Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Ohnana’ buat kesilapan lagi

Penjaga gawang United, Andre Onana dipersalahkan atas kededua jaringan Lyon dalam keputusan seri 2-2
Apr 11, 2025 | 3:50 PM
Penjaga gawang Manchester United, Andre Onana (tengah), hanya mampu menanggung kekecewaan selepas dua kesilapan beliau menyebabkan United keciciran kelebihan menentang Olympique Lyonnais di perlawanan pertama peringkat suku akhir Liga Europa.
Penjaga gawang Manchester United, Andre Onana (tengah), hanya mampu menanggung kekecewaan selepas dua kesilapan beliau menyebabkan United keciciran kelebihan menentang Olympique Lyonnais di perlawanan pertama peringkat suku akhir Liga Europa. - Foto REUTERS

LYON (Perancis): Ruben Amorim berkata beliau telah melakukan lebih banyak kesilapan sebagai pengurus Manchester United musim ini berbanding penjaga golnya yang sedang dikritik hebat, Andre Onana.

Onana dipersalahkan atas kededua jaringan Olympique Lyonnais (Lyon), pasukan yang menduduki tangga kelima Liga Perancis, dalam keputusan seri 2-2 dalam Liga Europa pada 11 April di Stadium Groupama.

Sehari sebelum perlawanan tersebut, beliau digelar sebagai “antara penjaga gol paling teruk dalam sejarah United” oleh bekas pemain kelab itu yang kini bermain untuk Lyon, Nemanja Matic.

Sejak permulaan musim lepas, Onana telah melakukan sebanyak lapan kesilapan yang menyebabkan gol dalam semua pertandingan – jumlah paling banyak berbanding mana-mana penjaga gol yang bermain untuk kelab Liga Perdana England (EPL).

“Jika anda lihat musim ini, saya telah melakukan lebih banyak kesilapan berbanding beliau dalam beberapa perlawanan dan bulan kebelakangan ini,” kata Amorim, yang dilantik sebagai pengurus United pada November 2024.

“Tiada apa yang saya boleh katakan kepada Andre yang boleh membantu beliau. Perkara paling penting ialah untuk teruskan seperti biasa, dan apabila tiba masanya saya akan memilih kesebelasan pemain terbaik untuk bermain. Tapi saya benar-benar yakin dengan Andre.”

United akan menjadi tuan rumah kepada Lyon untuk perlawanan kedua di Old Trafford pada 18 April.

Dengan United berada di tangga ke-13 dalam EPL, satu-satunya harapan realistik mereka untuk bermain dalam kejohanan Eropah musim depan adalah melalui tempat Liga Juara-Juara yang diberikan kepada juara Liga Europa.

United ketinggalan 0-1 selepas 25 minit apabila Onana gagal menghalang sepakan percuma Thiago Almada walaupun tendangan beliau tidak cukup hebat.

Namun, United berjaya bangkit dan mendahului perlawanan 2-1 hasil jaringan Zirkee dan Leny Yoro.

Namun, pada detik-detik akhir perlawanan, gawang United dibolosi sekali lagi selepas Onana gagal menangkap rembatan Georges Mikautadze yang membolehkan Rayan Cherki memanfaatkan bola lepas untuk menjaringkan gol beliau.

Bekas pemain tengah England, Aaron Lennon, berkata pada media bahawa rakan sepasukan Onana tentunya rasa marah dengan prestasi penjaga gawang mereka.

“Itu merupakan dua kesilapan yang besar,” kata beliau.

“Pada pendapat saya beliau harus menghalang kededua gol tersebut dan kegagalan beliau telah menyebabkan United keciciran kelebihan menjelang perlawanan kedua mereka.”

Amorim juga berkata pasukannya “sepatutnya membawa kelebihan satu gol ke perlawanan seterusnya”.

Tekanan berganda untuk Onana apabila beliau dan Matic berbalas kata-kata sebelum perlawanan tersebut.

Matic, yang bermain untuk United dari 2017 hingga 2022, menyifatkan Onana sebagai “secara statistik antara penjaga gol terburuk dalam sejarah Manchester United”.

Pemain Serbia itu, yang hanya berada di bangku simpanan untuk Lyon, memberikan tindak balas terhadap kenyataan Onana yang berkata United “jauh lebih baik” daripada pihak lawan mereka dari Perancis itu.

Onana dicemuh oleh penyokong Lyon apabila keluar untuk sesi memanaskan badan dan juga setiap kali apabila beliau menyentuh bola semasa perlawanan.

Beliau meraikan gol dengan penuh emosi apabila pasukannya mendahului pada minit ke-88, seolah-oleh berterima kasih bahawa kesilapannya tidak menyebabkan United keciciran mata.

Namun, hanya beberapa minit kemudian beliau tidak dapat mengelak takdir apabila beliau melakukan satu lagi kesilapan untuk menghadiahkan gol bagi Lyon untuk menyamakan kedudukan mereka.

Menurut statistik, Onana mempunyai kadar minit setiap gol dibolosi yang paling teruk dalam kalangan penjaga gol Manchester United yang pernah membuat sekurang-kurangnya 10 penampilan EPL.

Namun sejak menyertai United, beliau juga berada di tempat kedua dalam metrik “gol yang dihalang” menurut syarikat analisis sukan Opta – hanya di belakang Jordan Pickford. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg