Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

Wayne Rooney ditangkap basah lagi

Sep 10, 2017 | 05:30 AM



ISTERINYA mengandung empat bulan dan sedang bercuti bersama ketiga- tiga anak mereka di Majorca, Sepanyol.



Namun, beliau terpaksa bergegas pulang dengan jet privet ke Britain sebaik mendapat tahu suaminya, bekas kapten England yang kini menyarungi jersi Everton, Wayne Rooney, telah diberkas kerana memandu dalam keadaan mabuk pada 2 pagi Jumaat lalu.



Ceritanya tidak berakhir di situ.



Yang menjadikan cerita ini lebih sensasi dan 'meletup' ialah Rooney telah ditahan polis semasa memandu kereta milik ibu tunggal berusia 29 tahun, Laura Simpson, yang kebetulan sedang berada di tempat duduk penumpang kereta berwarna hitam VW Beetle itu.



Kededuanya bertemu di kelab malam 'Symposium' di Wilmslow, Cheshire, semasa sesi minum malam Rooney bersama beberapa temannya termasuk bekas rakannya di Manchester United, Wes Brown.



Semasa diinterviu akhbar Britain, The Daily Mail, Simpson tidak menolak kemungkinan akan bermalam bersama bintang bola sepak yang sudah berkeluarga itu.



"Saya membenarkan beliau memandu kereta saya kerana saya terlalu mabuk ketika itu. Adakah saya akan bermalam bersamanya?



"Mungkin juga tetapi kami belum bercakap mengenainya... kami hanya mahu melarikan diri daripada mata-mata yang mengekori kami.



"Saya wanita single... tentunya saya boleh berseronok. Saya mungkin telah terbawa-bawa dengan detik pertemuan itu tetapi saya tidak terpesona atau kagum (dengan Rooney). Saya juga bukan perosak rumah tangga... ia sekadar suka-suka sahaja dan saya juga telah minum berlebihan waktu itu," ujar Simpson.



Isteri mana yang tidak berang dengan Coleen dilaporkan telah membawa anak-anaknya - Kai (tujuh tahun), Klay (empat tahun) dan Kit (setahun) - keluar daripada kediaman gah yang bernilai £6 juta ($10.5 juta) dan melarikan diri ke rumah ibu bapanya.



Si isteri berusia 31 tahun itu sempat bersemuka dengan suaminya itu sambil mengatakan bahawa "dunia kini sedang mentertawakan beliau gara-gara perbuatan memalukan sang suami".



Coleen, yang berkahwin dengan Rooney sembilan tahun lalu selepas berkenalan pada usia 16 tahun, sebelum ini kerap memaafkan 'keterlanjuran' suaminya itu termasuk semasa ditangkap bermalam bersama pelacur.



Namun, Coleen benar-benar 'meledak' dan naik angin dengan insiden terbaru itu dan dilaporkan memekik ke arah suaminya: "Sanggupnya anda melakukan ini ketika saya sedang mengandung... kenapa anda begitu bodoh sekali?"



Sumber yang rapat dengan pasangan itu pula memberitahu akhbar The Sun:



"Coleen menghabiskan masa di rumah ibu bapanya... menimbangkan pilihan seterusnya tetapi pada tahap ini, beliau berasa rumah tangganya itu sudah pun berkecai.



"Keadaan mungkin bertambah tenang dalam beberapa hari mendatang tetapi pada ketika ini beliau sudah tidak tahan lagi dan berasa bahawa hubungannya dengan Rooney sudah pun berakhir. Insiden ini benar-benar menguji ketabahannya dan beliau berasa malu sekali. Beliau merancang meninggalkan Rooney."



Rooney, 31 tahun, malah memberitahu beberapa teman rapatnya kemungkinan rumah tangganya menemui jalan buntu.



Seorang rakannya berkata: "Wayne kebingungan mengenai cara terbaik bagi menyelesaikan masalah ini. Beliau telah memohon maaf kepada Coleen atas beberapa kesilapannya pada masa lampau tetapi insiden (terbaru) ini kelihatan begitu rumit sekali. Coleen benar-benar naik angin."



Nilai Rooney - kontrak bola sepaknya serta pendapatan yang diraih di luar padang - dianggarkan melebihi £80 juta dengan kemungkinan pasangan itu memutuskan untuk bercerai dijangka mencetuskan 'perbalahan buruk' yang mencecah jutaan paun.




BUKAN KALI PERTAMA ROONEY MAIN KAYU TIGA



POPULARITINYA di padang terbukti tidak dapat menarik bekas kapten England, Wayne Rooney, daripada kontroversi di luar padang.



Lama sebelum insiden terbaru yang memalukan isterinya, Coleen, ini, Rooney digegarkan skandal yang disebarkan media Britain bahawa beliau telah membayar £1,200 ($2,100) untuk mendapatkan khidmat pelacur berusia 21 tahun, Jennifer Thompson.



Bayaran itu merangkumi pertemuan intim Rooney dengan pelacur itu sepanjang tempoh empat bulan sedang Coleen mengandung anak sulung mereka ketika itu.



Laporan itu terbit beberapa tahun selepas Rooney dipaksa mengemukakan permohonan maaf pada 2004 kepada Coleen, waktu itu tunangnya, selepas mengakui mengadakan hubungan seks dengan beberapa pelacur termasuk salah seorang yang sudah pun bergelar nenek.




SKANDAL SEKS BINTANG BOLA SEPAK LAIN



Ryan Giggs



Kecemerlangan di sayap tidak dapat menyembunyikan 'kelicikannya' di luar padang.



Bekas bintang sayap Manchester United, Ryan Giggs, mencetuskan skandal yang mendapat liputan meluas akhbar-akhbar Britain apabila didakwa menjalin hubungan intim dengan isteri adiknya.



Giggs merupakan pak cik kepada kededua anak wanita itu tetapi ia tidak menghalang pemain itu menjalin hubungan lapan tahun dengan Natasha Giggs, ketika itu berusia 28 tahun. Isteri adiknya itu turut dilaporkan turut memburu perhatian beberapa bintang United waktu itu.



Menurut akhbar The Sun, wanita itu turut menjalin hubungan romantik dengan pemain ternama seperti Dwight Yorke, Phil Bardsley dan Danny Simpson.



Giggs bagaimanapun telah pun memohon maaf kepada adiknya.



Ashley Cole



MEDIA di Britain sememangnya sukakan gosip serta skandal bola sepak yang menghantui bintang-bintang utama Liga Perdana.



Pada 2008, giliran bintang pertahanan Chelsea, Ashley Cole, menyaksikan wajahnya di halaman-halaman akhbar utama Britain selepas beliau menghancurkan hati salah seorang selebriti pop terbesar di UK.



Cole didakwa bermain kayu tiga sekalipun sudah berkahwin dengan Cheryl, salah seorang penyanyi daripada kumpulan pop wanita, Girls Aloud.



Menurut akhbar The Mirror, Aimee Walton, 22 tahun, mengakui beliau telah mengadakan hubungan seks dengan Cole di sebuah flat milik kawannya dengan pemain itu kemudian merayu agar Walton merahsiakan hubungan itu agar beliau tidak "dilanda masalah".



Walton bagaimanapun mempunyai rancangan lain. Beliau 'menjual' ceritanya itu kepada media setempat dengan Cheryl tidak berfikir dua kali menuntut cerai daripada suaminya yang curang itu.



John Terry



BEKAS kapten England dan Chelsea ini terbabit dalam skandal seks pada 2010 apabila media di Britain melaporkan bukan sahaja beliau menjalin hubungan intim dengan isteri rakan sepasukan, Wayne Bridge, malah menyebabkan wanita itu, Vanessa Perroncel, seorang model, mengandung.



Skandal itu turut berlarutan dalam Liga Perdana dengan pertemuan penuh emosi kededua pemain itu dengan Bridge enggan bersalam tangan dengan Terry.



Insiden itu menjejas teruk keyakinan Bridge yang memutuskan mengundurkan diri daripada pasukan Piala Dunia England pada 2010 kerana enggan bermain dalam satu pasukan bersama Terry.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >