PARIS: Pelari pecut negara, Shanti Pereira, akan mendapat satu lagi peluang untuk mara ke separuh akhir acara 200 meter wanita setelah beliau mara ke saringan semula atau ‘repechage’ dengan mencatat masa 23.21 saat dalam saringan yang berlangsung di stadium Stade de France pada 4 Ogos.
Masa yang dicatatkan atlet berusia 27 tahun itu meletakkannya di kedudukan terakhir dalam Saringan 5, dengan pelari Amerika Syarikat, Brittany Brown, mencatatkan masa 22.38 saat; Lanae-Tava dari Jamaica (22.70 saat); dan Bianca Williams dari Britain (22.77 saat) mara ke separuh akhir.
Pereira akhirnya menduduki tempat ke-31 dalam kalangan 45 pelari.
Gabrielle Thomas dari Amerika melayakkan diri dengan masa terpantas 22.20 saat, diikuti oleh Favor Ofili dari Nigeria (22.24 saat) dan Dina Asher-Smith dari Britain (22.28 saat).
Hanya pelari tiga teratas daripada setiap saringan mara secara langsung ke separuh akhir, manakala yang lain mempunyai satu lagi peluang untuk layak melalui saringan semula, lapor The Straits Times (ST).
Ini adalah format baru yang telah diperkenal oleh Atletik Dunia (WA) di Sukan Olimpik di Paris bagi acara 100/110 meter lari berpagar, 200 meter, 400 meter, 400 meter lari berpagar, 800 meter dan 1,500 meter.
Pusingan saringan semula akan berlangsung pada 5 Ogos dan merupakan perlumbaan kedua Pereira di Sukan Olimpik Paris.
Beliau memulakan kempennya pada 2 Ogos dalam acara 100 meter wanita apabila beliau mencatat masa 11.63 saat dan menduduki tempat ke-55 dalam kalangan 72 pelari.
Pereira membuat penampilan sulung Olimpik di Tokyo, dan menduduki tempat keenam dalam saringan 200m dengan catatan terbaik musim 23.96 saat untuk meraih tempat ke-39 dalam kalangan 41 peserta secara keseluruhan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg