OSLO (Norway): Tonggak pemain tengah Arsenal, Martin Odegaard, telah dinamakan sebagai kapten skuad bola sepak nasional Norway bagi temasya Piala Dunia kali ini yang bakal berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai.

Ini kali pertama beliau diberi penghormatan sebagai kapten pasukan negaranya dalam Piala Dunia, yang menyaksikan Norway layak untuk temasya itu selepas penantian 28 tahun – kali terakhir Norway bermain dalam pertandingan unggul itu adalah pada 1998.

Pengumuman skuad nasional seramai 26 pemain itu disampaikan oleh Raja Norway, Harald V, melalui satu video di media sosial pada 21 Mei.

Selain Odegaard, yang baru memenangi Liga Perdana England (EPL) bersama Arsenal, beliau akan disertai penyerang Manchester City, Erling Haaland; pemain sayap Fulham, Oscar Bobb; dan penyerang Crystal Palace, Jorgen Strand Larsen.

Turut tersenarai ialah pemain RB Leipzig, Antonio Nusa; penyerang Atletico Madrid, Alexander Sorloth; dan pemain Borussia Dortmund, Julian Ryerson.

Penjaga gol Hamburg, Sander Tangvik, merupakan muka baru dalam skuad itu dengan pemain berusia 23 tahun itu menjadi satu-satunya pemain yang belum pernah membuat penampilan bagi Norway.

Penyertaannya dalam skuad itu diumumkan pada saat-saat akhir selepas penjaga gawang kelab SK Brann, Mathias Dyngeland, mengalami kecederaan.

Sementara itu, permintaan untuk menukar kewarganegaraan bekas penjaga gol Russia bawah 21 tahun, Nikita Haikin, pula ditolak Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) atas faktor syarat pemastautin.

Pengurus pasukan, Stale Solbakken, berkata: “Kami percaya kami memiliki skuad yang kuat. Ini adalah pasukan yang sudah mencatat keputusan hebat dalam tempoh yang panjang.”

Dalam mesej yang dimuat naik di media sosial, Raja Harald berkata negara itu sudah “menunggu terlalu lama” untuk kembali ke pentas Piala Dunia.

Pasukan itu mara dengan penuh bergaya apabila memenangi kesemua lapan perlawanan kelayakan, termasuk menewaskan juara dunia empat kali, Italy.

Edisi Piala Dunia kali ini menyaksikan Norway diundi dalam Kumpulan I bersama Perancis, Senegal dan Iraq – kumpulan ini dianggap antara yang paling mencabar dalam kejohanan kali ini.

Norway akan mengharungi perlawanan persahabatan menentang Sweden dan Maghribi awal Jun, sebelum membuka kempen Piala Dunia menentang Iraq pada 16 Jun di Boston, Amerika Syarikat. Ini diikuti dengan perlawanan menentang Senegal dan Perancis.

Kejohanan kali ini dianjurkan bersama Amerika Syarikat, Canada dan Mexico dengan penyertaan 48 pasukan. – Agensi berita.