Daripada membuat penampilan sulung secara mengejut sebagai pengganti Carlos Sainz di Grand Prix Arab Saudi 2024, pemandu Haas, Oliver Bearman kini menjalani musim penuh keduanya dalam Formula Satu (F1) bersama pasukan itu.

Meskipun sudah mempunyai lebih banyak pengalaman di litar, pemandu Britain itu mengakui masih banyak yang perlu dipelajari terutamanya dalam menghadapi Litar Jalan Raya Marina Bay yang mencabar serta cuaca panas Singapura.

“Saya sudah banyak belajar sepanjang musim ini.

“Setiap sesi adalah peluang untuk memperbaiki diri dan itulah yang saya usahakan,” kata Bearman dalam temu bual melalui e-mel bersama Berita Harian (BH).

Menurutnya, beliau memberi tumpuan untuk lebih mudah menyesuaikan diri, selain memastikan latihannya terus dijaga dan mengumpul sebanyak mungkin pengalaman.

“Musim ini ada naik turunnya, tetapi kami mula lihat hasil daripada kerja keras itu.

“Saya harap kami dapat menamatkan musim dengan baik dan memberikan yang terbaik di Singapura,” katanya.

Pemandu 21 tahun itu masih mengingati pengalaman pertamanya memandu kereta lumba F1 pada 2024.

Ketika itu, beliau hanya mempunyai beberapa jam untuk membuat persiapan selepas dipanggil Ferrari bagi menggantikan Sainz yang tidak dapat berlumba.

Beliau kemudian layak di petak ke-11 dan menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh.

“Perbezaan dari segi fizikal adalah kejutan terbesar bagi saya.

“Saya akan sentiasa mengingati kesakitan pada leher ketika pertama kali memandu kereta lumba F1.

“Namun, ia merupakan detik istimewa dalam kerjaya saya dan saya rasa amat bangga kerana kami berjaya mendapat tempat ketujuh dalam perlumbaan itu,” katanya.

Dengan pengalaman yang semakin bertambah, Bearman kini dahagakan pencapaian yang lebih besar.

“Saya masih baharu dalam dunia F1, saya mahu terus belajar, memperbaiki kemahiran dan akhirnya mahu memburu podium,” katanya.

Pemandu Haas, Oliver Bearman, bakal menghadapi cabaran baharu di Singapura dengan acara ‘Sprint’ diperkenalkan buat kali pertama di litar jalan raya Marina Bay.
Pemandu Haas, Oliver Bearman, bakal menghadapi cabaran baharu di Singapura dengan acara ‘Sprint’ diperkenalkan buat kali pertama di litar jalan raya Marina Bay. - Foto AFP

Cabaran seterusnya menanti di Singapura dengan acara perlumbaan pecut jarak dekat (Sprint) yang diperkenalkan buat kali pertama di litar itu.

Bagi Bearman, acara tersebut akan menjadikan perlumbaan Singapura lebih sengit, terutama dengan litar yang mencabar dari segi fizikal.

“Saya sangat menantikan acara ‘Sprint’ di Singapura. Litar Singapura cukup mencabar, dengan acara itu serta Grand Prix berlangsung pada hujung minggu yang sama, saingan pasti lebih sengit.

“Tetapi itulah F1, bersaing pada tahap tertinggi. Saya tak sabar,” katanya.

Selain cabaran tambahan itu, Bearman turut menantikan suasana perlumbaan malam di litar itu.

Menurutnya dengan latar belakang bandar yang diterangi cahaya lampu, ditambah dengan sorakan peminat, ia akan menjadikan perlumbaan di Singapura satu pengalaman yang unik.

Namun, beliau sedar keadaan cuaca di sini juga antara cabaran utama.

“Singapura memang mencabar dari segi fizikal, dengan cuaca panas, tahap kelembapan tinggi dan litar yang tidak memberi banyak ruang untuk berehat,” katanya.

Bagi Bearman, sasaran utamanya adalah untuk mendapatkan perlumbaan yang baik sambil terus menimba pengalaman.

“Saya harap dapat menjalani perlumbaan yang baik, atau sekurang-kurangnya mendapat pengalaman pembelajaran yang baik.”

Di sebalik tekanan ‘Sprint’ dan cabaran cuaca panas serta lembap, beliau tetap menantikan masa untuk menikmati Singapura di luar litar.

“Saya ingin meluangkan masa dalam satu hari untuk berbasikal di sekitar Singapura dan cuba makanan dan kopi tempatan.

“Sebelum ini, saya pernah berbasikal di sekitar kawasan Marina Bay dan memang seronok!” katanya.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti