Topik diikuti
Pergi ke BHkuNike jadi rakan pakaian, seragam rasmi F1
Nike jadi rakan pakaian, seragam rasmi F1
LAS VEGAS: Usaha Formula Satu (F1) untuk mengembangkan pertumbuhan globalnya yang pesat kepada perniagaan gaya hidup lebih luas terus diperkukuh pada 19 November menerusi pengumuman kerjasama jangka panjang yang bakal menyaksikan Nike menjadi pembekal pakaian serta pakaian seragam rasmi sukan itu mulai 2027.
Nike akan menghasilkan pakaian seragam berjenama bersama bagi kakitangan dalam acara F1 di seluruh dunia, selain kasut, pakaian serta aksesori buat peminat.
Terma kewangan perjanjian itu bagaimanapun tidak didedahkan.
Kerjasama tersebut turut merangkumi Akademi F1 – siri pembangunan khusus bagi pelumba wanita F1 – di mana Nike akan membekalkan pakaian berfokuskan prestasi serta menyokong daya usaha inovasi atlet.
Langkah ini memperkukuh komitmen bersama mereka untuk bekerjasama dengan generasi pelumba pelapis sukan itu, bagi menyediakan kelengkapan yang diperlukan supaya para pelumba dapat beraksi pada tahap terbaik menerusi inovasi, reka bentuk dan teknologi Nike, jelas F1 dalam satu kenyataan.
Hasil kolaborasi itu akan diperkenalkan buat julung kalinya kepada orang awam menerusi koleksi edisi terhad Las Vegas Grand Prix x Nike, yang mula tersedia pada 20 November di Hab F1 dan cawangan kedai Nike di Las Vegas menjelang perlumbaan malam 21 November.
F1 semakin giat menjalin kerjasama melangkaui kategori sukan permotoran tradisional dalam usahanya menarik minat golongan muda serta memperluas daya tarikannya merentasi bidang fesyen, hiburan dan budaya.
Mengulas kerjasama terbaharu berkenaan, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) F1, Stefano Domenicali, berkata:
“F1 dan Nike merupakan dua jenama paling ikonik di dunia, yang disatukan oleh dorongan untuk terus berinovasi, beraksi pada tahap tertinggi, serta memberi inspirasi kepada masyarakat untuk melangkaui batas kemampuan.
“F1 sedang mengalami pertumbuhan global pada kadar yang belum pernah berlaku sebelum ini, sekali gus mencapai ratusan juta peminat dan melibatkan antara masyarakat paling bersemangat, pelbagai serta dinamik dalam dunia sukan.
“Keupayaan unik Nike untuk berada di titik pertemuan antara sukan, budaya serta inspirasi menjadikan mereka rakan kongsi ideal ketika kami melangkah ke fasa seterusnya.”
Sementara itu, Presiden dan CEO Nike, Elliott Hill, berkata penekanan F1 terhadap persaingan, kelajuan dan inovasi adalah sejajar dengan pendekatan syarikat pakaian sukan itu yang memberi tumpuan kepada keperluan atlet.
“F1 dipacu oleh persaingan, kelajuan dan dorongan berterusan untuk berinovasi. Itulah mentaliti seorang atlet, dan itulah juga yang kami kongsi di Nike.
“Bersama-sama, kami mempunyai peluang luar biasa untuk membawa tenaga baharu ke dalam sukan ini, berkhidmat kepada atletnya serta memberi inspirasi kepada peminat di serata dunia,” kata Hill. – Reuters.