Ulang tahunnya yang ke-25 mungkin salah satu kenangan terindah bagi Shah Shahiran.
Tepat pada hari lahirnya yang ke-25 tahun pada 14 November, Shah dinamakan selaku kapten pasukan bola sepak kebangsaan oleh jurulatih Tsutomu Ogura dalam pertandingan persahabatan melawan Myanmar.
Pemain tengah itu mengetuai skuad negara di Stadium Negara, dan bekerja keras dalam kemenangan 3-2 bagi pasukan Singapura.
Peranannya selaku kapten juga telah mengukuhkan azamnya untuk mempertingkat kemampuannya sebagai seorang ketua.
Shah berkata Ogura menariknya ke tepi beberapa jam sebelum perlawanan menentang Myanmar dan beritahunya bahawa beliau akan menjadi kapten, bukannya kapten tetap Hariss Harun, 33 tahun.
Beliau berkata demikian ketika ditemu ramah wartawan The Straits Times di Parkroyal di Beach Road menjelang perlawanan persahabatan Lions pada 18 November menentang Chinese Taipei.
Pemain BG Tampines Rovers itu berkata beliau berasa amat gembira, namun gementar, sambil menambah:
“Kita sentiasa bermimpi menjadi pemain kebangsaan tetapi sejujurnya, saya tidak pernah bermimpi untuk menjadi kapten.
“Tetapi ia adalah satu penghormatan dan detik istimewa untuk keluarga dan saya sendiri. Saya tahu mereka akan hadir sebagai penonton dan ia akhirnya menjadi malam yang besar buat saya. Ia adalah hadiah hari jadi yang sempurna.”
Walaupun ia adalah detik istimewa untuk Shah yang telah bermain untuk pasukan kebangsaan sebanyak 24 kali, keputusan itu menimbulkan keraguan banyak pihak kerana Hariss (133 kali bermain untuk negara) turut berada dalam kesebelasan utama.
Terdapat juga pemain senior seperti Safuwan Baharudin (114 kali bermain untuk negara), Nazrul Nazari (65 kali) dan Shakir Hamzah (66 kali).
Ditanya mengenai pertukaran kapten, Ogura beritahu ST bahawa beliau mahu melatih generasi pemimpin seterusnya.
Beliau berkata: “Hariss masih kapten pasukan, tetapi saya putuskan untuk turut mempunyai kapten untuk perlawanan itu.
“Kami gunakan peluang ini untuk membolehkan pemain muda mempunyai peranan kepimpinan yang lebih besar dan diharapkan, mereka akan berkembang untuk memikul tanggungjawab itu.”
Ogura tidak mengesahkan siapa yang akan memimpin pasukan semasa skuad negara menentang Chinese Taipei dalam perlawanan terakhir Lions sebelum perlawanan pembukaan Kejohanan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) menentang Kemboja pada 11 Disember.
Sejak memegang jawatan kapten secara tetap daripada Shahril Ishak pada 2018, Hariss hanya sekali tidak menjadi kapten sebelum ini, walaupun berada dalam jadual kesebelasan utama.
Ia berlaku pada September 2022, apabila Hassan Sunny menjadi kapten menentang India untuk memperingati permainannya yang ke-100 untuk skuad kebangsaan.
Ditanya bagaimana perasaannya ketika tidak menjadi kapten saat menentang Myanmar, Hariss berkata:
“Sejujurnya, ia berasa agak pelik, kerana saya sudah biasa berada di hadapan mengetuai pasukan itu. Tetapi saya masih orang yang sama.
“Saya akan tetap bermain dan mengatur pasukan dan bercakap dengan rakan sepasukan, tetapi bukan sebagai kapten.”
Hariss, yang berusia 34 tahun pada 19 November, menambah bahawa beliau tidak ada ragu sekalipun untuk menyerahkan peranan kapten kepada Shah apabila Ogura memintanya.
Beliau menambah:
“Saya menjawab ‘tentu saja’... Saya tidak pernah lari daripada tanggungjawab menjadi kapten.
“Ia adalah satu penghormatan selama ini untuk menjadi kapten dan saya masih berasa begitu. Tetapi kita perlu melihat gambaran yang lebih besar untuk bola sepak Singapura.
“Pemain (muda) perlu kemajuan. Itulah satu-satunya cara... bahawa mereka akan berkembang, menjadi pemain yang lebih baik, insan yang lebih baik dan memimpin pasukan ke hadapan. Pemain yang lebih senior sangat bersedia membimbing mereka.”
Shah yang turut mengorak langkah seterusnya dalam kehidupan peribadinya selepas berkahwin pada Julai lalu, mengakui beliau perlu memikul lebih banyak tanggungjawab dalam bola sepak.
Beliau berkata:
“Hariss dan Safuwan telah beri begitu banyak sumbangan untuk Singapura dan kami mahu mereka bermain selama yang mereka boleh, tetapi kami tahu harinya akan tiba apabila mereka juga perlu menggantung but.
“Saya rasa jurulatih (Ogura) punyai beberapa pemain dalam fikiran untuk mengambil peranan ini (kapten) dan saya pasti beliau akan menguji pemain lain juga.”
Ogura berkata pada 17 November bahawa beliau mempunyai gambaran kasar tentang rupa skuad terakhirnya untuk Kejuaraan AFF, juga dikenali sebagai Piala Asean Mitsubishi Electric, dan membayangkan bahawa beliau akan mengemas kini pasukannya semasa menentang Taiwan.
Jurulatih China Taipei, Gary White, yang juga bertanggungjawab semasa pertemuan terakhir pasukan itu pada 2023 – kekalahan persahabatan 3-1 kepada pasukan Singapura yang ketika itu dibimbing Takayuki Nishigaya – masih ingat taktik pasukan Singapura.
“Sebagai contoh, kita melihat bek sayap, terutama di bahagian kanan bermain di bahagian serangan, yang merupakan perkara biasa dalam bola sepak sekarang. Kami mempunyai rancangan semasa menentang mereka dan kami sangat teruja untuk perlawanan itu,” kata jurulatih asal England itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg