Topik diikuti
Pergi ke BHkuLiam Lawson teruja bakal lihat tahap tekanan pesaing menerusi kerjasama F1, Whoop
Liam Lawson teruja bakal lihat tahap tekanan pesaing menerusi kerjasama F1, Whoop
LAS VEGAS: Pelumba Racing Bulls, Liam Lawson, berkata beliau berharap dapat mengetahui lebih lanjut mengenai tahap tekanan pesaingnya dalam Formula Satu (F1), selepas sukan itu mengumumkan kerjasama dengan jenama peranti boleh pakai kecergasan (fitness wearable), Whoop, pada 18 November.
Perjanjian empat tahun itu dimeterai bagi memberi peminat gambaran baharu mengenai tuntutan fizikal yang dihadapi pelumba ketika perlumbaan, dengan data fisiologi masa nyata disediakan buat julung kalinya kepada penonton.
Sejumlah pelumba – yang dijangka mencecah angka dua digit – akan memakai alat pengesan itu semasa perlumbaan mulai awal musim depan.
Mereka turut bersetuju membenarkan data seperti kadar denyutan jantung dipaparkan kepada penonton menerusi grafik dalam siaran langsung televisyen.
Lawson, yang tempatnya bagi musim 2027 disahkan minggu lalu, meluahkan rasa teruja untuk melihat apa yang dialami pelumba lain.
“Jika saya mengasak seseorang dan mengekori mereka untuk beberapa pusingan lalu mula melihat kesilapan kecil dilakukan, pasti amat menarik untuk melihat apa yang sebenarnya berlaku di dalam kenderaan, sejauh mana tekanan yang mereka alami,” kata pelumba kelahiran New Zealand itu pada sidang media di Grand Prix (GP) Las Vegas bagi mengumumkan kerjasama tersebut.
“Sudah tentu kami mahu meletakkan mereka di bawah tekanan sebesar mungkin, jadi saya ingin tahu sama ada (taktik) itu benar-benar berkesan.”
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) F1, Stefano Domenicali, berkata badan induk sukan itu, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), telah terlibat secara rapat bagi memastikan aspek keselamatan pemandu tidak dikompromi.
Menurut beliau, meskipun sesetengah pelumba mungkin pada mulanya enggan menyertai kerjasama tersebut, pengalaman siri dokumentari popular Netflix, Drive to Survive – di mana beberapa pasukan pada mulanya keberatan membenarkan kamera masuk namun akhirnya menerimanya – menunjukkan mereka mungkin akan terbuka untuk menerimanya kelak.
Juara dunia tujuh kali dari pasukan Ferrari, Lewis Hamilton, merupakan pengguna tetap peranti tersebut.
“Terdapat perkara tertentu yang kekal peribadi bagi pelumba dan kami sangat telus dengan mereka mengenai perkara yang akan kami kongsikan dengan perkara yang tidak akan dikongsi,” kata pengasas dan CEO Whoop, Will Ahmed.
“Terdapat juga data yang akan disalurkan kepada pasukan secara lebih menyeluruh berbanding apa yang dikongsikan secara langsung kepada peminat, jadi ia memberi manfaat kepada kedua-dua pelumba dan pasukan yang mengambil bahagian.”
Ahmed berkata pelumba akan memakai sarung lengan kalis api yang diluluskan FIA pada bahagian bisep, menjadikan Whoop peranti boleh pakai pengguna pertama yang diluluskan badan induk itu untuk kegunaan semasa perlumbaan.
“Semua data yang diperoleh daripada pelumba adalah data masa nyata. Itulah pengalaman sebenar yang anda rasai dan saksikan daripada seorang pelumba,” jelasnya.
“Saya fikir akan ada juga beberapa tema umum seperti, sebagai contoh, peminat pasti sukar mempercayai betapa cergasnya pelumba-pelumba ini.
“Membayangkan degupan jantung anda berada pada paras 170 atau 180 denyutan seminit selama beberapa jam di dalam sut perlumbaan ini, memandu selaju itu dan masih mampu mengekalkan refleks sedemikian. Ia adalah satu kisah luar biasa mengenai keupayaan prestasi manusia.”
Kerjasama dengan F1 itu merupakan antara yang terbesar dalam sejarah syarikat yang berpangkalan di Boston itu, dan Whoop turut akan menjadi rakan rasmi siri perlumbaan khusus wanita, F1 Academy. – Reuters.