelum mesyuarat pada 14 Januari di Amerika, Greenland dan Denmark berkata mereka telah mula meningkatkan kehadiran tentera mereka di dalam dan sekitar Greenland dengan kerjasama sekutu Nato.
Denmark mempunyai kira-kira 150 anggota tentera dan awam yang bekerja di Komando Artik Bersama di pulau itu.
Jerman, Perancis, Sweden, Norway, Finland dan Belanda telah menyatakan mereka akan menghantar kakitangan tentera untuk memulakan persiapan untuk latihan lebih besar pada akhir 2026. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg