Pasukan Singa tunjuk taring dengan membenamkan Maldives 3-1 dalam perlawanan persahabatan pada 5 Jun di Stadium Bishan.
Dua jaringan daripada Ikhsan Fandi dan satu gol oleh Amirul Adli cukup untuk memastikan pasukan Singa tidak mengakhiri perlawanan persiapan mereka menjelang perlawanan kelayakan Piala Asia dengan kekecewaan.
Pasukan Singa tidak mahu mengulangi kesilapan apabila tewas 1-0 kepada Nepal pada 21 Mac.
Tidak hairanlah pasukan Singa tidak berlengah untuk cuba membolosi gawang Maldives, apabila dalam tiga minit pertama, penyerang Singapura, Ikhsan Fandi, mempamerkan kekuatannya untuk mengetepikan pemain pertahanan Maldives bagi melepaskan rembatan ke arah gawang, namun percubaannya dapat dihalang oleh pertahanan Maldives.
Bola kemudian jatuh ke kaki pemain Singa, Amir Syafiz, yang berusaha untuk mempamerkan kebolehannya dalam penampilan sulung beliau dengan pasukan negara. Malangnya rembatannya berjaya diselamatkan oleh penjaga gawang Maldives, Hussain Shareef.
Singapura terus mengasak benteng pertahanan Maldives dan tendangan sudut oleh pemain tengah Singa, Song Ui-Young menemui rakan sepasukan, Safuwan Baharudin, tetapi tandukannya diselamatkan oleh Hussain.
Namun, penjaga gawang Maldives yang berusia 27 itu tidak dapat menghalang pasukan Singa daripada menjaringkan gol pembukaan apabila tendangan sudut Song disempurnakan Amirul Adli yang menanduk bola masuk dengan kemas untuk menjaringkan gol pada minit ke-tujuh.
Ikhsan sekali menjadi duri bagi barisan pertahanan Maldives, kali ini hantaran beliau temui Harhys Stewart di luar kotak penalti, tetapi rembatan Harhys hanya jatuh dalam dakapan Hussain.
Pasukan Singa yang menduduki ranking ke-161 dunia, berjaya menggandakan kelebihan gol apabila hantaran silang Harhys temui Ikhsan yang berhasil menjaringkan gol kedua pasukan negara.
Anak didik Ogura tidak menunjukkan tanda-tanda berlengah malah berjaya menambah jaringan di hadapan 2,297 penonton yang hadir di Stadium Bishan.
Kali ini sepakan percuma Song berjaya ditanduk masuk Ikhsan untuk jaringan gol keduanya pada minit ke-30 dan ketiga buat pasukan negara.
Maldives dianugerahkan peluang untuk membuat jaringan, tetapi percubaan penyerang Maldives, Ali Fasir hanya sekadar terkena palang.
Separuh masa pertama berakhir dengan Singapura mendahului dengan selesa dengan jaringan 3-0.
Selepas separuh masa pertama yang hambar bagi Maldives, Ali dapat peluang keemasan untuk menjaringkan buat pasukan pelawat, tetapi percubaan beliau terlepas sasaran sekali lagi.
Singapura masih memburu lebih gol, dengan pemain tengah Singa, Kyoga Nakamura, yang menggantikan Amir, mencuba nasibnya dengan melepaskan sepakan dari luar kotak penalti pada minit ke-56 minit, tetapi ia ditepis dengan mudah oleh Hussain.
Song pula mempunyai peluang untuk menggandakan lagi kelebihan Singapura pada minit ke-60, tetapi percubaannya hanya terkena palang.
Ketekunan pasukan Singa untuk memburu lebih gol telah mendedahkan mereka kepada serangan balas oleh Maldives, dan ini menyaksikan Safuwan yang merupakan pemain terbaik perlawanan, dan Faris dilayangkan kad kuning semasa cuba menghentikan ancaman serangan balas pasukan pelawat itu.
Akhirnya serangan bertubi-tubi Maldives membuahkan hasil apabila Safuwan mengasari penyerang Maldives dalam kotak penalti.
Sepakan penalti itu berjaya disempurnakan Ahmed Rizuvan, bagi menjadikan kedudukan 3-1.
Pasukan kendalian Ogura itu berjaya bertahan sehingga wisel penamat ditiup.
Keputusan itu sudah pasti dapat membina keyakinan pasukan Singa dalam menghadapi cabaran Bangladesh bagi perlawanan kelayakan Piala Asia di Dhaka pada 10 Jun.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg