Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) kini mencari ketua jurulatih kebangsaan yang keempat dalam tempoh enam tahun, selepas Tsutomu Ogura meletak jawatan.
Ogura, yang dilantik pada Februari 2024 dengan kontrak selama dua tahun, berundur atas sebab peribadi dan telah memaklumkan keputusannya kepada FAS.
Beliau turut memegang peranan sebagai pengarah pasukan bola sepak bawah 22 tahun lelaki.
Menurut kenyataan media FAS pada 24 Jun, Ogura telah memaklumkan keputusannya kepada FAS beberapa minggu lalu, dengan menyatakan keperluan untuk kembali ke negara asalnya, Jepun, bagi menguruskan perkara peribadi yang mendesak.
Walaupun Jawatankuasa FAS dan Ogura telah cuba mencari jalan untuk mengekalkan beliau sebagai ketua jurulatih, beliau tetap tidak dapat meneruskan jawatannya akibat masalah peribadi tersebut.
“Walaupun terdapat usaha bersama dan hasrat kededua pihak untuk meneruskan hubungan kerja, sifat isu peribadi yang dihadapi akhirnya menyebabkan beliau tidak dapat meneruskan peranannya,” kata FAS dalam kenyataannya.
“FAS menghormati keputusan Ogura dan menyampaikan penghargaan kepadanya atas sikap profesional, komitmen dan sumbangannya kepada bola sepak Singapura semasa beliau memimpin pasukan,” tambah kenyataan itu.
FAS turut memaklumkan bahawa bekas ketua jurulatih kelab Liga Perdana Singapura (SPL), BG Tampines Rovers, Gavin Lee, akan menggalas tanggungjawab membimbing pasukan Singa buat sementara waktu sementara pencarian pengganti ketua jurulatih tetap sedang dijalankan.
Gavin melepaskan jawatannya di BG Tampines pada awal Jun 2025.
“Proses mengenal pasti dan melantik Ketua Jurulatih Kebangsaan yang baru telah bermula, dan FAS komited mendapatkan calon yang mempunyai visi, kepakaran dan ciri kepimpinan yang mampu membawa bola sepak Singapura ke tahap yang lebih tinggi,” tambah FAS.
Ogura merupakan jurulatih warga Jepun ketiga berturut-turut bagi skuad Singa.
Jurulatih sebelum beliau ialah Takayuki Nishigaya, yang dilantik pada 2022 dan diberhentikan pada Januari 2024; serta Tatsuma Yoshida, yang dilantik pada 2019 dan meletak jawatan dua tahun kemudian.
Ogura mempunyai pengalaman luas, kerana selain membimbing pasukan kelab Jepun, beliau pernah berkhidmat dengan pasukan kebangsaan dan Olimpik Jepun.
Dalam 16 perlawanan bersama skuad Singa, Ogura mencatat lima kemenangan, tiga seri dan lapan kekalahan.
Ogura meninggalkan pasukan Singa di kedudukan pertama kumpulan C Kelayakan Piala Asia AFC selepas pasukannya mengalahkan Bangladesh 2-1 di Stadium Kebangsaan Bangabandhu, Dhaka, pada 10 Jun dan seri tanpa jaringan bersama Hong Kong di Stadium Negara pada 25 Mac.
Pasukan Singa belum pernah layak ke Piala Asia atas merit, dengan satu-satunya penyertaan mereka adalah sebagai tuan rumah pada 1984.
Dan mereka akan berdepan dengan India pada 9 dan 14 Oktober buat perlawanan kelayakan Piala Asia AFC seterusnya.
Hanya juara kumpulan akan mara ke peringkat Piala Asia AFC seterusnya.
Di bawah bimbingan Ogura, pasukan Singa juga berjaya mara ke peringkat separuh akhir Piala AFF Mitsubishi Electric 2024, di luar jangkaan ramai.
Mereka tewas kepada juara kejohanan, Vietnam, di peringkat separuh akhir tersebut.
Mereka berjaya mara daripada kumpulan A di kedudukan kedua, mengatasi pasukan Timor Leste, Kemboja dan Malaysia.
Thailand menjuarai kumpulan tersebut.
Namun, terdapat juga detik-detik suram, seperti kekalahan besar 7-0 di laman sendiri kepada Korea Selatan dalam aksi kelayakan Piala Dunia pada Jun 2024.
Pasukan beliau turut menerima kritikan apabila mereka kalah kepada Chinese Taipei dan Nepal dalam perlawanan persahabatan.
Sesetengah penyokong turut mempersoalkan cara beliau menguruskan permainan, memandangkan skuad Singa kerap tumbang pada minit-minit akhir perlawanan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg