LONDON: Pemain Manchester United dan Manchester City dikecam kerana berpelukan mesra dan berjabat tangan selepas perlawanan hambar yang berkesudahan seri 0-0 dalam temuan dua pasukan berjiran dalam Liga Perdana England yang tidak dapat dilupakan di Old Trafford pada 6 April.
Dengan keputusan itu, City gagal mengatasi Chelsea dalam usaha melayakkan diri ke Liga Juara-Juara dan kekal di tangga kelima, manakala United berada di tempat ke-13.
Mengulas perbuatan tersebut, pakar berkata adegan mesra selepas perlawanan adalah petunjuk kekurangan semangat.
“Saya rasa ucapan tahniah dan kemesraan yang saya tonton menunjukkan kedua-dua pasukan gembira dengan keputusan 0-0,” kata bekas kapten United Gary Neville di Sky Sports.
“Pasukan terbaik Man City dan Man United pasti sangat kecewa dengan cara mereka menghampiri penghujung perlawanan itu. Nampaknya sekarang tengah hari Ahad dan mereka akan pergi makan malam bersama-sama sekarang.”
Bekas pemain tengah United dan kapten Roy Keane bersetuju.
“Mereka ditemu bual selepas itu seolah-olah keputusan seri tidak terlalu teruk. Keputusan seri tidak membawa anda ke mana-mana. Ini tidak mencukupi, ini tidak cukup bagus,” kata Keane
Tetapi, pengurus United, Ruben Amorim, mengenepikan komen itu dengan menguntum senyuman.
“Saya faham bahawa Gary Neville kritikal tentang segala-galanya, dan saya faham bahawa pada masa ini, kami mencatat musim terburuk (United) dalam sejarah.
“Manchester City yang memenangi segala-galanya pada masa lalu musim ini (juga) sedang bergelut. Jadi kami tidak berada dalam keadaan terbaik untuk memberikan tontonan terbaik kepada para peminat.
“Dan kemudian, apabila kami tidak berjuang untuk perkara besar, sudah tentu, ia berbeza. Anda perlu melihat konteks permainan, dan saya memahami aspek kritikal pemain yang bermain dalam permainan ini dengan cara yang berbeza (seperti Neville dan Keane), kerana mereka berjuang setiap kali untuk gelaran, jadi ia adalah konteks yang berbeza,” kata beliau.
Amorim akur pasukannya mesti meningkatkan segala aspek permainan selepas persembahan terbaru mereka.
“Setiap pemain boleh meningkat. Mereka mempunyai kualiti, tetapi kami adalah pasukan yang bermain dalam peralihan, kami perlu menghabiskan lebih banyak masa di sepertiga akhir untuk mempunyai lebih banyak peluang,” tambahnya
Satu-satunya peluang United untuk layak ke Liga Juara-Juara adalah dengan memenangi Liga Europa.
The Red Devils menunjukkan peningkatan minggu ini tetapi gagal menjaringkan gol dalam kekalahan 1-0 mereka di tangan Nottingham Forest dalam perlawanan sebelum ini.
Sementara itu, pengurus City, Pep Guardiola, tidak berpuas hati dengan laungan kejam oleh penyokong United yang ditujukan kepada pemain tengahnya, Phil Foden.
“Dan, secara jujur, saya tidak faham fikiran orang yang melibatkan nama ibu Phil dalam hal itu,” katanya lagi. – Reuters, AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg