Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Oksana Masters, atlet Paralimpik berjiwa kental

Harap dapat pulih untuk beraksi di Paralimpik Paris 2024
Jun 18, 2024 | 7:42 PM
Chernobyl
Akibat bencana Chernobyl, Oksana Masters, terpaksa menjalani beberapa pembedahan, termasuk kededua belah kakinya dipotong. - Foto REUTERS

LONDON: Dilahirkan sebagai individu kurang upaya gara-gara kejadian Loji Kuasa Nuklear Chernobyl pada 1986, Oksana Masters, menghabiskan kehidupan awalnya di rumah anak yatim yang juga sebuah rumah pelacuran.

Masters kemudian diambil sebagai anak angkat, dan tidak lama selepas itu, mampu memajukan dirinya – menjadi seorang pendayung, pemain ski dan penunggang basikal yang luar biasa.

Tiada siapa yang menyangka demikian.

Masters dilahirkan di Ukraine pada 1989, dengan pelbagai kecacatan yang disebabkan oleh radiasi akibat bencana nuklear Chernobyl pada 1986, meskipun semasa kejadian berlaku, Masters belum dilahirkan.

Beliau dilaporkan menghabiskan peringkat awal zaman kanak-kanaknya di rumah anak yatim, menanggung penderaan emosi, fizikal dan seksual yang tidak dapat dibayangkan.

Semasa berusia lapan tahun, beliau dijadikan anak angkat oleh seorang wanita dari Amerika Syarikat.

Ia ternyata detik permulaan kepada kehidupan berkeluarga yang bahagia.

Namun ia juga satu cabaran kepada Masters yang terpaksa menyesuaikan diri dengan negara baru – Amerika.

Wanita yang berusia 34 tahun itu menceritakan beliau berpindah ke Louisville, Kentucky, semasa kanak-kanak dan ketika itu beliau menjalani beberapa pembedahan, termasuk kededua belah kakinya terpaksa dipotong.

Di sebalik penglibatannya dalam banyak sukan paralimpik, Masters berkata masih sukar untuk beliau berkongsi tentang kemenangannya.

“Ia sesuatu yang tidak selesa dikongsi kerana saya tidak lihat diri saya sebagai pemenang,” akui Masters.

Masters telah memenangi 17 pingat Paralimpik dan bertanding dalam enam sukan Paralimpik sepanjang kerjayanya.

Tujuh merupakan pingat emas, tujuh perak dan tiga gangsa.

Antara sukan Paralimpik yang pernah disertainya termasuk paradayung, parabasikal, dan luncur ais rentas negara.

Untuk sukan Paralimpik di Paris kelak, beliau dijadual bertanding dalam acara parabasikal.

Pada lewat 2023 satu kecederaan pada jarinya telah menjejas keseluruhan musim pertandingan yang disertainya, dan mengancam untuk menamatkan kerjaya sukan beliau.

“Saya pernah mengalami kecederaan dan saya sudah biasa kerugian masa akibat tidak dapat berlatih dan bertanding, tetapi tidak seperti sepanjang tahun lalu (2023),” katanya.

Jarinya patah dan kecederaan itu berlaku semasa satu perlumbaan ski di Canada. Ia agak mudah untuk pulih bagi seseorang yang sihat, tetapi tangan Masters berbeza.

Jari terkuatnya yang paling terkesan disebabkan kecederaan itu dan itulah jari yang beliau harapkan kerana beliau tidak mempunyai ibu jari.

Tiga pembedahan gagal kerana “anatomi saya menentang proses pemulihan,” kongsinya.

Pakar bedahnya, yang sebelum ini berjaya merawat sikunya yang patah, memberi amaran kepadanya bahawa beliau kini sedang mengejar kejayaan kompetitif, namun ia berisiko merosakkan tubuhnya buat selamanya.

Ia juga bermakna mempelajari semula cara melakukan segala-galanya dari awal seperti membuka penutup balang, sehinggalah bermain ski dan menggenggam pemegang basikalnya.

“Ini akan menjadi halangan terbesar saya menuju ke Paris,” katanya mengenai sukan Paralimpik yang akan datang.

Tetapi mungkin kerana Masters dikenali sebagai seorang atlet yang berdaya tahan dan lasak, semuanya kelihatan baik.

Malah sebelum wawancara bersama media asing menerusi panggilan video, beliau telah memenangi perlumbaan Piala Dunia Para-Nordic di Italy.

Bagaimana agaknya beliau melalui setiap kejadian trauma, setiap halangannya?

Masters hanya tersenyum dan berkata:

“Saya rasa ia sudah tertanam dalam diri saya dari usia yang begitu muda… kebanyakannya berpunca daripada membesar dengan kata-kata seperti: ‘Anda tidak boleh berjalan dan anda tidak akan dapat melakukan ini dan itu’.

“Tapi saya tidak dapat menerima semua itu. Itulah perkara yang menarik, yang saya fikir ramai orang tidak menyedari, tentang atlet Paralimpik, diri saya atau rakan sepasukan saya atau mana-mana atlet Paralimpik di dunia.

“Kami sentiasa menyesuaikan diri dengan persekitaran, kerana dunia tidak pernah dicipta untuk kami.”

Masters merupakan salah seorang atlet Paralimpik yang paling berjaya.

Pertama dalam mendayung, yang menyaksikan beliau memenangi gangsa untuk Amerika di London pada 2012; dan kemudian dalam acara berbasikal apabila beliau memungut dua pingat emas di Tokyo (2020); serta beberapa pingat dalam acara ski merentas desa dan biathlon (ski dan menembak dengan senapang).

Menurut rencana, The Guardian, Masters akan berbasikal dalam musim panas ini di sukan Paralimpik Paris 2024.

Ditanya sekiranya beliau ingin bersara, Masters, menjawab:

“Tidak!” katanya sambil ketawa. “Saya perlu berada di Paris. Saya telah meraih banyak pencapaian dan saya rasa diri saya sangat bertuah, tetapi apa yang belum saya capai adalah perlumbaan yang ‘sempurna’.

“Maksud saya dengan erti ‘sempurna’ adalah saya dapat berasa bangga dengan perlumbaan yang saya sertai dan tidak mengubah apa-apa pun dalam perlumbaan itu.

“Tidak kira sekiranya saya mampu naik ke podium (untuk meraih tempat teratas), atau di tempat terakhir,” katanya.

Bagi Masters, masih banyak yang ingin dicapainya, terutamanya dalam acara berbasikal. – Agensi berita.

Saya rasa ia sudah tertanam dalam diri saya dari usia yang begitu muda… kebanyakannya berpunca daripada membesar dengan kata-kata seperti: ‘Anda tidak boleh berjalan dan anda tidak akan dapat melakukan ini dan itu’. Tapi saya tidak dapat menerima semua itu. Itulah perkara yang menarik, yang saya fikir ramai orang tidak menyedari, tentang atlet Paralimpik, diri saya... Kami sentiasa menyesuaikan diri dengan persekitaran, kerana dunia tidak pernah dicipta untuk kami.
 Oksana Masters, atlet berbilang sukan Paralimpik Amerika Syarikat.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg