INCHEON: Pengurus sementara pasukan negara Korea Selatan, Kim Do-hoon, telah memilih tujuh pemain yang belum pernah bermain di pasukan negara untuk dua perlawanan kelayakan Piala Dunia pada Jun.
Sebelum pasukan Korea Selatan berlepas ke Singapura pada 2 Jun, Kim menegaskan bahawa tujuh pemain baru itu bukan setakat untuk memenuhi jumlah pasukan tersebut.
“Mereka semua telah bermain hebat di liga masing-masing dan mereka semua mempunyai kualiti yang baik,” kata Kim kepada wartawan di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, di sebelah barat Seoul.
“Saya rasa mereka semua akan bersaing dengan baik di posisi masing-masing.”
Korea Selatan akan menghadapi Singapura pada 6 Jun di Stadium Nasional Singapura dan kemudian menjadi tuan rumah kepada China di Seoul pada 11 Jun untuk menamatkan aksi Kumpulan C dalam peringkat kedua kelayakan Asia untuk Piala Dunia Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) 2026.
Kim telah dilantik jawatan pengurus sementara pada 20 Mei, dengan Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) tidak dapat mencari pengganti sepenuh masa untuk menggantikan Jurgen Klinsmann yang dipecat pada Februari.
Daripada 23 pemain, tujuh telah dipanggil ke pasukan utama buat kali pertama.
Kumpulan itu termasuk bekas bintang pasukan muda negara seperti penyerang FC Machida Zelvia Oh Se-hun; pemain tengah Stoke City, Bae Jun-ho; dua pemain pertahanan daripada Daegu FC, Hwang Jae-won; dan daripada FC Seoul, Choi Jun.
Penjaga gol Pohang Steelers, Hwang In-jae, pemain-pemain pertahanan daripada Gimcheon Sangmu FC, Park Seung-wook, dan daripada Nagoya Grampus, Ha Chang-rae, sebelum ini tidak pernah mewakili negara pada mana-mana peringkat umur.
“Di bahagian pertahanan, saya memilih pemain yang telah menunjukkan permainan yang agresif, bukan jenis yang pasif.
“Beberapa pemain utama kami cedera atau tidak hadir atas sebab-sebab peribadi untuk lawatan ini. Kami terpaksa memilih wajah-wajah baru dan selepas berbincang dengan kakitangan kami dan KFA, kami memilih pemain yang kami fikir boleh menyelesaikan tugas di posisi masing-masing,” jelas Kim lagi.
Kim tidak mempunyai banyak masa untuk mengendalikan wajah-wajah baru itu.
Beliau hanya mempunyai pasukan penuh pada 3 Jun dan mereka hanya mempunyai dua hari latihan penuh sebelum menentang Singapura.
Korea menewaskan Singapura 5-0 dalam pertemuan Kumpulan C pada awal November 2023.
Dengan ranking Fifa ke-23, Korea sepatutnya tidak menghadapi masalah besar untuk mengatasi Singapura yang menduduki ranking ke-155.
Walaupun begitu, Kim tidak mengambil risiko.
Kim pernah menjadi jurulatih kelab Liga Perdana Singapura (SPL), Lion City Sailors (LCS), dari 2021 hingga 2022, dan memenangi kejuaraan SPL 2021 bersama mereka.
“Bola sepak Asia Tenggara telah meningkat dengan pesat baru-baru ini dan kita tidak boleh menganggap remeh (pasukan) Singapura,” kata Kim.
“Pasukan negara mereka kini mempunyai beberapa pemain yang saya telah latih dahulu di Singapura. Jadi saya akan berkongsi laporan saya tentang mereka dengan pemain-pemain saya sekarang.”
Kim dilantik sebagai pengurus sementara kedua untuk Korea dalam tempoh tiga bulan.
Pada dua perlawanan kelayakan Piala Dunia pada Mac, ketua jurulatih pasukan negara bawah 23 tahun, Hwang Sun-hong, berkhidmat sebagai jurulatih sementara.
Kim berkata beliau memahami kebimbangan peminat-peminat berkenaan keadaan pasukan kebangsaan yang tidak menentu dan menambah: “Kita perlu menunjukkan kepada peminat kita arah yang kami ingin ambil. Dan kami mesti lakukan itu dengan tindakan di padang, bukan dengan kata-kata.”
Korea Selatan di tangga teratas Kumpulan C dengan 10 mata dan hanya memerlukan satu mata lagi untuk menempah salah satu daripada dua tempat dalam kumpulan itu untuk mencapai peringkat ketiga kelayakan Piala Dunia.
Pasukan Wira Taegeuk telah bermain dalam setiap Piala Dunia sejak 1986.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg