Topik diikuti
Pergi ke BHkuPeluang Russell kejar gelaran juara semakin pudar jelang GP S’pura
Peluang Russell kejar gelaran juara semakin pudar jelang GP S’pura
Tumpuan saingan Formula Satu (F1) kini beralih ke Litar Marina Bay menjelang 9 Oktober, sedang harapan pelumba Mercedes, George Russell, untuk memburu gelaran kejuaraan dunia semakin pudar.
Ini menyusuli kekecewaan apabila beliau terpaksa menarik diri daripada saingan Grand Prix (GP) Bahrain di Malaysia, sekali gus memberi kelebihan kepada rakan sepasukannya, Kimi Antonelli, untuk menguasai persaingan musim ini.
Russell amat memerlukan keajaiban di Litar Marina Bay selepas kerosakan unit kuasa ketika berada di kedudukan ketiga di Litar Antarabangsa Sepang membuka peluang buat Antonelli melebarkan jurang dan mendahului dengan 84 mata.
Sebelum ini, Russell tiba di Malaysia dengan semangat membara susulan kemenangan hebat di Azerbaijan.
Hasrat beliau untuk mengukuhkan kedudukan menjulang gelaran juara kelihatan cerah, sebelum kenderaan yang dipandunya mengalami kegagalan teknikal ketika saingan berbaki lima pusingan.
Dengan masa rehat yang singkat ketika F1 memasuki peringkat akhir siri tiga perlumbaan berturut-turut di litar Singapura, Russell berdepan cabaran yang berbeza dalam usahanya memastikan peluang kejuaraannya kekal cerah.
Pemandu Britain itu pernah menjuarai perlumbaan pada edisi 2025 di Litar Marina Bay, namun beliau dijangka memulakan perlumbaan dari petak paling belakang pada 11 Oktober.
Ini selepas Mercedes mengesahkan Russell telah kehabisan peruntukan empat enjin bagi musim ini dan beliau memerlukan enjin baharu menjelang hujung minggu perlumbaan sprint.
Mengikut peraturan F1, pelumba yang menggunakan enjin baharu melebihi had yang ditetapkan akan dikenakan penalti bermula dari petak belakang.
Russell pada awalnya berharap dapat menjalani penalti tersebut di GP Amerika Syarikat di Austin – litar yang lebih mudah untuk memotong kenderaan lain berbanding litar Singapura yang sempit dan perlahan.
Rekod penganjuran turut membuktikan kesukaran litar tersebut apabila 11 daripada 16 perlumbaan lalu di Singapura dimenangi oleh pemandu yang bermula dari petak pertama.
Litar Marina Bay dengan kepanjangan 4.927 kilometer itu menampilkan 19 selekoh dengan tembok penghadang yang sangat rapat, sekali gus tidak memberi ruang bagi sebarang kesilapan kecil dilakukan.
Pada masa sama, cuaca panas dan kelembapan tinggi menjadikannya antara perlumbaan paling menguji ketahanan fizikal pelumba sepanjang musim.
“George (Russell) berdepan cabaran tambahan susulan penalti unit kuasa yang menyaksikannya terpaksa bermula dari petak paling belakang pada Ahad (11 Oktober), berikutan kegagalan enjin di Malaysia.
“Ia amat mengecewakan, terutama selepas melihat pemanduan cemerlangnya minggu lalu dan keputusan yang sewajarnya beliau perjuangkan.
“Namun, perkara sebegini sebahagian daripada adat sukan. Tumpuan kami kini adalah untuk menyediakan kenderaan terbaik dan peluang untuk beliau bangkit bersaing dari belakang,” kata Ketua Pasukan Mercedes, Toto Wolff.
Bagi Antonelli yang kini mendahului carta F1 musim 2026 berbanding Russell yang menduduki tempat kedua, matlamatnya lebih mudah.
Menjelang penghujung musim, Antonelli hanya perlu untuk memastikan Russell kekal di belakangnya, sekali gus mengelak daripada memberi semula kelebihan kepada rakan sepasukannya itu.
Bagi pelumba Red Bull, Max Verstappen, saingan di Malaysia bukan sekadar kejayaan pertamanya musim ini.
Red Bull sebelum ini lebih bertindak sebagai pasukan yang hanya menanti peluang berbanding menciptanya sepanjang tahun.
Namun di Sepang, usaha tersebut membuahkan hasil apabila kelajuan kenderaan mereka mampu mencabar dua pelumba Mercedes yang menduduki kedudukan teratas carta.
Verstappen memulakan perlumbaan dari petak pertama dan apabila hujan mula turun, beliau sukar ditandingi dalam litar yang licin serta berisiko tinggi itu.
Kejayaan tersebut sekali gus membolehkan Red Bull meraih kemenangan julung kali menggunakan unit kuasa yang dibangunkan sendiri.
Namun, GP Singapura bakal menjadi medan ujian sebenar untuk menentukan sama ada kebangkitan di Malaysia itu sekadar kejayaan sementara atau permulaan kepada sesuatu yang lebih besar.
Ini kerana cabaran di Marina Bay amat berbeza berbanding Sepang. – Reuters.