Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Atlet para lompat jauh S’pura, Suhairi Suhani, layak ke Paralimpik 2024

May 28, 2024 | 2:38 PM
Atlet para lompat jauh Singapura, Suhairi Suhani, bertanding di Kejohanan Atletik Para Dunia di Kobe, Jepun.
Atlet para lompat jauh Singapura, Suhairi Suhani, bertanding di Kejohanan Atletik Para Dunia di Kobe, Jepun. - Foto YOSHIMURA MOTO

Lapan tahun lalu, atlet para Singapura, Suhairi Suhani, mengecapi kejayaan cemerlang dalam kerjayanya.

Selepas memenangi anugerah perak acara lompat jauh dalam Sukan Para Asean (APG) 2015, beliau membuat penampilan sulung pada Sukan Paralimpik di Rio de Janeiro 2016 dan meraih pencapaian baik dengan menduduki tempat kelapan.

Namun, jaguh lompat jauh itu tidak menyangka beliau akan melalui masa bertahun-tahun lamanya untuk kembali ke pentas sukan terbesar dunia, disebabkan kecederaannya.

Atlet berusia 26 tahun itu, yang bertanding dalam kategori T20 untuk atlet kurang keupayaan intelek, mengalami kecederaan hamstring semasa Terbuka Balapan dan Padang Singapura 2019 dan akibatnya tidak layak menyertai Sukan Paralimpik Tokyo pada 2021.

Beliau turut mengalami ‘sekatan mental’ selama empat tahun semasa proses pemulihan daripada kecederaan lutut.

Kini, Suhairi berazam melupakan kesulitan yang pernah dilalui, selepas berjaya mencapai prestasi baik pada 2024 di Terbuka Singapura pada 19 April untuk layak ke Sukan Paralimpik di Paris, lapor The Straits Times (ST).

Suhairi, rakan sekutu niaga runcit berkata:

“Saya bersyukur mendapat rahmat, kerjaya sukan saya ada naik dan turunnya. Saya pernah cedera dan memang sukar mencari jalan untuk kembali ke prestasi cemerlang.

“Dua tahun lalu juga sukar bagi saya. Jadi, saya amat gembira untuk layak ke Paralimpik setelah terlepas peluang ke (kejohanan) Tokyo kerana kecederaan.”

Suhairi akur beliau melakukan beberapa kesilapan semasa cuba melayakkan diri ke Sukan Tokyo dengan berusaha gigih untuk “kembali serta-merta, sedangkan saya sepatutnya berehat dan menjalani pemulihan”.

Namun, kini semua itu hanyalah sejarah, selepas beliau mencatat jarak lompatan sejauh 6.67 meter di Terbuka Singapura untuk layak ke Paralimpik Paris 2024.

Minggu lalu, beliau bertanding dalam Kejohanan Atletik Para Dunia dan mencatat lompatan sejauh 6.32 meter dengan melawan tiupan angin dan menduduki tempat kelapan.

Beliau berhasrat memperbaiki prestasi peribadinya iaitu lompatan sejauh 6.85 meter sebelum bermulanya acara sukan yang diadakan empat tahun sekali itu.

Jurulatih Suhairi, Veeramani Chidambaram, berkata atlet itu perlu membuat beberapa pengubahsuaian untuk mengatasi sekatan mentalnya dengan mencipta “rutin yang selesa baginya apabila beliau berada dalam keadaan tertekan”.

“Sukan Paris pasti sukar kerana terdapat ramai atlet lompat jauh dalam kategorinya.

“Apa pun, matlamat kami hanyalah untuk memperbaiki diri tahun ke tahun, dan itulah yang kami lakukan sekarang,” ujar beliau.

Suhairi, bersama atlet paralimpik Diroy Noordin (lontar peluru), yang juga layak ke Sukan Paralimpik di Paris, kini perlu menunggu (penganjur) Kejohanan Atletik Para Dunia untuk menawarkan slot pertandingan kepada Singapura, sebelum Majlis Paralimpik Kebangsaan Singapura (SNPC) memilih atlet untuk temasya tersebut.

Pada 7 Jun, beliau akan berkunjung ke Paris bersama Diroy dan James Ang (lari pecut) untuk Grand Prix Terbuka Sukan Kurang Upaya, sebelum menuju ke Jerman untuk kem latihan terakhir.

Warga Singapura lain yang layak ke Sukan Paralimpik ialah pemanah Nur Syahidah Alim; penembak Daniel Chan; atlet ‘boccia’ Jeralyn Tan; penunggang kuda Laurentia Tan, Gemma Foo dan Hilary Su; serta perenang Yip Pin Xiu, Toh Wei Soong dan Sophie Soon.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg