Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nigeria terus pamer aksi hambar dalam kelayakan Piala Dunia

Jun 11, 2024 | 3:55 PM
Pemain Benin, Steve Mounie, meraikan kemenangan bersama rakan sepasukan, selepas mengalahkan Nigeria dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026 di stadium di Abidjan pada 10 Jun 2024.
Pemain Benin, Steve Mounie, meraikan kemenangan bersama rakan sepasukan, selepas mengalahkan Nigeria dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026 di stadium di Abidjan pada 10 Jun 2024. - Foto AFP

CAPE TOWN: Harapan Nigeria untuk layak ke Piala Dunia 2026 semakin pudar selepas pasukan tersebut kalah 1-2 kepada Benin dalam perlawanan kelayakan pada 10 Jun.

Kekalahan tersebut membuat kedudukan Nigeria dalam Kumpulan C semakin terancam.

Ghana dan Algeria meraih kemenangan, manakala Mesir pula mencatat keputusan seri, selepas ketiga-tiga pasukan itu ketinggalan pada separuh masa pertama.

Pemain Ghana, Jordan Ayew, menjaringkan tiga gol yang membuat pasukannya berjaya menewaskan Republik Afrika Tengah 4-3 di Kumasi, selepas ketinggalan 2-1 pada waktu rehat.

Algeria juga ketinggalan 1-0 kepada Uganda di Kampala dalam babak pertama.

Namun, jaringan gol dalam babak kedua oleh Houssem Aouar dan Said Benrahma membuat pasukan tersebut menang 2-1.

Mohamed Salah menyelamatkan pasukan Mesir dengan menjaringkan gol penyamaan sensasi untuk mencatat keputusan seri 1-1 di Guinea Bissau.

Nigeria tewas kepada Benin, yang terpaksa memindahkan perlawanan tersebut ke sebuah stadium di Abidjan di Ivory Coast kerana stadium di Cotonou, Benin disifatkan sebagai tidak sesuai digunakan bagi perlawanan antarabangsa.

Nigeria mendahului perlawanan apabila Raphael Onyedika, yang pada mulanya teragak-agak, merembat bola dan menjaringkan gol pada minit ke-27.

Namun, Benin segera bangkit dengan jaringan gol oleh Jodel Dossou dan Steve Mounie.

Dossou memecut untuk merebut peluang menjaringkan gol, namun beliau mengalami kecederaan hamstring dan terpaksa dikeluarkan sejurus selepas mencatat gol pada minit ke-37, manakala Mounie berjaya memanfaatkan pertahanan Nigeria yang lemah untuk menjaringkan gol kemenangan.

Pasukan Nigeria yang terkenal dengan panggilan Super Eagles, dan menjadi pasukan pilihan dalam Kumpulan C, belum memenangi satu pun daripada empat perlawanan pembukaan dalam kumpulan itu, dan hanya meraih tiga mata, manakala Benin mendahului dengan tujuh mata.

Kemenangan tersebut lebih manis buat jurulatih Benin, Gernort Rohr, yang dipecat Nigeria tiga tahun lalu, iaitu, sehari sebelum beliau membawa pasukan Nigeria ke perlawanan akhir Piala Negara-Negara Afrika.

Pada wisel penamat, para pemain Benin meraikan kemenangan itu dengan mengangkat beliau di atas bahu mereka.

Ghana bermain dalam hujan dan kembali bersemangat dengan persembahan baik oleh Ayew.

Ghana kini menduduki tempat teratas Kumpulan I dengan sembilan mata selepas kemenangan itu, dan menyusuli satu lagi kemenangan di tempat lawan di Mali pada minggu lalu, apabila Ayew turut menjaringkan gol kemenangan. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg