Skuad Singa akan berhadapan dengan Korea Selatan di Stadium Negara pada Khamis, 6 Jun 2024 bagi peringkat kelayakan kedua Piala Dunia 2026 dan Piala Asia Arab Saudi 2027.
Ia merupakan satu daripada dua perlawanan terakhir skuad Singa dalam pertandingan kelayakan tersebut.
Korea Selatan berada di tangga ke-23 ranking FIFA, sementara Singapura di tangga ke-155.
Semasa persidangan media pada 5 Jun, jurulatih Singa asal Jepun Tsutomu Ogura dan pemain Singa, Safuwan Baharudin, bersetuju bahawa perlawanan ini adalah peluang untuk pasukan Singa membalas sokongan peminat Singapura.
“Apabila mereka (peminat) menyokong kami, ia memberi lebih kemahuan dan motivasi untuk kami berjaya.
“Tiada perasaan yang sama seperti bermain di stadium yang penuh terutama sekali di Stadium Negara.”
Peminat Singapura telah memberikan sokongan padu mereka dalam perlawanan ini - memenuhi kesemua 50,000 ruang yang disediakan – berbanding lebih 28,000 pada perlawanan menentang China Mac lalu.
Safuwan, yang bermain dengan pasukan Selangor juga mengalu-alukan cabaran sebesar Korea Selatan dan merasakan bahawa ini adalah masa untuk Singapura mendapatkan keputusan yang baik.
Beliau menggunakan contoh keupayaan Malaysia dan Thailand di Piala Asia pada Januari dan perlawanan kelayakan Piala Dunia pada Mac lalu.
Gol Singa dibolosi sebanyak 19 kali dalam empat perlawanan, dengan lima gol daripada kekalahan di tangan Korea Selatan di Seoul pada November lalu.
Ogura, yang mengaku beliau menonton kembali lebih daripada lima kali perlawanan itu, lalu mengatakan: “Kami mesti berjuang. Ia sangat penting buat kami untuk memberikan yang terbaik.”
Jangka masa persediaan pasukan Korea Selatan – dengan memilih Kim Do-hoon sebagai pengurus sementara pada 20 Mei, selain pemilihan pemain pada 27 Mei, dan latihan penuh pertama pada 3 Jun – dianggap agak singkat.
Sementara itu, pada satu sidang media berasingan pada 5 Jun, Kim menyarankan agar semua pemainnya menonton video corak permainan yang diinginkannya. Beliau juga yakin semua pemain kendaliannya adalah pemain profesional dan boleh menyesuaikan diri dengan cara baru ini.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg