Meskipun memperoleh kemenangan antarabangsa pertamanya sebagai jurulatih Lions dalam perlawanan menentang Myanmar, Tsutomu Ogura mengakui kelemahan pasukannya yang perlu diperbaiki.
Beliau berkata: “Pada mulanya, kami tidak begitu teruk tetapi selepas kami menjaringkan gol, kami tidak bermain dengan baik. Kami mesti memperbaikinya.”
Kemenangan 3-2 ke atas Myanmar juga memberi jurulatih itu banyak untuk difikirkan, selepas pasukannya bangkit lewat untuk mengalahkan lawan mereka di Stadium Nasional pada 14 November, lapor The Straits Times.
Kemenangan itu diraih selepas empat perlawanan tanpa kemenangan di bawah Ogura, namun ia juga mendedahkan keperluan mendesak untuk penambahbaikan dalam pasukan Lions, dengan kurang sebulan sebelum Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF), yang juga dikenali sebagai Piala Asean Mitsubishi Electric.
Skuad Singa mendahului 1-0 pada separuh masa pertama – menerusi gol pertama Farhan Zulkifli – tetapi gagal memanfaatkan beberapa peluang.
Selepas permulaan lemah pada separuh masa kedua, Myanmar mendahului dengan dua gol dalam lima minit.
Namun, gol oleh pemain gantian Shawal Anuar (minit ke-84) dan Naqiuddin Eunos (minit ke-86) memberikan penyokong Lions dalam kalangan 6,061 penonton sesuatu untuk diraikan.
Pemain tengah kelahiran Jepun, Kyoga Nakamura, yang dinobatkan Pemain Terbaik pada penampilan pertamanya bagi Lions, berkata pasukan itu perlu “lebih tenang dan berkeyakinan” dalam menghadapi cabaran.
Kemenangan ke atas Myanmar – yang berada di tangga ke-165 dalam ranking dunia – menamatkan penantian lebih setahun Lions, yang berada tiga tangga lebih tinggi, untuk meraih kemenangan.
Kemenangan terakhir Singapura ialah 1-0 ke atas Guam dalam kelayakan Piala Dunia pada Oktober 2023.
Sejak itu, dalam enam perlawanan, mereka mencatatkan satu seri dan lima kekalahan.
Perlawanan itu juga merupakan yang pertama sejak Hassan Sunny mengumumkan persaraan antarabangsanya pada Ogos, dengan Syazwan Buhari, 32 tahun, menggantikannya.
Pemain midfield Shah Shahiran, 25 tahun, menggalas tanggungjawab sebagai kapten pasukan dan Hariss Harun, 33 tahun, bermain di sampingnya.
Dengan Nakamura, 28 tahun, mengemudi serangan, skuad Singa kelihatan bertenaga pada separuh masa pertama.
Penyerang Abdul Rasaq Akeem juga membuat penampilan sulungnya bersama Lions, mengetuai barisan serangan, menggantikan Ikhsan dan Ilhan Fandi, yang tidak bermain kerana masalah pelepasan daripada BG Pathum United untuk Piala AFF.
Gol pembukaan dijaringkan selepas enam minit apabila Nazrul Nazari melakukan hantaran silang kepada Farhan.
Myanmar menyamakan kedudukan dua minit selepas separuh masa kedua bermula dan menjaringkan gol keduanya beberapa minit kemudian melalui tandukan Thiha Zaw dari sepakan sudut, menjadikan kedudukan 2-1.
Namun, Singapura bangkit pada minit ke-84 dengan Shawal menyamakan kedudukan selepas menyambut hantaran kepala Faris.
Dua minit kemudian, Faris memberi hantaran kepada Naqiuddin, yang menjaringkan gol pertamanya bersama Lions selepas percubaannya dimasukkan sendiri oleh penjaga gol Myanmar, Kyaw Zin Phyo.
Jurulatih Myanmar, Myo Hlaing Win, berkata: “Pasukan kami membuat beberapa kesilapan, tetapi secara keseluruhan ia adalah perlawanan yang baik.
“Singapura mempunyai pemain yang bagus dan organisasi yang baik. Mereka lebih baik daripada kami.”
Lions akan menentang Chinese Taipei pada 18 November, sebelum memulakan kempen Piala AFF menentang Kemboja pada 11 Disember.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg