LONDON: Jenama sukan terkemuka Nike telah menggugurkan pemain bola sepak Manchester United dan England, Mason Greenwood, daripada kumpulan atlet yang ditajanya selepas pemain tersebut ditangkap atas dakwaan merogol.
Greenwood, 20 tahun, telah ditangkap polis kerana disyaki menyerang seorang wanita, dengan dakwaan susulan menyerang wanita itu secara seksual dan mengugut untuk membunuhnya.
Beliau telah dilepaskan dengan ikat jamin oleh polis Greater Manchester.
Sebelum ini, Nike berkata ia telah menggantung kaitan dengan pemain itu.
Namun, dalam kenyataannya kelmarin, Nike berkata ia telah menamatkan kaitan tersebut.
"Mason Greenwood bukan lagi seorang atlet Nike," kata syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu.
Perkembangan itu adalah tamparan terkini bagi pemain muda yang dianggap berpotensi menjadi bintang antarabangsa di masa depan itu.
Sejak dakwaan ke atas Greenwood mula timbul, United telah mengumumkan beliau tidak akan dibenarkan berlatih atau mewakili kelab itu dalam sebarang perlawanan sehingga notis lanjut.
Polis di Manchester berkata Greenwood ditangkap pada 30 Januari selepas ia mendapat tahu tentang gambar dan video yang disiarkan di media sosial oleh seorang wanita, yang bertujuan melaporkan perbuatan keganasan fizikal terhadapnya. - Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg