Pengerusi baharu Geylang International FC (GIFC), Desmond Gay, tidak sekadar mahu membentuk sebuah pasukan bola sepak yang mampu meraih kemenangan, malah berhasrat menjadikan kelab itu lebih dekat di hati masyarakat.

Sebelum pelantikan baharu Gay sebagai pengerusi, beliau ialah naib pengerusi Geylang sejak 2025.

Selain itu, beliau juga merupakan pengerusi sebuah syarikat terkemuka yang beroperasi dalam bidang logistik dan pengurusan rantaian bekalan, JGL Worldwide.

Menggelarkan dirinya sebagai “anak Geylang”, Gay berkata beliau membesar di kawasan East Coast dan sejak kecil lagi hanya menyokong satu kelab sahaja iaitu Geylang.

Justeru, peluang untuk membimbing kelab bola sepak yang berusia 52 tahun itu merupakan satu penghormatan yang amat bermakna buat dirinya.

Menjelang musim baharu Liga Perdana Singapura (SPL), Geylang melakukan rombakan besar-besaran terhadap skuad mereka.

Hanya empat pemain daripada musim lalu dikekalkan, manakala beberapa pemain tempatan dan import baharu dibawa masuk bagi memperkukuhkan pasukan.

Antara nama yang mencuri perhatian ialah penyerang dari Serbia, Dejan Racic, yang kembali menyarung jersi Geylang.

Beliau sebelum ini pernah menjaringkan 26 gol bersama Hougang United ketika beraksi dalam SPL pada musim 2024-25.

Namun bagi Gay, kejayaan GIFC tidak hanya diukur menerusi keputusan di atas padang.

Berucap semasa majlis pelancaran persiapan musim GIFC di Our Tampines Hub (OTH) pada 5 Ogos, beliau berkata mahu kelab itu menjadi lebih dekat dengan masyarakat melalui hubungan lebih erat bersama penyokong, sukarelawan dan penaja.

Bagi menyokong visi itu, GIFC turut memperkukuh struktur kejurulatihan, pengurusan, pemasaran dan media menjelang musim baharu.

“Kami mahu membina sebuah kelab yang mampu bertahan lebih lama daripada kami.

Bukan sahaja sebuah kelab yang dibanggakan oleh penyokong Geylang, malah seluruh Singapura,” kata Gay.