Nama Noor Ali sinonim dengan sejarah kejayaan Geylang International sebagai seorang pemain.

Kini, sebagai jurulatih, beliau mahu mencipta lembaran kejayaan yang berbeza bersama kelab yang begitu dekat di hatinya.

Noor merupakan sebahagian daripada pasukan Geylang yang memenangi Piala Singapura pada 2009, salah satu trofi utama terakhir yang dimenangi kelab tersebut.

Ditubuhkan pada 1974, Geylang juga mempunyai sejarah panjang sebagai antara kelab paling berjaya dalam arena bola sepak tempatan.

Namun, hampir dua dekad selepas kejayaan tersebut, Noor masih menantikan peluang untuk menghadiahkan trofi kepada kelab kesayangannya itu sebagai seorang jurulatih.

Menjelang musim Liga Perdana Singapura (SPL) 2026/27, matlamat itu sekali lagi menjadi antara keutamaannya.

“Saya memang mahu kita menamatkan kemarau memenangi trofi secepat mungkin,” kata jurulatih berusia 51 tahun.

Geylang menamatkan musim lalu di tangga kelima, jauh daripada sasaran mereka.

Bagi Noor, musim baharu perlu bermula dengan pendekatan berbeza.

Kelab itu melakukan rombakan besar terhadap skuad, selain memperkukuh struktur sokongan pasukan dengan melantik jurulatih kekuatan dan kecergasan sepenuh masa serta mendapatkan khidmat penganalisis.

Bagi Noor, perubahan itu amat penting selepas bertahun-tahun beliau terpaksa mengendalikan sebahagian besar tugas tersebut sendiri.

“Sepuluh tahun kebelakangan ini saya bekerja sendiri, cuba menguruskan perkara ini dan mendapatkan tenaga tambahan, terutama dalam barisan kejurulatihan,” katanya.

Kini, beliau berharap barisan sokongan yang lebih lengkap dapat membantunya memberi tumpuan kepada tugas paling penting – membentuk pasukan dan mendapatkan prestasi terbaik daripada setiap pemainnya.

Salah satu perkataan yang paling kerap muncul dalam penjelasan Noor mengenai musim baharu ialah perwatakan.

Beliau mahu pemain yang bukan sahaja mempunyai kemampuan teknikal, tetapi sanggup berlari, meningkatkan tekanan ke atas pasukan lawan dan terus berjuang apabila keadaan menjadi sukar.

“Saya perlukan pemain yang mempunyai semangat perjuangan tinggi,” katanya.

Pemain veteran, Nazrul Nazari, 35 tahun, yang merupakan antara empat pemain yang dikekalkan, turut dilihat sebagai teladan penting kepada barisan pemain yang lebih muda.

Pemain veteran Nazrul Nazari, 35 tahun (jersi hijau), menyasarkan kedudukan tiga terbaik Liga Perdana Singapura (SPL) dan mara ke final Piala Singapura bersama Geylang International FC musim ini.
Pemain veteran Nazrul Nazari, 35 tahun (jersi hijau), menyasarkan kedudukan tiga terbaik Liga Perdana Singapura (SPL) dan mara ke final Piala Singapura bersama Geylang International FC musim ini. - Foto GIFC

Namun, beliau tidak menjadikan pengalamannya menghalang daripada terus mempertingkatkan bola sepaknya.

“Walaupun saya sudah berusia 35 tahun dan dianggap pemain senior, saya sendiri masih perlukan orang untuk membantu dan membimbing saya.

“Bukan bermakna apabila sudah lama bermain, saya tahu segala-galanya.

“Kalau ada pemain lain, termasuk pemain import atau pemain muda, yang boleh membantu saya mengenal pasti kelemahan atau perkara yang perlu saya perbaiki, saya sangat terbuka untuk mereka datang dan berkongsi pandangan,” katanya.

Nazrul juga percaya skuad baharu Geylang mempunyai asas yang lebih baik untuk mencabar kelompok atasan.

“Sasaran kami tahun ini ialah kelompok tiga terbaik dan kami juga mahu mara ke final Piala Singapura,” katanya.

Dari segi permainan, Noor menjanjikan perubahan.

Beliau masih mahu mengekalkan penguasaan bola dan permainan hantaran, tetapi pasukannya perlu lebih efektif dan agresif – terutama ketika melakukan tekanan.

“Saya rasa bola sepak sudah banyak berubah. Anda boleh lihat betapa pantasnya permainan sekarang,” katanya.

Justeru, Noor mahu Geylang bermain dengan tekanan tinggi dan terus menekan lawan sehingga wisel penamat.

Pesannya kepada pemain juga mudah: kehilangan bola bukan masalah, tetapi untuk berhenti mencuba mendapatkan bola semula adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

“Kita boleh kehilangan bola, itu perkara biasa dalam 90 minit, tetapi anda tidak boleh berhenti berlari. Itu matlamatnya,” katanya.

Noor mahu membawa Geylang kembali ke pentas Asia, sesuatu yang pernah dirasainya sebagai pemain.

“Saya mahu membawa Geylang kembali ke pertandingan Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2). Saya pernah menyarungi jersi kelab dalam pertandingan itu dan sebagai jurulatih, saya juga mahu berada di sana untuk membimbing pasukan ini,” katanya.

Sekilas jadual perlawanan Geylang International

September 2026

  1. 14 Sep lwn Tanjong Pagar di Our Tampines Hub
  2. 19 Sep lwn Young Lions di Stadium Jalan Besar

Oktober 2026

  1. 10 Okt lwn FC Jurong di Our Tampines Hub
  2. 17 Okt lwn Balestier Khalsa di Stadium Bishan
  3. 26 Okt lwn Hougang di Our Tampines Hub

November

  1. 1 Nov lwn Tampines Rovers di Our Tampines Hub
  2. 22 Nov lwn Lion City Sailors di Stadium Jalan Besar
  3. 27 Nov lwn Tanjong Pagar di Our Tampines Hub

Februari

  1. 13 Feb lwn Hougang di Stadium Hougang
  2. 21 Feb lwn Tampines Rovers di Our Tampines Hub
  3. 26 Feb lwn FC Jurong di Stadium Jurong East

Mac

  1. 5 Mac lwn Balestier Khalsa di Stadium Bishan
  2. 14 Mac lwn Lion City Sailors di Our Tampines Hub
  3. 20 Mac lwn Young Lions di Our Tampines Hub

April 2026

  1. 4 Apr lwn Lion City Sailors di Stadium Jalan Besar
  2. 10 Apr lwn Balestier Khalsa di Our Tampines Hub
  3. 17 Apr lwn Hougang di Our Tampines Hub
  4. 24 Apr lwn Tanjong Pagar di Stadium Jurong East
  5. 30 Apr lwn Tampines Rovers di Our Tampines Hub

Mei

  1. 9 Mei lwn Young Lions di Our Tampines Hub
  2. 14 Mei lwn FC Jurong di Stadium Jurong East